PATTANI: Tekanan berterusan pihak berkuasa terhadap rangkaian penyeludupan, pengedaran dadah dan kegiatan haram dipercayai menjadi antara punca siri keganasan terbaru di tiga wilayah sempadan selatan Thailand pada malam 22 Ogos, lapor The Nation.

Komander Wilayah Tentera Keempat, Leftenan Jeneral Norathip Poynok, berkata kumpulan yang kehilangan sumber pendapatan akibat operasi penguatkuasaan itu dipercayai mencetuskan keganasan sebagai tindak balas terhadap pihak berkuasa.

Beliau berkata pasukan keselamatan sejak kebelakangan ini meningkatkan tekanan terhadap kumpulan yang disyaki terbabit dalam kegiatan keganasan, penyeludupan dan pengedaran dadah di Pattani, Yala serta Narathiwat.

Operasi kepungan dan pemeriksaan dijalankan secara berterusan dari akhir Julai hingga pertengahan Ogos, selain tindakan terhadap suspek yang dikaitkan dengan keganasan, rangkaian dadah dan perdagangan haram.

Menurut Leftenan Jeneral Norathip, yang juga Pengarah Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah 4, serangan terbaru dipercayai lebih bertujuan menjejaskan imej operasi pihak berkuasa dan bukannya secara khusus menyasarkan nyawa orang awam atau anggota keselamatan.

“Ada kemungkinan kumpulan yang kepentingan mereka terjejas cuba mencetuskan insiden sebagai tindakan balas terhadap pegawai kerajaan,” katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa turut meneruskan operasi “90 Hari Tumpas Dadah”, yang membawa kepada rampasan sejumlah besar dadah serta penahanan beberapa suspek.

Dalam satu operasi berasingan di daerah Yarang pada pertengahan Ogos, pihak berkuasa merampas lebih dua juta batang rokok seludup dan wang tunai sekitar 18 juta baht (S$700,000).

Operasi membanteras perdagangan haram itu turut dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah.

Pihak berkuasa menganggarkan perdagangan haram di kawasan tersebut boleh bernilai ratusan juta baht setiap bulan, menjadikannya sumber pendapatan lumayan kepada rangkaian jenayah.

Menurut Leftenan Jeneral Norathip, sebahagian kegiatan itu dipercayai turut menjadi sumber pembiayaan kepada gerakan pemberontak di selatan Thailand, termasuk menerusi kutipan wang perlindungan.

“Kegiatan ini menjadi sumber pembiayaan kepada gerakan pemberontak, yang turut mengutip wang perlindungan,” katanya.

Beliau menegaskan pihak berkuasa tidak akan mengendurkan tindakan terhadap kegiatan haram, khususnya penyeludupan di kawasan sempadan dan pengedaran dadah.

Kenyataan itu dibuat selepas beberapa siri keganasan berlaku secara terancang di Narathiwat, Pattani dan Yala bermula sekitar 8 malam pada 22 Ogos.

Serangan itu antaranya membabitkan perbuatan membakar pejabat pentadbiran, kenderaan dan sebuah kedai serbaneka, selain letupan yang menyasarkan tiang elektrik dan kemudahan lain.

Tiga orang awam turut dilaporkan cedera dalam satu letupan bom di tepi jalan di Narathiwat.

Tiada kumpulan setakat ini mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Sementara itu, data terbaru menunjukkan tiga wilayah sempadan selatan Thailand merekodkan 1,271 insiden keganasan yang menyebabkan sejumlah 3,270 orang terbunuh atau cedera antara 2017 dengan 31 Julai 2026.

Perangkaan itu disusun berdasarkan data Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) dan Pusat Berita Selatan agensi Isranews.

Data berkenaan tidak memisahkan jumlah kematian dengan mereka yang mengalami kecederaan.

Jumlah insiden tertinggi sepanjang tempoh itu dicatatkan pada 2017 dengan 175 kejadian, sebelum menurun kepada paras terendah sebanyak 57 pada 2020.

Angka itu kemudian kembali meningkat, dengan 170 insiden direkodkan pada 2024.

Dari segi jumlah korban dan kecederaan, angka tertinggi juga dicatatkan pada 2017 apabila 495 orang terbunuh atau cedera. Ia diikuti 440 orang pada 2025 dan 426 pada 2024.

Perangkaan bagi 2026 pula hanya meliputi tempoh sehingga 31 Julai dan belum menggambarkan jumlah keseluruhan bagi tahun ini.

Dalam perkembangan berasingan, Leftenan Jeneral Norathip menafikan dakwaan yang tersebar bahawa pihak keselamatan melepaskan tembakan terhadap orang awam dari sebuah helikopter.

Beliau mengesahkan helikopter dan dron digunakan untuk menjalankan rondaan di beberapa laluan, tetapi menegaskan tiada senjata digunakan atau tembakan dilepaskan dari udara ke arah darat.

“Jika senjata automatik benar-benar dilepaskan dari sebuah helikopter seperti yang didakwa, kenderaan atau sasaran yang disebut itu tidak mungkin dapat terlepas,” katanya.

Menurut beliau, dakwaan yang tersebar kepada orang ramai itu tidak selaras dengan fakta yang diperoleh pihak berkuasa.

Beliau berkata Markas Hadapan ISOC Wilayah 4 akan menyiasat fakta bagi setiap kejadian secara menyeluruh dan memastikan semua pihak dilayan secara adil.

Operasi keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang juga akan diteruskan serentak ketika pihak berkuasa berusaha membendung keganasan serta memutuskan sumber kewangan rangkaian haram di wilayah selatan Thailand. - Agensi berita