MAKASSAR: Sebuah kapal penumpang karam di perairan Kepulauan Selayar, Sulawesi Selatan, mengorbankan seorang wanita manakala 24 lagi masih hilang, menurut Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia (Basarnas).

Ketua Basarnas Makassar, Encik Muhammad Arif Anwar, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan dengan bantuan Tentera Laut Indonesia serta nelayan tempatan bagi mengesan mangsa yang masih belum ditemui.

Beliau berkata, kapal KM Nurul Salsa mengalami kerosakan enjin selepas berlepas dari Pulau Jampea menuju Pelabuhan Benteng di Pulau Selayar pada jam 5 pagi 15 Julai.

“Kru gagal membaiki kerosakan enjin dan tekong kemudian menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan pemindahan,” katanya.

Menurut beliau, kapal itu karam di barat Pulau Polassi, kira-kira 43 batu nautika dari destinasinya.

Ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi pada pagi Khamis, kapal itu didapati sudah separuh tenggelam.
Setakat ini, seramai 49 penumpang dan kru berjaya diselamatkan, manakala seorang wanita ditemui maut.

“Pasukan SAR bersama masih meneruskan pencarian terhadap 24 individu yang masih belum dapat dikesan,” katanya.

Encik Arif berkata, siasatan awal mendapati jumlah penumpang sebenar melebihi angka yang didaftarkan sebelum kapal itu belayar.

Pada mulanya,rekod menunjukkan hanya 50 penumpang berada di atas kapal, namun semakan lanjut mendapati jumlah sebenar ialah antara 70 hingga 74 orang.

“Jumlah mangsa masih belum dimuktamadkan kerana kami masih menunggu maklumat tambahan daripada keluarga penumpang,” katanya.

Beliau berkata, seramai 41 penumpang dan kru diselamatkan oleh kapal KM Harapan Kita, manakala enam lagi diselamatkan oleh sebuah bot nelayan yang kebetulan melalui kawasan kejadian sebelum dibawa ke Pulau Polassi.

Operasi SAR kini tertumpu di sekitar lokasi kapal karam berdasarkan pengiraan pergerakan arus dan hanyutan mangsa.

Selain Basarnas Makassar dan Selayar, operasi itu turut membabitkan Tentera Laut Indonesia yang mengerahkan kapal peronda KRI Marlin 877 serta bantuan nelayan tempatan.

Kemalangan laut sering berlaku di Indonesia berikutan faktor cuaca buruk, selain tahap pematuhan terhadap piawaian keselamatan yang masih rendah.

Pada Januari lalu, tiga pelancong dari Sepanyol maut apabila bot yang dinaiki mereka karam di timur Indonesia, manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun diisytiharkan hilang selepas operasi mencari ditamatkan. - Agensi berita