JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto dijadualkan mula bekerja dari Ibu Kota Nusantara (IKN) pada Ogos 2028.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada rancangan besar pemerintah untuk menjadikan Nusantara ibu negara politik sepenuhnya, melibatkan tiga cabang utama, eksekutif, legislatif dan kehakiman.
Menteri Penyelaras Infrastruktur dan Pembangunan Wilayah, Encik Agus Harimurti Yudhoyono, menjelaskan bahawa arahan itu diberikan secara langsung oleh Encik Prabowo.
“Ketika beliau melantik saya, harapan beliau adalah menjelang 2028 kita dapat berpindah ke sana. Kini, kami sedang memuktamadkan ekosistem kehakiman dan legislatif.
“Tahun ini (2024), kami sedang menyediakan pejabat dan perumahan untuk Mahkamah Agung, Mahkamah Perlembagaan, serta badan legislatif,” kata Encik Agus dalam satu kenyataan di Kompleks Istana Presiden pada 10 Disember.
Menurut Encik Agus, pembinaan pejabat untuk cabang legislatif dan kehakiman akan dimulakan pada 2025 dan disasarkan siap menjelang 2027.
Ketua Pejabat Komunikasi Presiden, Encik Hasan Nasbi, turut mengesahkan komitmen Encik Prabowo untuk memastikan IKN berfungsi sepenuhnya sebagai ibu negara politik.
“Ini bermakna pejabat eksekutif, legislatif, dan kehakiman akan berpusat di sana.
“Pembangunan IKN akan diteruskan, dan jika tiada halangan, menjelang 2028 atau selewat-lewatnya 2029, IKN akan dapat menjalankan fungsi sebagai ibu negara politik,” ujar Encik Hasan.
Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Puan Maharani, menyatakan bahawa beliau bersedia mengikuti keputusan Encik Prabowo untuk mula bertugas di ibu negara baru.
“Ya, kami akan mengikuti keputusan pemerintah. Sekarang ‘bola’ berada di pihak pemerintah,” katanya di bangunan legislatif, Senayan, Jakarta.
Ketua Badan Penguasa IKN Nusantara, Encik Basuki Hadimuljono, memaklumkan bahawa Encik Prabowo dijangka melawat IKN pada penghujung Disember atau awal Januari 2025, katanya di Kompleks Istana Presiden, Jakarta.
Encik Basuki juga menambah bahawa pembinaan pejabat eksekutif seperti Istana Negara dan pejabat kementerian dijangka siap menjelang akhir Disember 2024.
Bagi bangunan legislatif dan kehakiman, pembinaan dijangka bermula pada 2025 dan siap dalam masa dua tahun.
Encik Basuki turut memaklumkan bahawa persiapan keselamatan untuk IKN sedang giat dilaksanakan dengan kerjasama Polis Kalimantan Timur dan Badan Risikan Negara (BIN).
Dalam konteks lebih luas, Encik Basuki menyebut perubahan ibu negara itu juga bertujuan menangani kesan perubahan iklim, termasuk risiko Jakarta tenggelam akibat kenaikan paras air laut.
“Prabowo menandatangani Undang-Undang Nombor 151 Tahun 2024 yang mengubah status Jakarta menjadi Wilayah Khusus Jakarta (DKJ), bukan lagi Wilayah Khusus Ibu Kota Jakarta (DKI),” katanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg