MUAN (Korea Selatan): Seramai 179 penumpang dan anak kapal pesawat Jeju Air 2216 terkorban selepas pesawat itu terhempas di landasan semasa cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan, pada 29 Disember.
Gear pendaratan, yang termasuk roda pesawat itu, difahami gagal diturunkan sebelum pesawat mendarat dan ia terhempas ke landasan. Justeru, pesawat itu gagal berhenti dan merempuh struktur pengadang di akhir landasan, menyebabkannya terbakar.
Pesawat itu membawa 181 orang terdiri daripada 175 penumpang dan enam anak kapal dalam penerbangan dari Bangkok, Thailand, ke Muan, Korea Selatan.
Agensi berita Yonhap di Korea Selatan melaporkan 179 orang maut, sementara dua anak kapal berjaya diselamatkan, menukil pihak berkuasa di negara itu.
Antara yang maut ialah dua warga Thailand. Penumpang termuda yang terkorban ialah seorang budak lelaki berusia tiga tahun manakala yang paling tua ialah seorang lelaki berusia 78 tahun.
Kementerian Darat, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan, dalam satu kenyataan sekitar 11 pagi, berkata kebakaran awal telah dapat dipadamkan dan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan di lokasi nahas.
Operasi menyelamat ditumpukan pada bahagian ekor pesawat, kata seorang pegawai lapangan terbang kepada agensi berita Reuters.
Pihak bomba berkata ia telah mengerahkan 32 kenderaan dan jentera lain ke tempat kejadian untuk operasi menyelamat.
Dua kotak hitam pesawat – perakam suara di kokpit dan perakam data penerbangan – telah ditemui, lapor akhbar The Guardian yang menukil Kementerian Darat, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan.
Perakam data penerbangan merakam maklumat penerbangan penting berhubung enjin dan masa, sementara perakam suara kokpit merakam bunyi, termasuk perbualan di kokpit atau ruang tempat duduk juruterbang.
Kededua kotak hitam itu biasanya digunakan untuk membantu siasatan dalam insiden penerbangan.
Siasatan awal menunjukkan gear pendaratan pesawat itu rosak selepas ia bertembung dengan burung, menurut Yonhap.
Kementerian Darat, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan berkata nahas pesawat itu berlaku pada 9.03 pagi (8.03 pagi waktu Singapura) semasa pesawat Jeju Air 2216 sedang mendarat.
Difahami, ia adalah percubaan mendarat yang kedua, selepas pesawat itu gagal dalam percubaan pertama kerana mengalami kerosakan pada gear pendaratan.
Gear pendaratan pesawat itu dipercayai gagal diturunkan pada percubaan mendarat kedua, menyebabkan perut pesawat bergeser dengan landasan.
Video kejadian yang tular di dalam talian menunjukkan pesawat bergerak dengan laju sehingga ia merempuh struktur pengadang di akhir landasan, sebelum terbakar.
Laman web pengesanan penerbangan FlightRadar24 berkata pesawat itu kelihatan seperti sebuah Boeing 737-800. Boeing tidak segera menjawab permintaan untuk komen.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat tidak segera membalas e-mel yang meminta komen.
Pemangku Presiden Korea Selatan, Encik Choi Sung-mok, yang dinamakan sebagai pemimpin sementara negara itu pada 27 Disember, mengisytiharkan Muan sebagai zon bencana khas, bererti pembiayaan serta bantuan oleh pemerintah pusat akan dikerahkan sepenuhnya kepada wilayah itu.
Beliau turut mengisytiharkan tempoh berkabung selama tujuh hari sehingga 4 Januari bagi negara itu.
“Semua agensi berkaitan... mesti mengerahkan semua sumber yang ada untuk menyelamatkan kakitangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Di lokasi nahas, pekerja yang memakai pakaian pelindung sedang menyisir kawasan itu manakala askar menggeledah semak mencari mayat yang mungkin tercampak dari pesawat, lapor Reuters.
Kenderaan mayat dilaporkan berbaris untuk membawa mayat, dan pihak berkuasa berkata sebuah bilik mayat sementara telah ditubuhkan.
Tragedi ini merupakan nahas maut pertama dalam sejarah Jeju Air, salah satu syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Korea Selatan yang ditubuhkan pada 2005.
Pada 12 Ogos 2007, Bombardier Q400 yang dikendalikan oleh Jeju Air yang membawa 74 penumpang terkeluar dari landasan akibat angin kencang di Lapangan Terbang Busan-Gimhae, mengakibatkan belasan orang cedera.
Industri penerbangan Korea Selatan bagaimanapun mempunyai rekod prestasi yang kukuh dari segi keselamatan, kata pakar.
Tahun lepas, seorang penumpang membuka pintu keluar kecemasan pada penerbangan Asiana Airlines ketika ia sedang bersiap untuk mendarat, dengan pesawat itu mendarat dengan selamat tetapi beberapa orang dimasukkan ke hospital.
Nahas maut ini berlaku hanya beberapa hari selepas tragedi yang melibatkan pesawat Azerbaijan Airlines yang terhempas dan mengorbankan puluhan orang pada 25 Disember. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg