KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat telah diperluaskan termasuk di enam lurang kumbahan (manhole) berhampiran lokasi tanah jerlus di mana Cik Vijayaletchumy, 48 tahun, dari selatan India, terjatuh pada 23 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Penolong Pesuruhjaya Sulizmie Sulaiman, berkata enam lurang kumbahan itu termasuk di persimpangan Jalan Melayu dan Dataran Merdeka.
“Pada 10.30 pagi tadi, seorang anggota bomba turun ke dalam lurang di hadapan Wisma Yakin tetapi tidak menemui mangsa atau sebarang petunjuk lain.
“Kami sedang mencari lurang kedua di Jalan Melayu. Marilah kita berdoa agar kita dapat menemui mangsa,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian pada 24 Ogos.
Encik Sulizmie berkata pencarian di lurang perlu dilakukan secara berperingkat untuk mengehadkan risiko kepada penyelamat.
“Atas sebab keselamatan, kami hanya boleh menurunkan seorang anggota bomba untuk setiap lurang.
“Lurang pertama berhampiran Wisma Yakin adalah kira-kira 100 meter dari lubang benam dan antara satu lurang dengan lurang yang lain jaraknya kira-kira 100 meter,” tambahnya.
Beliau mengingatkan mereka yang berada di sekitar kawasan operasi supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
“Kami juga menasihatkan pengunjung dan peniaga berhampiran lurang supaya mengelak lokasi itu buat masa ini kerana kami tidak mahu mereka terhidu sebarang gas beracun daripada sistem kumbahan,” katanya.
Sekurang-kurangnya 10 cawangan perniagaan terjejas akibat penutupan di kawasan tersebut.
Encik Sulizmie berkata penyelamat menggunakan setiap kepakaran dan teknologi yang ada dan mendapatkan bantuan daripada agensi lain.
Hanya selipar mangsa ditemui semasa operasi mencari itu, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Pesuruhjaya Rusdi Mohd Isa, dalam sidang media sebelum operasi disambung semula pada 24 Ogos.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan wanita itu sedang berjalan bersama keluarganya apabila sekeping turapan berhampiran Malayan Mansion runtuh, menjunamnya ke dalam lubang benam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kira-kira 8.20 pagi dan 15 anggota bomba dari dua balai telah diaktifkan.
“Apa yang kita tahu, mangsa adalah seorang pelancong yang telah berada di sini selama dua bulan dan esok sepatutnya menjadi hari terakhirnya di negara ini sebelum pulang ke India,” kata Encik Rusdi. Beliau menggesa media memberi sedikit ruang kepada keluarga itu.
Beliau menambah bahawa pihak berkuasa akan membantu keluarga itu dengan memberikan maklumat terkini tepat pada masanya dan berkomunikasi dengan Suruhanjaya Tinggi India mengenai lanjutan visa.
Anak lelaki sulung mangsa meraung apabila beliau merayu kepada pasukan mencari dan menyelamat supaya “selamatkan ibu saya”.
Suami wanita itu dan sekumpulan wanita duduk berhampiran lokasi kejadian. Dengan mata berair, mereka bertanya kepada pihak berkuasa jika mangsa akan ditemui.
“Saya sedang berjalan dan tiba-tiba dia hilang,” kata salah seorang wanita mengenai kejadian itu. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg