Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jalan Masjid India yang dulu sibuk kini suram

Kejadian wanita warga India hilang terperlus di tanah jerlus cetus ketakutan pelancong, peniaga dakwa rugi lebih 70 peratus
Sep 1, 2024 | 5:30 AM
Jalan Masjid India di Kuala Lumpur, yang ditandai di peta Google sebagai lokasi sibuk dan tempat beli-belah popular, kini sepi dan suram selepas kejadian wanita warga India terjatuh dan hilang dalam tanah jerlus pada 23 Ogos.
Jalan Masjid India di Kuala Lumpur, yang ditandai di peta Google sebagai lokasi sibuk dan tempat beli-belah popular, kini sepi dan suram selepas kejadian wanita warga India terjatuh dan hilang dalam tanah jerlus pada 23 Ogos. - Foto-foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

“Selamat ke nak pergi Masjid India ni?; Betul ke KL (Kuala Lumpur) bakal tenggelam?; Bangunan dekat Jalan Masjid India tu kukuh lagi ke?”

Persoalan itu antara yang menebak fikiran umum, mengenai tahap keselamatan Jalan Masjid India, di Kuala Lumpur, selepas seorang wanita warga India, Cik Vijayaletchumy, 48 tahun, terperosok ke dalam lubang tanah jerlus sedalam kira-kira 10 meter, pada 23 Ogos lalu.

Lebih membimbangkan, telah berlaku pula mendapan kedua berhampiran Pondok Polis Masjid India, yang hanya berjarak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian pertama.

Berbeza dengan kejadian tanah jerlus pertama yang berlaku ketika cuaca baik kira-kira 8 pagi, insiden kedua terjadi selepas hujan lebat dan ribut kira-kira 2.30 pagi, 28 Ogos.

Peristiwa yang mendapat perhatian masyarakat pelbagai negara itu cukup menimbulkan kegusaran awam terutama pelancong ke Kuala Lumpur, khususnya Jalan Masjid India.

Ia sama sekali merubah kelaziman sibuknya kawasan perniagaan di situ yang sentiasa dipenuhi manusia dan kenderaan bertali arus, kepada rasa janggal warga Masjid India apabila lokasi terbabit kini suram dan lengang.

Penguatkuasaan langkah keselamatan oleh pihak berkuasa, termasuk menyekat pergerakan keluar masuk kenderaan ke kawasan bencana dengan menutup keseluruhan Jalan Masjid India, yang diperluaskan sehingga 1.4 kilometer, menambah kegusaran peniaga di situ yang hilang mata pencarian.

Pada 31 Ogos, pihak berkuasa telah mengumumkan yang operasi mencari mangsa dihentikan kerana beberapa sebab termasuk keselamatan dan kesihatan para anggota pasukan mencari.

Keputusan itu dibuat selepas rundingan dengan pakar dari jabatan kebakaran dan menyelamat, polis dan agensi relevan lain serta setelah memaklumkan Kabinet, kata Menteri di Jabatan Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, dalam satu sidang media.

Sudah lebih seminggu berlalu sejak kejadian berlaku pada 23 Ogos, rata-rata peniaga memberitahu Berita Minggu (BM), perniagaan mereka terjejas teruk berikutan orang ramai fobia mendekati kawasan yang popular sebagai tempat beli-belah itu, selain sukar dikunjungi kerana kawalan ketat pihak berkuasa.

Justeru, peniaga di kawasan yang turut dikenali sebagai, Little India, itu menggesa bantuan segera kerajaan untuk meringankan mereka dalam menghadapi keadaan tersebut.

Menurut mereka, perniagaan sudah agak perlahan sejak lebih sebulan lalu, berikutan cuaca yang kerap hujan selain banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di ibu kota terutama di sekitar Masjid India. Ia menyebabkan mereka kurang menerima pelanggan. Kejadian tanah jerlus itu memburukkan lagi keadaan.

Pekerja kedai emas, Cik Sarine Shamima Bahurdeen, 47 tahun, yang jarak premisnya hanya kira-kira 10 meter dari tempat kejadian tanah jerlus itu, tidak hanya bimbangkan perniagaan terus merudum, malah gusar memikirkan sebarang kemungkinan risiko keselamatan.

Disebabkan itu, beliau diarahkan majikannya untuk mengosongkan kedai dan menyimpan semua barang kemas yang dijual, kerana takut sebarang kemungkinan buruk, termasuk risiko berlaku lagi kejadian tanah jerlus.

“Sejak kejadian pada 23 Ogos, kami terpaksa menutup operasi kedai pada Sabtu dan Ahad (24 dan 25 Ogos), sedangkan lazimnya hujung minggu adalah waktu sibuk dan lubuk rezeki buat kami. Pada Isnin (26 Ogos) kami mula operasi semula, tetapi langsung tiada pelanggan sehingga sekarang.

