SANAA : Yaman kembali berdepan krisis politik dan keselamatan yang serius apabila ketua Majlis Kepimpinan Presiden, Rashad al-Alimi, mengisytiharkan keadaan darurat selama 90 hari dan membatalkan Perjanjian Pertahanan Bersama dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE). Tindakan drastik itu diambil susulan kemaraan pesat pasukan pemisah selatan yang disokong Abu Dhabi, yang telah merampas wilayah strategik di timur dan selatan negara itu.
Dalam satu kenyataan rasmi, pemerintah Yaman mengumumkan bahawa “Perjanjian Pertahanan Bersama dengan Amiriah Arab Bersatu dibatalkan serta-merta”. Satu dekri berasingan pula mengisytiharkan darurat selama tiga bulan, termasuk penutupan semua pintu masuk darat, laut dan udara selama 72 jam sebagai langkah kecemasan keselamatan.
Langkah ini dibuat selepas pasukan Majlis Peralihan Selatan (STC), kumpulan pemisah yang menerima sokongan ketenteraan UAE, menguasai sebahagian besar wilayah Hadramout yang kaya dengan sumber, serta kawasan di wilayah al-Mahrah yang bersempadan dengan Oman.
Dalam ucapan televisyen kepada rakyat Yaman, Presiden, Rashad al-Alimi mengarahkan pasukan STC menyerahkan semula wilayah yang dirampas kepada pasukan keselamatan yang disokong Arab Saudi. Beliau menyifatkan tindakan STC sebagai “pemberontakan yang tidak boleh diterima” dan satu cabaran terbuka terhadap kedaulatan negara.
“Kemaraan ini mendorong Yaman ke arah kekacauan dan perpecahan,” kata Encik al-Alimi. “Ia bukan sekadar isu keselamatan, tetapi ancaman langsung terhadap kesatuan nasional.”
Ketegangan semakin memuncak apabila pakatan ketenteraan pimpinan Arab Saudi mengesahkan ia telah melancarkan serangan udara terhad ke atas penghantaran senjata yang didakwa milik UAE dan ditujukan kepada STC. Serangan itu dilaporkan berlaku di pelabuhan al-Mukalla, ibu kota wilayah Hadramout.
Jurucakap pakatan itu, Brigedier Jeneral Turki al-Malki, berkata dua kapal dari UAE telah memasuki pelabuhan tanpa kebenaran dan mula memunggah sejumlah besar senjata serta kenderaan perisai.
“Memandangkan bahaya dan peningkatan yang dibawa oleh senjata ini, yang mengancam keselamatan dan kestabilan, angkatan udara pakatan telah melaksanakan operasi ketenteraan terhad untuk menyasarkan peralatan tersebut,” katanya.
Rakaman dan imej yang dikeluarkan Arab Saudi menunjukkan kapal dan kenderaan perisai musnah dalam serangan itu. Wartawan tempatan di Mukalla melaporkan letupan kuat pada awal pagi, diikuti kebakaran besar di kawasan pelabuhan.
“Letupan itu menggegarkan bangunan berhampiran pelabuhan dan memecahkan tingkap,” kata seorang wartawan tempatan, Encik Ahmed Saleh. “Banyak kenderaan tentera terbakar atau rosak teruk.”
Serangan itu merupakan kali pertama Arab Saudi secara terbuka menyasarkan aset yang dikaitkan dengan STC, sekali gus mendedahkan keretakan serius antara dua kuasa Teluk yang sebelum ini bekerjasama menentang pemberontak Houthi.
Kementerian Luar Arab Saudi menyifatkan sokongan UAE terhadap kemaraan STC sebagai “satu ancaman kepada keselamatan negara Saudi, serta kestabilan Republik Yaman dan rantau ini”. Dalam kenyataan yang dimuat naik dalam talian, kementerian itu berkata langkah Abu Dhabi adalah “amat berbahaya” dan berpotensi menjejaskan usaha damai yang rapuh.
Setakat ini, UAE belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.
Pemerintah Yaman pula mengarahkan semua pasukan UAE berundur dari wilayahnya dalam tempoh 24 jam, satu tuntutan yang dilihat sukar dilaksanakan memandangkan pengaruh Abu Dhabi yang mendalam di selatan Yaman.
Perkembangan ini berlaku ketika rundingan damai dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran masih berjalan perlahan. Houthi kekal menguasai sebahagian besar barat dan utara Yaman, termasuk ibu negara Sanaa dan pelabuhan strategik Hodeidah.
Pemerhati memberi amaran bahawa konflik antara pemerintah Yaman, STC dan perpecahan dalam pakatan Saudi-UAE boleh menggagalkan sepenuhnya proses damai yang telah lama diusahakan.
Walaupun STC secara rasmi merupakan sebahagian daripada pemerintah perpaduan Yaman, kumpulan itu sejak sekian lama memperjuangkan penubuhan negara Yaman Selatan yang merdeka, mengibarkan bendera bekas negara itu dalam perhimpunan awam di Mukalla.
Arab Saudi, sebaliknya, menegaskan sokongan kepada pemerintah Yaman yang diiktiraf antarabangsa dan berusaha mengekalkan keutuhan wilayah negara tersebut.
Terdahulu pakatan tentera Yaman yang diketuai Arab Saudi akan melaksanakan satu “operasi ketenteraan” dan menggesa orang awam segera mengosongkan pelabuhan Mukalla.
Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan langkah pemindahan itu bertujuan melindungi orang awam semasa pelaksanaan operasi ketenteraan berkenaan. Pakatan itu sebelum ini memberi amaran kepada pasukan pemisah, mereka akan menyokong pemerintah Yaman dalam sebarang konfrontasi ketenteraan.
Sejak 3 Disember lalu, pasukan STC menguasai beberapa kawasan di wilayah timur Yaman, Hadramout. Empat hari kemudian, pasukan STC meluaskan penguasaan ke satu lagi wilayah timur, Mahra.
Sebuah pasukan ketenteraan bersama Arab Saudi–UAE dihantar ke Aden, selatan Yaman bagi mengatur langkah bersama STC untuk memastikan pasukan berkenaan kembali ke kedudukan asal mereka di luar kedua-dua wilayah itu.
Pengambilalihan berkenaan mencetuskan gesaan yang semakin meningkat di peringkat tempatan dan serantau agar pasukan STC berundur dari Hadramout dan Mahra, yang bersama-sama meliputi hampir separuh keluasan wilayah Yaman, kira-kira 555,000 kilometer persegi.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memberi amaran peningkatan ketegangan yang berterusan boleh membawa akibat serius terhadap Yaman, yang kini berdepan krisis kemanusiaan dan ekonomi. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg