Topic followed successfully
Go to BHkuPakistan dakwa India rancang lancar serangan
Pakistan dakwa India rancang lancar serangan
Pakistan dakwa India rancang lancar serangan
NEW DELHI: Menteri Penerangan Pakistan pada awal 30 April berkata Islamabad mempunyai “perisikan yang boleh dipercayai” bahawa India sedang merancang serangan tentera dan beliau berikrar akan mengambil “tindak balas tegas.”
Perkembangan itu berlaku ketika kebimbangan konflik yang semakin meruncing ekoran serangan maut di Kashmir.
Kenyataan oleh Encik Attaullah Tarar itu dibuat selepas Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, mengadakan pertemuan tertutup pada hari sebelumnya dengan ketua tentera dan keselamatan.
Encik Modi dikatakan telah memberikan “kebebasan operasi sepenuhnya” kepada tentera agar bertindak balas terhadap serangan itu, sumber kanan pemerintah memberitahu agensi berita, AFP.
“Pakistan mempunyai risikan yang boleh dipercayai bahawa India berhasrat melancarkan serangan tentera dalam tempoh 24 hingga 36 jam akan datang menggunakan kejadian di Pahalgam sebagai alasan palsu,” kata Encik Tarar dalam satu kenyataan.
Pahalgam ialah hab pelancongan di Kashmir yang ditadbir India.
Dalam serangan pada 22 April di Pahalgam, 26 lelaki terbunuh di wilayah yang dipertikaikan dalam beberapa tahun.
India menuduh Pakistan menyokong serangan tersebut.
Namun Islamabad menafikannya.
“Sebarang tindakan pencerobohan akan disambut dengan tindak balas yang tegas. India akan bertanggungjawab sepenuhnya atas sebarang akibat serius di rantau ini!” kata Encik Tarar.
China dan Amerika Syarikat turut menyatakan kebimbangan mendalam terhadap ketegangan yang kian meningkat antara jiran yang memiliki senjata nuklear itu, di samping menggesa mereka supaya menahan diri.
Tentera India pada 30 April berkata ia telah berulang kali bertukar tembakan dengan tentera Pakistan untuk malam keenam berturut-turut merentasi Garisan Kawalan (LoC), sempadan de facto Kashmir, zon berkubu kuat pos Himalaya beraltitud tinggi.
Tentera melaporkan “tembakan kecil” di beberapa lokasi, tetapi tanpa kemalangan jiwa dilaporkan.
Tentera Pakistan tidak mengesahkan tembakan itu, tetapi radio di Islamabad melaporkan pada 29 April ia telah menembak jatuh dron India, menyifatkannya melanggar ruang udaranya.
Ia tidak menyatakan apabila kejadian itu berlaku, dan tiada komen dari New Delhi.
Ketegangan semakin memuncak dalam seminggu sejak serangan di Pahalgam, dengan kecaman diplomatik, pengusiran rakyat dan lintasan sempadan darat ditutup.
Awal sebelum ini, Encik Modi berikrar menahan mereka yang melakukan serangan itu dan mereka yang menyokongnya.
Jabatan Negara Amerika berkata, diplomat tertingginya, Encik Marco Rubio, akan menghubungi rakan sejawatannya dari Pakistan dan India tidak lama lagi untuk menggesa mereka supaya “tidak memperburuk keadaan”. – AFP.