“Tetapi apa boleh buat, kami juga simpati dengan keluarga mangsa. Kami sendiri takut berada di sini. Diharap semuanya segera berakhir,” katanya ketika ditemui BM.

Pengurus khidmat pelanggan kedai pakaian, Encik M Nathan, 71 tahun, berkata Masjid India yang terkenal dengan tarikan pelbagai jualan dan makanan unik bukan saja menarik pelancong dari India, malah juga seluruh dunia.

“Pelancong Singapura, Indonesia, Jepun, Korea, Arab dan mat salih juga gemar ke sini. Tak dapat dinafikan kejadian tanah jerlus ini menyebabkan kami hilang 70 peratus pelanggan,” katanya.

“Kami faham emosi keluarga mangsa serta menghormati komitmen kerajaan mahu menyelesaikan kes ini sehingga mangsa ditemui.

“Cuma berharap kerajaan dapat bantu kami mendepani keadaan ini. Kami bukan saja bimbang soal pendapatan, malah juga nyawa,” ujar Encik Nathan.

Selain Jalan Masjid India, peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Jalan TAR, serta pusat beli-belah berhampiran seperti Sogo turut terjejas.

Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Pasar Malam Lorong TAR, Encik Azkhalim Suradi, 52 tahun, berkata tragedi itu telah mencalar imej Jalan Masjid India di mata pelancong hingga dianggap tidak selamat, justeru berharap kerajaan mengambil langkah terbaik sekiranya operasi perniagaan di situ terjejas dalam tempoh panjang.

“Penting untuk kita pastikan selepas semuanya selesai, Masjid India perlu dipromosi semula terutama untuk menyakinkan pelancong ke sini,” katanya.

Kegusaran awam untuk mengunjungi Jalan Masjid India ketika ini turut dirasakan wartawan BM sepanjang ke sana seminggu lalu untuk membuat liputan kejadian.

Tidak dapat dinafikan rasa berdebar dan takut mengiringi setiap langkah, sambil mata liar memerhatikan setiap inci jalan yang dipijak, bimbang wujud petanda retak atau mendap.

Perasaan takut turut dikongsi pelancong dari Indonesia, Cik Angita Indrani, 30 tahun. Beliau hanya mengetahui mengenai bencana itu selepas dimaklumkan pemandu kenderaan swasta yang menghantar mereka ke Jalan Masjid India untuk beli-belah.

“Sahabat yang pernah datang Malaysia beritahu wajib datang ke Jalan Masjid India. Jadi kami memang teruja, tetapi terkejut dan takut selepas mengetahui mengenai kejadian menerusi media sosial,” katanya.

Walaupun kerajaan Malaysia menerusi pelbagai pihak memberi jaminan Masjid India selamat untuk didiami dan dikunjungi, lebih 800 penduduk di Flat Malayan Mansion berketinggian lapan tingkat yang hampir dengan lokasi tanah jerlus itu tidak lena tidur memikirkan keselamatan mereka.

Penduduk bimbang kejadian seperti runtuhan kondominium Highland Towers di Selangor pada Disember 1993 berulang.

Dilaporkan kejadian tanah jerlus bukan kali pertama berlaku di Jalan Masjid India, namun sebelum ini tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Kerajaan juga wajar mengambil serius laporan kajian dan akademik mengenai kawasan berisiko berlaku tanah jerlus di Kuala Lumpur.

Umpamanya, agak membimbangkan apabila laporan bertajuk, Sinkhole Susceptibility Hazard Zones Using GIS and Analytical Hierarchical Process (AHP): A Case Study of Kuala Lumpur and Ampang Jaya pada 2017, menyenaraikan Pudu, Cheras dan KLCC sebagai kawasan berisiko bagi terjadinya tanah jerlus.

Kawasan Kepong, Kampung Baru, Ampang dan Pandan Jaya pula dikategorikan berisiko tinggi.

Usaha kerajaan menghentikan sementara kerja pembangunan di Kuala Lumpur, memperkemas prosedur operasi standard (SOP) projek pembangunan, rancangan melakukan audit integriti sistem utiliti bawah tanah dan memperluaskan kajian geoteknik di kawasan landai berbanding hanya di kawasan cerun sebelum ini, perlu disegerakan.

Justeru, benarkah Kuala Lumpur dan Masjid India selamat untuk dikunjungi? Yakinlah dengan jaminan pihak berkuasa ketika ini, namun dalam masa sama sentiasa berjaga-jaga kerana alam kini sudah semakin tenat dek kerakusan pembangunan dan kelalaian manusia menjaga alam sekitar.

Bencana seperti tanah runtuh, tanah jerlus, mendapan dan banjir kilat, semakin sukar dijangka. Sama-sama juga doakan supaya mangsa segera ditemukan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg