Israel iktiraf Somaliland langkah strategik pertaruhan geopolitik di Laut Merah
Israel iktiraf Somaliland langkah strategik pertaruhan geopolitik di Laut Merah
Faktor geografi pemacu utama keputusan, Somaliland terletak di sepanjang Laut Merah dan Teluk Aden, salah satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia
MOGADISHU (Somalia): Keputusan Israel untuk mengiktiraf Somaliland sebagai sebuah negara berdaulat pada Disember 2025 menandakan satu anjakan geopolitik yang ketara di Tanduk Afrika.
Langkah itu bukan sahaja mencabar prinsip kedaulatan dan undang-undang antarabangsa, malah menguji keutuhan perpaduan dunia Islam serta komitmen Afrika terhadap prinsip kewibawaan wilayah yang selama ini menjadi asas kestabilan benua itu.
Walaupun Somaliland telah berfungsi sebagai sebuah negara de facto selama lebih tiga dekad, pengiktirafan oleh Israel merupakan titik perubahan penting kerana ia memecahkan kebuntuan diplomatik yang sekian lama wujud.
Namun, tindakan tersebut turut membuka ruang perdebatan lebih besar tentang motif strategik, persaingan kuasa di Laut Merah, serta peranan aktor serantau seperti Amiriah Arab Bersatu (UAE) dalam membentuk realiti geopolitik baru di rantau tersebut.
Somaliland mempunyai kedudukan strategik di Teluk Aden serta memiliki mata wang, pasport dan tentera sendiri.
Namun, ia menghadapi kesukaran mendapat pengiktirafan antarabangsa kerana kebimbangan ia akan mencetuskan kemarahan Somalia dan memberi inspirasi kepada gerakan pemisah lain di Afrika.
Somaliland mengisytiharkan kemerdekaannya pada 18 Mei 1991, selepas kejatuhan rejim, mantan Presiden Somalia, Encik Siad Barre, dan tercetusnya perang saudara yang berpanjangan di Somalia.
Wilayah itu sebelum ini di bawah British dan mencapai kemerdekaan singkat pada Jun 1960 sebelum bergabung dengan bekas Somalia yang diurus Italy untuk membentuk Republik Somalia.
Gabungan tersebut, bagaimanapun, gagal membentuk negara yang stabil dan terangkum, khususnya bagi masyarakat di wilayah utara.
Pemimpin Somaliland berkata, penyatuan itu tidak pernah disahkan secara rasmi dan terbatal apabila negara Somalia runtuh pada 1991.
Sejak 1991, Somaliland membina struktur negara sendiri dengan institusi pemerintahan, sistem keselamatan, mata wang dan proses pilihan raya yang relatif aman, berbeza dengan ketidakstabilan berpanjangan di selatan Somalia.
Namun, masyarakat antarabangsa kekal berpegang kepada prinsip menghormati sempadan sedia ada, menyebabkan Somaliland terus terpinggir daripada pengiktirafan rasmi.
Kepimpinan Somaliland menegaskan bahawa mereka bukan gerakan pemisahan, sebaliknya menuntut “pengiktirafan semula” terhadap sebuah entiti yang pernah merdeka.
Hujah itu walaupun mempunyai asas sejarah, tidak diterima sepenuhnya oleh Afrika dan dunia Islam yang bimbang terhadap implikasi lebih luas.
Pemerintah Somalia dengan tegas menolak pengiktirafan Israel itu.
Presiden Somalia, Encik Hassan Sheikh Mohamud, menyifatkannya sebagai “pencerobohan haram” dan pelanggaran terhadap norma diplomatik antarabangsa.
Dalam temu bual dengan Al Jazeera, beliau berkata, Somaliland menerima tiga syarat daripada Israel iaitu pemulangan penduduk Palestin; penubuhan pangkalan tentera di Teluk Aden; dan penyertaan dalam Perjanjian Abraham bagi memulihkan hubungan dengan Israel.
Kementerian luar Somaliland menolak dua syarat pertama.
Pengiktirafan Israel disokong oleh Amerika Syarikat tetapi dikritik oleh Mesir, Turkey, enam negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berpangkalan di Arab Saudi.
Kesatuan Eropah (EU) pula menegaskan kedaulatan Somalia harus dihormati.
Presiden Somaliland, Encik Abdirahman Abdullahi Mohamed, memuji keputusan Israel yang “berani” itu dan berkata ia akan membuka peluang ekonomi dan pembangunan.
Namun, di sebalik kecaman rasmi, pengiktirafan itu mendedahkan kerapuhan perpaduan dunia Islam.
Tiada langkah bersama yang tegas diambil terhadap Israel, mencerminkan realiti baharu di mana pertimbangan strategik dan hubungan dua hala semakin mengatasi prinsip bersama.
Somaliland, walaupun majoriti penduduknya beragama Islam, tidak mempunyai nilai simbolik yang tinggi dalam politik Islam sejagat, sekali gus mengurangkan tekanan politik ke atas negara-negara Islam untuk bertindak lebih keras.
Dari sudut Israel, faktor geografi merupakan pemacu utama keputusan tersebut.
Somaliland terletak di sepanjang Laut Merah dan Teluk Aden, dengan garis pantai sepanjang kira-kira 850 kilometer di salah satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia.
Kedudukannya berhampiran Yaman, di mana konflik melibatkan kumpulan Houthi terus mengancam keselamatan maritim, menjadikan wilayah itu aset strategik bernilai tinggi.
Penganalisis berkata, perjanjian dengan Somaliland boleh memberi Israel akses lebih baik ke Laut Merah, membolehkannya menyerang pemberontak Houthi di Yaman.
Encik Ehud Yaari dari Institut Washington berpandangan bahawa pengiktirafan itu membolehkan Israel membina kehadiran diplomatik dan keselamatan berhampiran zon konflik tanpa risiko politik yang wujud di negara-negara lain.
“Somaliland menawarkan lokasi yang strategik untuk pemantauan dan kerjasama keselamatan di Lembangan Laut Merah,” katanya.
Pakar Hubungan Antarabangsa dan Kajian Strategik di Universiti Nnamdi Azikiw, Nigeria, Profesor Frank-Collins Okafor pula menegaskan bahawa “Israel memerlukan titik tumpu strategik di luar Timur Tengah bagi melindungi kepentingan maritimnya”.
“Somaliland menyediakan akses yang relatif stabil, jauh daripada tekanan politik dalaman yang sering menjejas kerjasama di rantau lain,” ujarnya.
Selain Israel, UAE turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kepentingan strategik Somaliland.
Sejak beberapa tahun lalu, UAE melabur dalam pembangunan pelabuhan Berbera melalui syarikat DP World, menjadikan pelabuhan itu nadi penting dalam rangkaian logistik dan perdagangan serantau.
Kehadiran UAE bukan sahaja bersifat ekonomi, bahkan juga geopolitik, selari dengan persaingan pengaruh di Laut Merah dan Tanduk Afrika.
Penganalisis melihat pelaburan UAE sebagai faktor yang secara tidak langsung “memulihkan” hubungan antarabangsa dengan Somaliland.
Dengan kehadiran aktor Teluk yang berpengaruh, Somaliland semakin dilihat sebagai rakan strategik yang boleh dipercayai, sekali gus membuka jalan kepada pengiktirafan oleh negara lain.
Seorang penganalisis Afrika Timur yang enggan dinamakan memberitahu agensi berita, Reuters, dengan berkata:
“Israel bukan bertindak dalam vakum. Kehadiran UAE dan kepentingan Teluk di Berbera telah mengubah cara kuasa luar menilai Somaliland, daripada wilayah terasing kepada aset strategik.”
Bagi Afrika, pengiktirafan Israel mencabar prinsip asas yang dipertahankan oleh Kesatuan Afrika.
Walaupun keadaan Somaliland sering dihujahkan sebagai luar biasa, kebimbangan utama terletak pada kesan sistemik yang mungkin terhasil.
Negara-negara Afrika bimbang tindakan sepihak oleh kuasa luar berpotensi menghakis konsensus serantau sedia ada, sekali gus melemahkan kerangka bersama yang selama ini berfungsi mengekang tuntutan pemisahan di benua tersebut.
Namun, Profesor Okafor menegaskan bahawa “tidak semua gerakan pemisahan mempunyai nilai geopolitik seperti Somaliland”.
“Tanpa kepentingan strategik yang jelas, kebanyakan tuntutan lain akan terus diabaikan oleh masyarakat antarabangsa,” tambahnya.
Pengiktirafan Israel terhadap Somaliland mencerminkan pertembungan jelas antara prinsip dengan realpolitik.
Latar sejarah pemisahan Somaliland, kepentingan geografi yang kritikal, serta peranan aktor serantau seperti UAE menjadikan wilayah itu semakin sukar diabaikan.
Bagi dunia Islam, langkah itu mendedahkan kerapuhan perpaduan apabila berhadapan kepentingan strategik.
Bagi Afrika, ia menguji ketahanan prinsip kewibawaan wilayah yang selama ini menjadi benteng kestabilan.
Dalam landskap sejagat yang semakin ditentukan oleh persaingan kuasa, pengiktirafan diplomatik kini berfungsi sebagai alat strategik.
Sama ada Somaliland akan memperoleh pengiktirafan lebih meluas atau kekal sebagai pengecualian geopolitik, satu perkara jelas iaitu keputusan Israel telah memaksa dunia Islam dan Afrika berdepan realiti baru di mana prinsip kerap diuji oleh keperluan kuasa. – Agensi berita.

