Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Paderi ubah Gereja Gaza jadi hospital rawat mangsa cedera, sakit

Jul 15, 2024 | 5:30 AM
Gaza
Sebuah gereja di Jaluran Gaza telah diubah menjadi pusat rawatan kesihatan, bagi menampung pesakit yang semakin meningkat, ekoran banyak hospital musnah dek serangan bom tentera Israel. - Foto REUTERS

JALURAN GAZA: Gereja St. Philip pernah menawarkan tempat berbakti kepada masyarakat kecil Kristian Gaza.

Selepas sembilan bulan menghadapi serangan Israel, yang telah memusnahkan sistem kesihatan Palestin, paderi gereja itu telah mengubahnya menjadi hospital.

Katil-katil diatur berderetan di dinding batu pucat di bawah bumbung berkubah. Doktor merawat pesakit yang tidak dapat tempat di hospital Al-Ahli al-Arabi yang dikendalikan oleh Anglikan.

Seperti kebanyakan kemudahan perubatan lain di Gaza hospital itu turut mengalami tekanan kerana terlalu ramai pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan.

“Ruang yang dikhaskan untuk bersembahyang telah diubah menjadi klinik, kerana kekurangan tempat yang tersedia.

“Hari ini, keutamaan kami adalah untuk menyelamatkan nyawa setiap manusia yang kami mampu,” kata paderi Munther Isaac, yang memakai jubah berwarna hitam.

Seorang lelaki berdiri di tepi satu katil, mengipas pesakit tua yang terbaring dengan pelitup oksigen menutup mulutnya.

“Tiada tempat untuk meletak pesakit, jadi kami terpaksa beralih ke tempat ini, iaitu ruang untuk orang Kristian beribadat di sini di Gaza,” kata Doktor Mohammed al-Sheikh.

“Disebabkan kekurangan kemudahan, kami gunakan bangku sebagai tempat tidur pesakit,” katanya.

Peperangan bermula pada 7 Oktober apabila kumpulan militan Palestin Hamas menyerbu pertahanan sempadan untuk menyerbu masyarakat di Israel, membunuh lebih 1,400 orang dan merampas kira-kira 250 sebagai tebusan, menurut pengiraan Israel.

Serangan Israel ke atas Gaza sebagai tindak balas, bermula pada hari yang sama dengan pengeboman hebat yang berterusan selama sembilan bulan bersama-sama dengan pencerobohan tentera darat, yang menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin telah membunuh lebih 38,000 orang dan mencederakan lebih 80,000.

Bilangan kecederaan yang tinggi akibat konflik, telah menambahkan penyakit dan kekurangan zat makanan yang berleluasa dalam kalangan 90 peratus penduduk Gaza.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, akibat kehilangan tempat tinggal, telah memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan kawasan itu.

Bagaimanapun, kempen serangan tidak berperikemanusiaan Israel telah menyebabkan banyak hospital dan kemudahan kesihatan lain tidak beroperasi, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ia sekali gus menyebabkan kekurangan bekalan perubatan yang diperlukan.

Israel menafikan sengaja menyasarkan kemudahan kesihatan atau menghentikan bekalan perubatan masuk ke Gaza.

“Di gereja ini, yang bukan lagi rumah ibadat tetapi telah dijadikan kemudahan kejururawatan, kami mendapat beberapa perkhidmatan perubatan asas,” kata Encik Abu Mohammed Abu Samra, yang menemani ibunya yang sakit dirawat di St. Philip.

“Ia menunjukkan perpaduan antara umat Islam dengan Kristian di utara Gaza,” tambahnya.

Walaupun terdapat penduduk Kristian Palestin yang ketara di Tebing Barat, masyarakat Kristian adalah sangat kecil di Gaza, yang sejak 2006 telah dikawal oleh kumpulan Islam Hamas.

Di luar St. Philip, kehidupan di Gaza berterusan, tanda-tanda kerosakan perang kelihatan di jalan yang sibuk ketika seorang lelaki berbasikal berlalu di situ. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg