QUETTA: Pemerintah Pakistan menggantung perkhidmatan data telefon bimbit di seluruh wilayah bergolak Balochistan selama tiga minggu bagi menghalang komunikasi kumpulan pemberontak pemisah yang didakwa menjadi dalang peningkatan serangan kebelakangan ini.
Perintah penggantungan yang dikeluarkan pada 6 Ogos itu menyatakan langkah berkuat kuasa sehingga akhir bulan Ogos ini, dengan alasan “keadaan undang-undang dan ketenteraman” di wilayah yang kaya dengan hasil mineral dan menjadi lokasi utama projek Jalur dan Laluan (Belt and Road) China.
“Perkhidmatan ini digantung kerana mereka (militan) menggunakannya untuk berkoordinasi dan berkongsi maklumat,” kata jurucakap kerajaan wilayah, Encik Shahid Rind pada 8 Ogos.
Menurut pihak berkuasa, Balochistan wilayah terbesar Pakistan yang bersempadan dengan Afghanistan dan Iran mempunyai 8.5 juta pelanggan telefon bimbit daripada jumlah penduduk 15 juta orang. Langkah ini juga diambil selepas Pakistan mengharamkan perjalanan darat ke Iran pada akhir Julai lalu atas alasan ancaman keselamatan.
Seorang pegawai kanan pemerintah yang enggan dikenali memberitahu Arab News bahawa penggantungan ini melibatkan semua 36 daerah di Balochistan. “Disebabkan kebimbangan keselamatan dan ancaman pengganas, pemerintah menggantung Internet mudah alih di semua daerah,” katanya.
Langkah ini dibuat menjelang sambutan Hari Kemerdekaan pada 14 Ogos, yang lazimnya disertai peningkatan serangan oleh kumpulan pemisah. Sejarah menunjukkan, militan sering menyerang ketika sambutan kemerdekaan, termasuk melempar bom tangan ke gerai yang menjual bendera negara, menyebabkan kematian peniaga dan pembeli.
Pada 2024, Balochistan mencatatkan jumlah serangan tertinggi pada bulan Ogos, dengan 88 orang terbunuh dan 100 cedera.
Pemberontakan di Balochistan telah berlarutan selama beberapa dekad. Kumpulan pemisah mendakwa pemerintah Pakistan mengeksploitasi sumber semula jadi seperti arang batu, tembaga, gas dan emas tanpa mengagihkan hasil secara adil kepada penduduk tempatan.
Mereka juga menuduh pemerintah lebih mengutamakan projek pengeluaran berbanding pembangunan wilayah, menyebabkan Balochistan kekal miskin walaupun kaya dengan mineral.
Serangan kumpulan ini semakin menyasarkan pihak tentera Pakistan dan warga China. Pada 5 Ogos lalu, seorang pegawai tentera dan dua askar terbunuh dalam letupan bom tepi jalan yang didakwa dilakukan oleh Tentera Pembebasan Baloch (BLA) - kumpulan pemberontak paling kuat di wilayah itu.
BLA sebelum ini turut mengaku bertanggungjawab terhadap beberapa serangan ke atas pegawai kanan tentera, termasuk insiden pada Mac lalu yang membunuh 31 orang, termasuk 23 anggota tentera, selepas mereka meletupkan landasan kereta api dan menawan lebih 400 penumpang.
Wilayah ini juga menempatkan Pelabuhan Gwadar, sebahagian daripada pelaburan China bernilai AS$65 bilion ($83.51 bilion) dalam program Jalur dan Laluan yang bertujuan mengukuhkan pengaruh global Beijing.
Pemerintah Pakistan menuduh India membiayai dan menyokong pemberontak bagi menimbulkan ketidakstabilan, dakwaan yang dinafikan New Delhi.
Sementara itu, pihak berkuasa Pakistan mempertahankan rekod mereka, menyatakan bahawa projek pembangunan infrastruktur, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan telah dipertingkat di wilayah tersebut dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Ini bukan soal menyekat maklumat rakyat, tetapi soal menyelamatkan nyawa,” tegas Encik Rind, sambil menambah bahawa penggantungan ini adalah langkah sementara bagi mengekang perancangan serangan oleh kumpulan militan. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg