SEOUL: Pemangku Presiden Korea Selatan, Choi Sang-mok, telah mengarahkan pemeriksaan keselamatan kecemasan ke atas keseluruhan sistem operasi penerbangan negara itu.
Arahan ini dikeluarkan susulan tragedi nahas pesawat Jeju Air yang meragut 179 nyawa, menjadikannya insiden penerbangan paling buruk dalam sejarah negara tersebut.
“Keutamaan kini ialah mengenal pasti mangsa, memberi sokongan kepada keluarga, dan merawat mereka yang terselamat,” kata Encik Choi dalam mesyuarat pengurusan bencana di Seoul pada 30 Disember.
Beliau turut menyeru agar hasil siasatan didedahkan secara telus kepada masyarakat.
“Kami meminta pihak berkuasa memberi maklumat terkini kepada keluarga mangsa dan memastikan proses penyiasatan dijalankan secara terbuka,” tambahnya.
Beliau turut mengumumkan tempoh berkabung nasional selama tujuh hari di seluruh negara berikutan nahas pesawat itu. Tempoh berkabung bermula pada Ahad, 29 Disember dan akan berakhir pada tengah malam Sabtu, 4 Januari.
Jeju Air Flight 2216, dengan pesawat Boeing 737-800, sedang dalam proses mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan selepas penerbangan dari Bangkok.
Pesawat tersebut tergelincir dari landasan, merempuh dinding, dan meletup dalam kebakaran besar pada 29 Disember. Daripada 181 orang di dalam pesawat, hanya dua kru terselamat.
Encik Choi juga telah menetapkan Muan sebagai zon bencana khas, menjadikannya layak menerima sokongan pemerintah.
Kementerian Pengangkutan Korea Selatan telah memulakan siasatan ke atas nahas ini. Mereka turut pertimbangkan pemeriksaan khas ke atas semua 101 pesawat Boeing 737-800 yang beroperasi di negara itu.
Menurut pegawai kementerian, juruterbang pesawat telah melaporkan terdapat perlanggaran dengan burung selepas mendapat amaran dari menara kawalan. Pesawat itu kemudian melakukan pendaratan cemas tanpa roda dan merempuh struktur di hujung landasan.
Para pakar juga sedang meneliti sama ada antena penunjuk arah, yang terletak di hujung landasan, berperanan dalam kemalangan ini. Kotak hitam pesawat telah ditemui, namun terdapat kerosakan luaran, dan masih belum jelas sama ada data di dalamnya boleh dianalisis.
Kebanyakan mangsa yang terkorban adalah penduduk tempatan yang baru pulang dari bercuti di Thailand, manakala dua warganegara Thailand turut terkorban.
Di terminal lapangan terbang, keluarga mangsa menunggu dengan penuh kesedihan sementara proses identifikasi masih dijalankan.
Encik Park Han-shin, salah seorang ahli keluarga mangsa, menyatakan bahawa beliau dimaklumkan tentang pengesahan identiti abangnya tetapi masih belum dapat melihat jenazah.
“Kami perlu bersatu sebagai keluarga mangsa untuk memastikan tragedi ini diberi perhatian yang sewajarnya,” katanya, mengimbas kembali insiden feri pada 2014 yang turut mengorbankan ratusan nyawa.
Lapangan Terbang Muan akan kekal ditutup sehingga 2 Januari, sementara lapangan terbang lain di seluruh negara, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, beroperasi seperti biasa. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg