Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo lupus hutang lapuk 10 trilion rupiah libatkan petani, nelayan, SME

Nov 6, 2024 | 2:42 PM
Presiden Prabowo Subianto mengumumkan langkah melupuskan sekitar 10 trilion rupiah ($634.3 juta) hutang lapuk petani, nelayan, dan pengusaha syarikat kecil dan sederhana (SME) pada 5 November untuk membantu mereka yang dibebani hutang dalam meneruskan perniagaan mereka.
Presiden Prabowo Subianto mengumumkan langkah melupuskan sekitar 10 trilion rupiah ($634.3 juta) hutang lapuk petani, nelayan, dan pengusaha syarikat kecil dan sederhana (SME) pada 5 November untuk membantu mereka yang dibebani hutang dalam meneruskan perniagaan mereka. - Foto INSTAGRAM PRABOWO

JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto secara rasmi menandatangani peraturan untuk melupuskan sekitar 10 trilion rupiah ($634.3 juta) hutang lapuk oleh petani, nelayan dan pengusaha syarikat kecil dan sederhana (SME) yang terkumpul sejak krisis kewangan 1998 dan 2008.

“Setelah mendengar saranan dan aspirasi banyak pihak khususnya daripada golongan petani dan nelayan di seluruh Indonesia, hari ini saya akan menandatangani Peraturan No. 47 Tahun 2024 mengenai penghapusan hutang lapuk SME di bidang pertanian, perladangan, peternakan, perikanan dan sektor marin serta SME lain,” kata Encik Prabowo di Istana Merdeka di Jakarta pada 5 November.

Dengan peraturan itu, Encik Prabowo berharap dapat membantu SME, pengeluar makanan, dan nelayan yang dibebani hutang dalam meneruskan perniagaan mereka.

Hutang ini telah menghalang keupayaan mereka mendapatkan pinjaman bank, memaksa mereka mendapatkan pinjaman yang lebih berisiko daripada sumber alternatif seperti pemberi pinjaman.

“Kami berharap semua petani, nelayan, dan SME di seluruh Indonesia dapat bekerja dengan aman, semangat dan yakin bahawa rakyat Indonesia menghormati dan menghargai pengeluar makanan yang penting untuk kelangsungan negara,” tambah Encik Prabowo.

Pelupusan hutang lapuk itu disambut dengan penuh semangat oleh pihak berkepentingan SME serta persatuan peladang dan nelayan.

“Kami berharap apa-apa beban yang dihadapi petani dapat diringankan; ini mewakili sokongan. Saya percaya ini akan menjadi langkah baru dan progresif yang luar biasa.

“Walaupun siling khusus belum lagi dibincangkan, kami berharap petani dan nelayan kini dapat menarik nafas lega,” kata Pengerusi Persatuan Peladang Koko, Encik Arif Zamroni, ketika ditemui di majlis tersebut.

Pengerusi Persatuan Peladang Kelapa Sawit Indonesia, Encik Gulat Manurung, melihat pelupusan hutang itu sebagai langkah strategik pemerintah menyokong keselamatan makanan negara.

“Hutang menjadi beban yang menyukarkan petani untuk maju dan meningkatkan produktiviti.

“Kami dalam sektor kelapa sawit melihat ini sebagai cara pemerintah mengekalkan keselamatan makanan.

“Memandangkan Presiden Prabowo menyasarkan pertumbuhan ekonomi 8 peratus, semuanya bermula dengan kestabilan ekonomi petani dan nelayan,” tambah Encik Gulat.

Menurut Menteri Usaha Mikro Kecil dan Menengah, Encik Maman Abdurrahman, pemerintah dianggarkan menghapuskan hutang lapuk di bank mencecah 10 trilion rupiah yang ditanggung oleh lebih sejuta pengusaha SME.

Ini akan membuka semula akses perbankan untuk petani, nelayan dan pengusaha SME yang tidak dapat memperoleh pinjaman baru disebabkan hutang tertunggak. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg