Operasi cari mangsa runtuhan tapak pelupusan Jakarta dihentikan selepas tujuh mayat ditemui

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Operasi cari mangsa runtuhan tapak pelupusan Jakarta dihentikan selepas tujuh mayat ditemui

Mar 10, 2026 | 1:40 PM

Operasi cari mangsa runtuhan tapak pelupusan Jakarta dihentikan selepas tujuh mayat ditemui

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Indonesia, runtuhan, sampah, Jakarta, tapak pelupusan, Bantargebang, Jawa Barat, Basarnas
Foto edaran yang dikeluarkan oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas) menunjukkan pasukan penyelamat memeriksa lokasi runtuhan timbunan sampah di tapak pelupusan Bantargebang, Jawa Barat, Indonesia, pada 9 Mac 2026. - Foto EPA

JAKARTA: Pasukan penyelamat Indonesia menamatkan operasi mencari mangsa runtuhan di tapak pelupusan sampah terbesar negara itu selepas tujuh mayat ditemui di bawah timbunan sisa dan tanah runtuh, menurut pihak berkuasa pada 10 Mac.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Jakarta, Cik Desiana Kartika Bahari, berkata tiga mayat ditemui pada Ahad manakala empat lagi ditemui pada hari berikutnya selepas operasi mencari dijalankan secara intensif.

“Pasukan penyelamat berjaya menemukan tujuh mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan. Semua mangsa kini telah dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian yang berlaku pada petang 8 Mac di Bantargebang, kira-kira 25 kilometer dari ibu kota Jakarta, runtuhan besar berlaku selepas hujan lebat berterusan di kawasan tersebut.

Runtuhan itu menimbus beberapa trak serta gerai makanan yang berada berhampiran tapak pelupusan sampah tersebut.

Selain mangsa yang maut, enam orang berjaya diselamatkan hidup-hidup daripada runtuhan oleh pasukan penyelamat.

Cik Desiana berkata operasi mencari dijalankan menggunakan pelbagai peralatan termasuk jengkaut, anjing pengesan serta dron haba bagi mengesan mangsa yang terperangkap.

“Operasi mencari melibatkan penggunaan jentera berat, anjing pengesan dan dron haba bagi membantu mengesan mangsa di bawah timbunan sampah,” katanya.

Menurut beliau, operasi mencari kini dihentikan selepas semua individu yang dilaporkan hilang berjaya dikenal pasti.

Runtuhan tersebut dilaporkan berlaku selepas hujan lebat berterusan selama beberapa jam di kawasan sekitar. Susulan keadaan cuaca yang tidak menentu, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) mengumumkan akan melaksanakan operasi pengubahsuaian cuaca bagi mengurangkan intensiti hujan di Jakarta.

Operasi itu biasanya melibatkan penggunaan helikopter untuk menyemai awan dengan bahan seperti natrium klorida bagi merangsang hujan turun lebih awal di laut, sekali gus mengurangkan hujan di kawasan daratan termasuk ibu kota.

Jakarta bersama kawasan bandar satelitnya yang dikenali sebagai Jabodetabek mempunyai kira-kira 42 juta penduduk dan menghasilkan sekitar 14,000 tan sampah setiap hari.

Tapak pelupusan Bantargebang merupakan antara yang terbesar di dunia, meliputi kawasan lebih 110 hektar dan mengandungi kira-kira 55 juta tan sisa buangan.

Seorang pegawai agensi alam sekitar tempatan berkata jumlah sampah yang terus meningkat menimbulkan cabaran besar kepada sistem pengurusan sisa di ibu kota Indonesia.

Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, sebelum ini memberi amaran bahawa kebanyakan tapak pelupusan sampah di negara itu dijangka mencapai had kapasiti menjelang 2028.

Beliau berkata pemerintah merancang melabur sekitar AS$3.5 bilion ($4.46 bilion) bagi membina 34 loji penjanaan tenaga daripada sisa dalam tempoh dua tahun.

Projek tersebut bertujuan membakar sampah bagi menghasilkan tenaga elektrik serta mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan terbuka.

Tragedi runtuhan tapak pelupusan bukanlah perkara baharu di Indonesia.

Pada 2005, runtuhan di sebuah tapak pelupusan di Jawa Barat mengorbankan 143 orang selepas letupan gas metana berlaku susulan hujan lebat di kawasan tersebut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg