NTU tampilkan prototaip pesawat buatan tempatan di Pertunjukan Udara S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NTU tampilkan prototaip pesawat buatan tempatan di Pertunjukan Udara S’pura

Feb 3, 2026 | 3:56 PM

NTU tampilkan prototaip pesawat buatan tempatan di Pertunjukan Udara S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Universiti Teknologi Nanyang (NTU), prototaip pesawat yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak dengan elektrik (eVTOL), Pertunjukan Udara Singapura 2026 
Prototaip pesawat yang boleh berlepas dan mendarat menegak menggunakan elektrik (eVTOL) oleh Universiti Teknologi Nanyang (NTU) diperkenalkan pada 3 Februari, hari pertama Pertunjukan Udara Singapura. - Foto ST

Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berharap dapat menghasilkan pesawat yang direka dan dibuat secara tempatan yang boleh membawa orang dan kargo, dengan memperkenalkan satu prototaip pada 3 Februari.

Dengan lebar sayap 8 meter dan lapan enjin pemutar yang boleh terbang di ruang terbatas, prototaip yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak dengan menggunakan elektrik (eVTOL) itu dipamerkan di Pertunjukan Udara Singapura 2026 yang berlangsung dari 3 hingga 8 Februari.

Pesawat sedemikian berpotensi digunakan sebagai teksi udara, untuk mengangkut kargo atau untuk perkhidmatan perubatan kecemasan.

Namun, pesawat tersebut masih dalam fasa ujian dan belum dilancarkan untuk kegunaan komersial.

Dalam satu kenyataan, NTU berkata prototaip itu menggabungkan “kecekapan aerodinamik pesawat konvensional dengan keupayaan berlegar seperti helikopter”.

Pesawat itu mengambil masa lebih tiga tahun untuk dibangunkan.

Meskipun kegunaannya melangkaui peralatan penyelidikan masih belum ditentukan, namun Naib Presiden NTU (Inovasi dan Keusahawanan), Encik Louis Phee, berkata harapannya adalah agar prototaip itu akhirnya boleh menjadi satu usaha komersial yang boleh beroperasi di dalam dan luar negara.

NTU menambah bahawa ia akan terus bekerjasama dengan rakan industri untuk melihat bagaimana teknologi itu boleh dibawa lebih jauh, dengan tujuan membangunkan prototaip yang boleh membawa orang dan kargo.

Pelbagai pertubuhan telah bekerjasama dalam projek itu termasuk Eaton Aerospace, pengeluar autopilot Embention, Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star), serta Politeknik Republic.

Menerajui program penyelidikan itu ialah Profesor James Wang, daripada Sekolah Kejuruteraan Mekanikal dan Aeroangkasa NTU, yang pernah bekerja di firma penerbangan Sikorsky Aircraft dan AgustaWestland.

Semasa di AgustaWestland, Profesor Wang telah mereka bentuk dan mencipta eVTOL eksperimen pertama di dunia.

Mengenai projek terbarunya itu, beliau berkata: “Ini merupakan peluang sebenar bagi Singapura mengukuhkan kedudukannya sebagai inovator teknologi utama, menjadi peneraju dalam bidang eVTOL di Asia Tenggara, dan menunjukkan kepada dunia kedalaman kepakaran akademik dan industri kami.”

Profesor Wang menambah bahawa prototaip itu akan berfungsi sebagai platform untuk melakukan penyelidikan lanjut, dengan pengajaran yang diperoleh digunakan untuk menyokong cita-cita jangka panjang Singapura dalam inovasi aeroangkasa dan mobiliti udara termaju.

Pertunjukan Udara Singapura edisi ke-10 itu yang diadakan di Pusat Pameran Changi, menampilkan lebih daripada 1,000 syarikat daripada lebih 50 negara dan wilayah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg