Topik diikuti
Pergi ke BHkuOIC kecam pembukaan kedutaan Somaliland di Baitulmakdis
OIC kecam pembukaan kedutaan Somaliland di Baitulmakdis
OIC kecam pembukaan kedutaan Somaliland di Baitulmakdis
JEDDAH: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 16 Jun mengecam pembukaan apa yang disifatkannya sebagai kedutaan Somaliland di Baitulmakdis yang diduduki Israel, sambil menegaskan langkah itu melanggar undang-undang antarabangsa dan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam kenyataan yang diterbitkan di laman rasminya, Sekretariat Agung OIC berkata tindakan tersebut merupakan usaha untuk mengubah status undang-undang dan politik Baitulmakdis yang diduduki.
Menurut OIC, langkah itu tidak mempunyai sebarang kesahihan di sisi undang-undang antarabangsa kerana bercanggah dengan resolusi PBB yang melarang sebarang tindakan mengubah status bandar suci itu.
“OIC menganggap pembukaan kedutaan itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap Piagam PBB dan resolusi antarabangsa berkaitan Baitulmakdis,” menurut kenyataan tersebut.
Pertubuhan itu menegaskan Israel sebagai kuasa pendudukan tidak mempunyai kedaulatan ke atas Baitulmakdis yang diduduki.
OIC turut menegaskan bahawa semua keputusan dan langkah yang bertujuan mengubah kedudukan politik, undang-undang atau demografi bandar itu adalah tidak sah dan terbatal di sisi undang-undang antarabangsa.
“Semua langkah yang bertujuan mengubah status politik, undang-undang dan demografi Baitulmaqdis adalah batal dan tidak mempunyai kesan undang-undang,” katanya.
Dalam kenyataan sama, OIC mengulangi sokongan penuh terhadap Somalia serta menegaskan komitmennya terhadap kedaulatan, integriti wilayah dan perpaduan negara Afrika Timur itu.
Pertubuhan tersebut turut menggesa masyarakat antarabangsa mengambil pendirian tegas terhadap pembukaan kedutaan berkenaan.
“OIC menyeru masyarakat antarabangsa supaya menentang langkah tidak sah ini,” katanya lagi.
Israel pada 15 Jun mengumumkan pembukaan kedutaan Somaliland di Baitulmakdis selepas kedua-dua pihak mengumumkan pengiktirafan bersama pada Disember 2025.
Dengan pengiktirafan itu, Israel menjadi negara pertama yang secara rasmi mengiktiraf Somaliland sejak wilayah tersebut mengisytiharkan kemerdekaan secara unilateral daripada Somalia pada 1991.
Perkembangan itu mencetuskan kritikan daripada negara Arab dan beberapa pihak antarabangsa yang menegaskan kepentingan mempertahankan perpaduan dan kedaulatan Somalia selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Pemerintah Somalia berulang kali menegaskan bahawa Somaliland masih sebahagian daripada Republik Persekutuan Somalia dan menolak sebarang tindakan unilateral yang menjejaskan status politik negara itu.
Somaliland mengisytiharkan kemerdekaan lebih tiga dekad lalu selepas kejatuhan pemerintah pusat Somalia.
Sejak itu, wilayah berkenaan mempunyai pemerintah, pasukan keselamatan dan institusi pilihan rayanya sendiri.
Namun, Somaliland masih belum mendapat pengiktirafan meluas daripada masyarakat antarabangsa.
Penganalisis melihat tindakan Israel membuka hubungan diplomatik rasmi dengan Somaliland berpotensi meningkatkan ketegangan diplomatik di rantau Tanduk Afrika dan Asia Barat.
Langkah itu juga dijangka menambah tekanan terhadap usaha damai di Asia Barat ketika isu status Baitulmakdis terus menjadi pertikaian utama dalam konflik Palestin-Israel.
Baitulmakdis Timur dirampas Israel dalam perang 1967 sebelum diisytiharkan sebagai sebahagian daripada wilayah Israel secara sepihak.
Palestin mahu menjadikan Baitulmakdis Timur sebagai ibu kota negara Palestin pada masa depan, manakala Israel menganggap seluruh bandar itu sebagai ibu kotanya. – Agensi berita.
