JAKARTA: Pemerintah Indonesia berikrar untuk bangunkan bandar Nusantara di Kalimantan Timur sebagai “ibu kota politik” negara sepenuhnya menjelang 2028, setahun sebelum tamatnya jawatan Presiden Prabowo Subianto.
Projek bernilai 466 trilion rupiah ($38.6 bilion) untuk membina bandar itu dalam tempoh beberapa dekad telah dimulakan oleh mantan presiden, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, yang secara diam-diam menyokong Encik Prabowo dalam kempen pilihan rayanya untuk jawatan presiden pada 2024.
Namun, persoalan timbul sama ada pentadbiran Encik Prabowo mampu atau sanggup meneruskan pembangunan bandar itu kerana beliau mempunyai beberapa projek keutamaan bajet besarnya sendiri.
Menteri Penyelaras Infrastruktur dan Pembangunan Wilayah, Encik Agus Harimurti Yudhoyono, menegaskan komitmen Encik Prabowo terhadap pembangunan Nusantara.
Beliau pada 21 Januari mengulangi matlamat Presiden untuk menyiapkan pembinaan bangunan perundangan dan kehakiman serta kemudahan sokongannya menjelang 2028.
Menurutnya pembangunan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha menjadikan Nusantara sebagai ibu kota politik Indonesia.
“Apabila bercakap mengenai ibu kota politik, Nusantara belum ada kerana kami hanya menumpukan kepada menyiapkan kemudahan untuk cabang eksekutif,” kata Encik Agus pada taklimat akhbar selepas pertemuan dengan Presiden Prabowo.
“Presiden berharap kita dapat memberi tumpuan kepada menyiapkan bangunan perundangan dan kehakiman, supaya apabila kesemua fungsi itu berjalan, kita boleh melaksanakan tugas politik harian dan strategik kelak,” sambungnya.
Indonesia akan memperuntukkan 48 trilion rupiah untuk pembangunan Nusantara untuk lima tahun akan datang, kata Ketua Penguasa Bandar Nusantara, Encik Basuki Hadimuljono.
Beliau yang turut menghadiri mesyuarat itu, berkata Encik Prabowo telah meminta pihak penguasa dan Kementerian Kerja Raya mengkaji semula reka bentuk yang disediakan sebelum ini untuk bangunan perundangan dan kehakiman.
Menurutnya, peruntukan berkenaan juga bagi pembinaan jalan di dalam dan sekitar bandar baru itu dan untuk penyelenggaraan kemudahan yang telah dibina di Nusantara.
Bajet itu lebih rendah daripada 75 trilion rupiah yang diperuntukkan oleh pentadbiran Encik Jokowi dari 2022 hingga 2024, tetapi Encik Basuki mendakwa peruntukan itu cukup untuk “menyelesaikan semua sasaran dalam dua hingga tiga tahun akan datang”. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg