SANAA: Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Aden dihentikan sementara pada 1 Januari, dalam perkembangan terbaru yang mencerminkan krisis kian meruncing antara dua kuasa Teluk, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), yang kini memberi kesan langsung terhadap kestabilan Yaman.
Lapangan terbang itu merupakan pintu masuk antarabangsa utama bagi wilayah Yaman yang tidak dikuasai kumpulan Houthi.
Sejak pagi 1 Januari, ratusan penumpang dilihat berkumpul di terminal, menunggu kepastian nasib penerbangan mereka yang tergendala tanpa penjelasan jelas.
Seorang penumpang, Encik Awadh al-Subaihi, berkata beliau telah menunggu sejak awal pagi untuk menaiki penerbangan ke Kahirah, Mesir, bagi mendapatkan rawatan perubatan.
“Kami benar-benar menderita. Ramai pesakit dan warga emas terperangkap di sini dalam keadaan yang amat sukar,” katanya.
Sumber Yaman kemudian memaklumkan penerbangan antara Aden dengan destinasi luar UAE akan disambung semula pada hari yang sama.
Penutupan ruang udara itu dilaporkan berpunca daripada pertikaian mengenai sekatan penerbangan ke UAE, walaupun terdapat kenyataan bercanggah tentang siapakah yang bertanggungjawab.
UAE diketahui menyokong Majlis Peralihan Selatan (STC), kumpulan pemisah yang merampas kawalan ke atas sebahagian besar selatan Yaman daripada pemerintah yang diiktiraf antarabangsa pada Disember lalu.
Arab Saudi pula menyokong pemerintah tersebut dan menganggap tindakan STC sebagai ancaman langsung terhadap keselamatan wilayahnya.
Perkembangan itu mencetuskan krisis paling serius antara Riyadh dengan Abu Dhabi dalam beberapa dekad, sekali gus menonjolkan perpecahan mendalam antara dua sekutu lama dalam konflik Yaman.
STC yang disokong UAE kini menguasai Kementerian Pengangkutan dalam pemerintah gabungan Yaman, walaupun kepimpinan utama pemerintah itu disokong Arab Saudi dan beroperasi dari luar negara.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu menuduh Arab Saudi mengenakan sekatan udara dengan mewajibkan semua penerbangan melalui wilayah Saudi untuk pemeriksaan tambahan.
Kementerian itu berkata apabila mereka membantah, Riyadh memaklumkan sekatan itu hanya melibatkan penerbangan antara Aden dengan UAE.
Namun, sumber Saudi menafikan sekeras-kerasnya penglibatan Riyadh dalam sekatan tersebut.
Menurut sumber itu, pemerintah Yaman sendiri yang mengarahkan sekatan penerbangan ke UAE bagi meredakan ketegangan yang kian memuncak.
Sumber itu turut mendakwa kementerian pengangkutan yang dikuasai STC bertindak balas dengan mengarahkan penutupan penuh operasi penerbangan, bukannya mematuhi sekatan terhad ke UAE.
Seorang pegawai di pejabat Menteri Pengangkutan Yaman menafikan dakwaan itu, sambil menegaskan tiada arahan dikeluarkan untuk menutup lapangan terbang.
Agensi berita, Reuters, tidak dapat menghubungi pemimpin pemerintah Yaman yang diiktiraf antarabangsa, dan kini berada di Arab Saudi sejak STC menguasai selatan negara itu, bagi mendapatkan ulasan.
Kementerian Luar UAE juga tidak segera memberikan respons untuk memberi komen.
Pertikaian mengenai lapangan terbang itu berlaku di tengah ketegangan Saudi-UAE semakin meningkat secara terbuka.
Terdahulu Arab Saudi menuduh UAE memberi tekanan terhadap STC supaya mara ke kawasan berhampiran sempadan Saudi, sambil menegaskan keselamatan negaranya merupakan satu “garisan merah”.
Sebagai tindak balas, UAE mengumumkan ia akan menarik balik baki tenteranya dari Yaman.
Ketegangan itu menyusul selepas serangan udara gabungan pimpinan Saudi ke atas pelabuhan Mukalla, yang menurut gabungan itu digunakan untuk menyokong tentera asing kumpulan pemisah.
UAE menafikan dakwaan pelabuhan tersebut digunakan untuk menghantar senjata kepada STC.
STC pula menyatakan pasukan pemerintah yang disokong Saudi akan memasuki wilayah yang dikuasainya, satu langkah yang dilihat gagal memenuhi tuntutan Riyadh yang mahukan pengunduran penuh STC dari wilayah Hadramawt dan Mahra.
“Hari ini kami melancarkan operasi untuk menyepadukan pasukan Perisai Nasional selatan supaya mereka boleh memikul tanggungjawab ketenteraan,” kata STC dalam satu kenyataan.
Mereka berkata, satu briged Perisai Nasional akan ditempatkan di beberapa kawasan Hadramawt dan Mahra seperti yang dipersetujui.
Namun, sumber rapat dengan kerajaan Saudi memberitahu agensi berita, AFP, bahawa keperluan keselamatan Riyadh hanya akan dipenuhi jika STC “berundur sepenuhnya dari Hadramawt dan Mahra”.
“Kita perlu melihat apa yang benar-benar berlaku di lapangan,” katanya.
Jurucakap STC, Encik Anwar al-Tamimi, mempertahankan perjanjian itu dengan berkata pasukan kerajaan yang dikerahkan terdiri terutama daripada orang selatan Yaman yang dibiayai dan diselia Arab Saudi.
Penambahan ketegangan ini menimbulkan kebimbangan Yaman selatan, yang pernah menjadi negara berasingan sebelum penyatuan pada 1990, mungkin kembali ke arah pemisahan, sekali gus menjejas rundingan damai yang sudah rapuh dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran.
Walaupun Saudi dan UAE sama-sama menentang Houthi, sokongan mereka terhadap puak berbeza dalam pemerintah Yaman kini mendedahkan persaingan terbuka yang berpotensi memburukkan lagi konflik di negara termiskin Asia Barat itu. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg