Pada satu subuh akhir Mei, pintu besi Penjara Cilegon di Jawa Barat dibuka.
Para Wijayanto, 60 tahun, seorang veteran konflik Moro, dengan rambut yang sudah beruban, ketua terakhir Jemaah Islamiyah (JI), yang semakin pudar hubungannya di Asia Tenggara dengan Al-Qaeda, melangkah keluar.
Jubah kelabunya berkibar-kibar ditiup angin pagi, kopiah putihnya terletak kemas di atas kepalanya.
Tidak ada sambutan. Hanya isterinya, bertudung hitam dan beberapa pegawai berpakaian biasa menjadi saksi.
Pembebasan secara senyap itu berbeza dengan legasi kumpulan yang menganggapnya seorang tokoh penting: JI berada di belakang pengeboman Bali 2002 yang mengorbankan lebih 200 orang.
Saya teringat kembali wawancara kami pada 2024 di dalam Ibu Pejabat Polis Jakarta. Wijayanto – pernah menjadi eksekutif percetakan dan pakar strategi ideologi JI – telah banyak berubah.
Kini lembut tutur kata, hampir ilmiah.
Manuskripnya setebal 500 halaman, At-Tatarruf, mencabar pewajaran teologi untuk pengganasan, dengan hujah bahawa seseorang tidak boleh memutuskan sendiri untuk mengangkat senjata atas nama agama.
Ia merupakan penyimpangan ketara daripada ajaran awalnya yang membawa kepada penahanannya pada 2019 kerana menghidupkan semula JI, sebuah pertubuhan yang diharamkan di Indonesia, dan menghantar anggotanya ke Syria.
Dan beliau tidak bersendirian.
Abu Rusdan, amir atau ketua pertama JI dan veteran perang Afghanistan, turut menggesa kesederhanaan. Bersama, mereka mewakili anjakan ketara apabila pemimpin lama menukar peluru untuk buku, menggunakan kredibiliti mereka untuk mempersoalkan ideologi yang pernah mereka perjuangkan.
Tetapi jangan silap: JI tidak mati. Ia sedang berkembang. Dan sebahagian daripada evolusi itu tidak melakukan apa-apa untuk melenyapkan kebimbangan bahawa organisasi itu boleh menjadi ancaman lagi, pada masa depan.
Meskipun kumpulan itu secara rasmi telah dibubarkan pada 2024, legasinya kekal.
Seorang penganalisis kanan dari Detasmen 88 – unit antipengganasan elit Indonesia – mendedahkan bahawa pada masa pembubaran, ia mempunyai sekurang-kurangnya 8,000 anggota berdaftar.
JI tidak pernah menjadi sebuah organisasi yang padu sepenuhnya.
Sentiasa ada persaingan senyap dalam kalangan anggota, terutama dalam kepimpinan kanan, antara mereka yang menyokong pengganasan dengan yang ingin menumpukan pada kegiatan dakwah.
Beberapa pemimpin, seperti Rusdan, masih dipenjarakan.
Yang lain secara senyap-senyap menyertai semula masyarakat arus perdana, bersepadu ke dalam organisasi seperti Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah – selalunya tanpa perhatian umum atau penelitian ideologi.
Selama beberapa dekad, tulang belakang JI ialah rangkaian pondok pesantrennya yang tertanam sekian lama dalam struktur pendidikan Indonesia.
Pondok-pondok pesantren itu menjalankan lebih daripada mengajar agama. Mereka membentuk pandangan dunia, membenamkan ideologi eksklusif dan menghasilkan rekrut yang komited.
Hari ini, sekurang-kurangnya 16 anggota berkaitan JI dilaporkan aktif di Syria, bertempur bersama Hay’at Tahrir al-Sham.
Jika mereka kembali, mereka boleh menghidupkan semula JI melalui sekolah-sekolah itu, menanam semula benih ideologi yang pernah berkembang menjadi rangkaian pengganasan serantau.
Dalam konteks ini, pembubaran JI adalah seperti memadamkan lampu di pesta – sesetengah tetamu pergi, yang lain hanya berpindah ke bilik lain.
Apa yang kekal bukanlah organisasi yang tidak aktif, tetapi ekosistem ideologi yang hidup – secara senyap-senyap menyesuaikan diri dan berkembang.
Mereka yang pulang ini membawa lebih daripada sekadar pengalaman pertempuran.
Mereka membawa keyakinan yang keras, hubungan transnasional, dan kredibiliti dalam kalangan jihad.
Jika dibiarkan, mereka boleh menjadi jambatan yang menghubungkan pinggiran radikal Indonesia dengan gerakan jihad sejagat.
Ancaman menjadi lebih besar apabila mereka mempertimbangkan potensi mencari rekrut dalam kalangan pesantren.
Terdapat sekurang-kurangnya 68 sekolah yang bergabung dengan JI di seluruh Jawa, Lampung, Sumatera, Sulawesi dan Nusa Tenggara Barat.
Ada yang besar. Darusyahadah, sebuah pesantren berkaitan JI di Boyolali, Jawa Tengah, mempunyai lebih 1,500 pelajar. Ia bukan hanya sekolah – ia adalah projek warisan dan inkubator ideologi.
Seorang alumni Darusyahadah dan empat lagi warga Indonesia ditahan pada 7 Februari kerana cuba memasuki Tarim, sebuah sekolah Islam terkemuka di Yaman, dengan visa palsu.
Meskipun dirangka sebagai penjangkau agama, namun perjalanan mereka menuju ke arah meluaskan rangkaian dakwah dan menjalin hubungan dengan institusi Islam di Timur Tengah.
Dalam kebanyakan masyarakat, mewariskan ilmu antara generasi adalah satu usaha yang mulia.
Tetapi apabila pengetahuan itu mendalami dwi pemikiran binari – kita berbanding mereka – ia menjadikan sesetengah pelajar, bak fius yang terbakar perlahan.
Namun, tidak semua pelajar menjadi radikal dalam penantian.
Sekitar 60 peratus adalah anak-anak golongan yang bersimpati atau menuntut pendidikan agama.
Tetapi, ini adalah strategi berterusan JI. Ia tidak perlu merekrut anggota, ia menyemai di tanah yang subur.
Dari masa ke masa, beberapa benih hidup sendiri.
Qowie Muqimuddin, misalnya, beliau tidak dilahirkan sebagai anggota. Dia menyertai pesantren yang berkaitan dengan JI, memasuki sasana (unit latihan), dan akhirnya berperang di Syria.
Apabila saya menemu bual sekembalinya ke Solo, dia telah bersembunyi selama dua tahun sebelum ditangkap.
Hari ini, dia menjual cendol di gerai jalanan, cuba mencari tempatnya dalam masyarakat yang masih mengingati apa yang pernah diwakilinya.
Cendolnya sedap – manis, dingin, dan simbolik aneh bagi dilema di Indonesia
Bagaimana anda menyepadukan semula seseorang yang pernah percaya kepada jihad ke dalam rentak kehidupan seharian?
Bilik darjah hanyalah sebuah gelanggang. Bahagian hadapan lain yang kurang kelihatan mungkin lebih berbahaya.
Kumpulan WhatsApp dan Telegram yang disulitkan – selalunya terdiri daripada alumni pesantren – berfungsi sebagai kumpulan pengajian digital. Ini bukan sembang terbiar.
Mereka berkongsi kesusasteraan JI klasik, mengedarkan manual seperti, Tarbiyah Jihadiyah (The Education Of Jihad), dan menguatkan rungutan sejagat – dari Gaza ke Kashmir – melalui khutbah dan idea syahid.
Keanggotaan dikawal ketat. Kenalan yang tidak diketahui telah dipadamkan. Foto profil dilarang.
Pengganasan jarang disebut secara langsung – tetapi asas ideologi sedang disemai. Indonesia tidak benar-benar Islam; jihad tidak mati, hanya tertangguh.
Kemudian terdapat kegiatan kumpulan pengajian agama tidak formal (taklim), acara amal, biro perkahwinan, dan koperasi halal.
Ini menawarkan perkhidmatan sosial sambil mengukuhkan doktrin eksklusif secara halus.
Kempen mengumpul dana untuk tujuan seperti Palestin sering dirangka bukan sahaja sebagai usaha kemanusiaan, bahkan sebagai kewajipan agama – isyarat kesetiaan kepada ummah, dan penolakan secara halus terhadap pihak berkuasa sekular.
Jadi jika tidak membuat bom, apakah mesej yang disebarkan?
Ia adalah indoktrinasi berkaedah ke dalam dwi atau binari pemikiran yang tegar.
Penolakan terhadap pluralisme. Penolakan secara diam-diam terhadap negara Indonesia.
Kepercayaan bahawa hijrah – perpisahan rohani, sosial, malah fizikal – adalah langkah pertama ke arah kehidupan yang lebih suci.
Yang paling membimbangkan: idea bahawa perubahan sebenar mungkin masih memerlukan perjuangan. Bukan sekarang, tetapi akhirnya.
Ini ialah JI 2.0. Tidak mati, hanya tidak aktif. Tidak kelihatan ganas, tetapi masih utuh dari segi ideologi.
Diakui, selepas pembubarannya, anggota kanan berusaha mengubah kedudukan awam kumpulan itu dengan bekerjasama rapat dengan Detasmen 88.
Mereka mengambil bahagian dalam forum awam di Jakarta, Surabaya dan bandar lain yang menyaksikan mereka secara terbuka membincangkan pembubaran JI dan menjauhkan diri dari masa lalunya yang ganas.
Saya telah menghadiri beberapa acara itu. Bekas ahli bercakap. Keluarga muncul. Pegawai keselamatan – malah jeneral – mengambil bahagian.
Suasana penuh dengan pengakuan. Senjata telah diserahkan. Nama-nama pelarian disebutkan. Kadang-kadang ia terasa nyata.
Tetapi di bawah permukaannya terdapat persoalan yang berterusan: Adakah ini keinsafan yang benar – atau penempatan semula taktikal?
Taubat menyiratkan perubahan yang tulen. Tetapi bagaimana jika ia hanya bersifat strategik?
Itulah risikonya. JI sentiasa menjadi pengubah bentuk.
Daripada gerakan militan kepada organisasi sosial, daripada rangkaian fizikal kepada arus bawah ideologi – ia menyesuaikan diri untuk terus hidup.
Bagi pengamat keselamatan serantau – terutama di Singapura, Malaysia dan Australia – ini adalah perbatasan baru.
Pejuang jihad mungkin tidak menyerbu lapangan terbang, tetapi anak-anak mereka mungkin menjalankan kegiatan kem remaja, menguruskan sekolah, atau menyampaikan khutbah yang bernuansa radikal.
Pertama, melabur dalam pendidikan.
Memperbaharui kurikulum tidak mencukupi. Guru mesti dilatih untuk mengesan aliran ideologi, bukan hanya mengibarkan bendera merah pada tingkah laku.
Kontra-radikalisasi bermula dengan pemikiran kritis, bukan ketaatan hafalan.
Kedua, membina masyarakat berdaya tahan. Bengkel dan slogan simbolik tidak akan memadai.
Masyarakat memerlukan alat yang ketara: Literasi media, ruang dialog dan alternatif ekonomi yang menawarkan maruah tanpa dogma.
Ketiga, tingkatkan penceritaan balas yang boleh dipercayai.
Bukan pemesejan berskrip, tetapi cerita asal dan jujur – seperti Qowie – daripada mereka yang pernah mendakap ekstremisme dan memilih jalan lain.
Kesaksian mereka boleh mencapai minda yang terdedah sebelum para rekrut melakukannya.
Akhir sekali, pantau tokoh seperti Wijayanto. Jika transformasinya tulen, beliau boleh menjadi duta keamanan yang berkuasa.
Jika tidak, beliau mungkin muncul semula sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ideologi gerakan yang lebih licik.
Detachment 88 pada awal Jun menyertakannya dalam pameran buku di Yogyakarta yang menampilkan, JI: Untold Stories, yang dikarang oleh ketuanya sekarang.
Taruhannya tinggi. Perang Israel-Hamas telah mencetuskan semula kemarahan di peringkat sejagat.
Di Syria, sekurang-kurangnya 16 warga Indonesia yang mempunyai kaitan dengan JI kekal dalam keadaan tidak menentu, bersedia untuk bertindak sekiranya panggilan itu datang.
Cabaran kita sekarang bukan hanya untuk mengalahkan pengganasan, bahkan untuk meredakannya – bukan dengan membunuh tubuh tetapi dengan mengakali minda.
Dan mungkin, mungkin sahaja, ia bermula dengan sesuatu yang mudah – dan sehebat itu – seperti berkongsi semangkuk cendol dengan seseorang yang pernah percaya dunia mesti dibakar sebelum ia dapat diselamatkan.
Penulis ialah zamil pelawat di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), dan pengasas Institut Pembangunan Keamanan Antarabangsa di Indonesia. Rencana ini kali pertama disiarkan di akhbar, ‘The Straits Times’.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg