Usaha mengesan dan menyelamatkan warga India yang hilang semasa insiden tanah jerlus di Masjid India pada 23 Ogos telah dihentikan secara rasmi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan pandangan pakar dan faktor lain.
“Beberapa faktor dipertimbang dalam menghentikan operasi ini, termasuk keselamatan dan kesihatan kakitangan penyelamat,” katanya pada 31 Ogos.
Satu lagi insiden tanah jerlus sekitar 50 meter jauh daripada kawasan di mana mangsa terjatuh turut menimbulkan kebimbangan akan tahap keselamatan kawasan itu, katanya dalam satu sidang media.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pakar dari jabatan bomba dan penyelamat, dewan bandaraya dan juga agensi lain, katanya.
Pada 23 Ogos, mangsa yang dikenali sebagai G.Vijaya Lakshmi, 48 tahun, dari Kuppam hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus pada 8.22 pagi.
Menurut Dr Zaliha, susulan itu, pihaknya akan melakukan pemetaan utiliti dan kajian struktur tanah di seluruh Kuala Lumpur.
“Kita juga akan mendekati peniaga di sini untuk bantu mereka teruskan aktiviti biasa,” katanya.
Dr Zaliha berkata pihaknya telah mengenal pasti kawasan berjarak 100 meter dari pintu gerbang Masjid India ke pusat beli-belah Mydin untuk dilakukan proses baik pulih itu.
Beliau juga berkata pihaknya dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi India telah memaklumkan kepada keluarga mangsa penamatan operasi itu dan mereka memahami keputusan tersebut.
Dr Zaliha berkata pihaknya akan turut membantu menguruskan pelanjutan visa keluarga mangsa jika perlu.
Pihak berkuasa Malaysia berkata sebelum ini bahawa sebahagian besar konkrit di lobang tanah jerlus itu pecah, dan mangsa dipercayai jatuh ke dalam dan dihanyutkan air deras.
Hujan lebat yang melanda Kuala Lumpur beberapa sepanjang minggu lalu mengakibatkan air deras di lobang tanah jerlus itu.
Menurut Dr Zaliha, pasukan penyelamat telah menemukan ‘objek’ dalam paip di kawasan itu, namun tidak dapat mengesahkan sama ada ia wanita tersebut memandangkan air yang deras menjadikan operasi menyelamat itu terlalu berbahaya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg