NEW YORK: Agensi berita The New York Times (NYT) dan Agence France-Presse (AFP) serta majalah The Economist pada 12 Oktober menyertai lebih 40 syarikat penerbitan dalam satu gabungan yang bertujuan menghalang syarikat kecerdasan buatan (AI) daripada menggunakan atau meraih keuntungan daripada kandungan mereka tanpa kebenaran.

Gabungan Piawaian bagi Hak Penggunaan Penerbit (Spur), yang dilancarkan pada Februari, kini dianggotai lebih 80 anggota daripada lebih 20 negara. 

Antara anggota baharu gabungan itu termasuk majalah The Atlantic dan Persatuan Akhbar Kebangsaan Brazil, yang menyertai anggota pengasas seperti akhbar Financial Times, organisasi media BBC dan agensi berita Associated Press (AP).

Syarikat penerbitan kini semakin mempergiat tindakan undang-undang bagi menyekat syarikat AI daripada menggunakan kandungan mereka tanpa kebenaran untuk melatih model bahasa besar (LLM).

Pada awal Oktober, akhbar USA Today serta beberapa agensi akhbar di bawah naungannya telah mengemukakan saman terhadap syarikat penyelidikan dan pelaksanaan AI, OpenAI, atas dakwaan pelanggaran hak cipta.

OpenAI bersama firma penyokong utamanya, Microsoft, turut berdepan tuntutan hak cipta serupa daripada barisan penulis terkemuka serta organisasi berita lain, termasuk NYT.

Spur, gabungan yang dibiayai sepenuhnya oleh para anggotanya, sedang membangunkan piawaian industri dan sistem teknikal bagi membantu penerbit menjejak serta mengawal bagaimana syarikat AI menggunakan kandungan mereka, selain memudahkan proses perjanjian pelesenan.

“Perlindungan harta intelektual dan kemajuan teknologi boleh dan mesti wujud seiringan,” kata Ketua Perkongsian Strategik merangkap Ketua Pegawai Kakitangan NYT, Cik Rebecca Grossman-Cohen, dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbitan juga berdepan masalah kemerosotan jumlah kunjungan daripada rujukan (referral traffic), apabila enjin carian mula memperkenalkan jawapan janaan AI yang membolehkan pengguna membaca maklumat tanpa perlu menekan pautan ke laman web.

Jumlah kunjungan daripada carian Google ke lebih 2,500 laman web merosot sebanyak 33 peratus di peringkat global antara November 2024 dengan November 2025, menurut laporan Institut Reuters yang memetik data daripada Chartbeat. Chartbeat ialah platform analitik dan risikan kandungan masa nyata yang dibangunkan untuk penerbit digital, bilik berita dan syarikat media.

Spur baru-baru ini telah memperkenalkan Piawaian Telemetri Kandungan, yang direka untuk menyelaraskan cara ejen AI merekod dan melaporkan penggunaan kandungan media.

Menurut gabungan itu, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memastikan pencipta kandungan menerima bayaran bagi karya mereka. – Reuters.