SRINAGAR: Wilayah Kashmir sering digambarkan sebagai ‘mini Switzerland’ – terletak di tanah tinggi pergunungan Himalaya yang penuh dengan keindahan alam semula jadi, tasik-tasik tenang yang memukau serta panorama yang menggamit jutaan pelancong dari dalam dan luar negara saban tahun.
Namun di sebalik pemandangan indah yang sering dirakam lensa kamera, wujud realiti getir yang jarang ditampilkan.
Wilayah itu bukan sahaja menjadi rebutan antara dua negara bersenjata nuklear, India dan Pakistan, selama lebih tujuh dekad, tetapi turut menjadi simbol kegagalan diplomasi, ketidakadilan dan penindasan sistematik.
Sejak Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, memansuhkan status sebahagian autonomi Kashmir pada Ogos 2019, wilayah itu diserap sepenuhnya ke dalam pentadbiran India.
Langkah tersebut, yang dikatakan bertujuan membawa kestabilan, pembangunan dan keselamatan, kini ternyata menghasilkan kesan sebaliknya.
Naratif rasmi India berubah drastik, keterasingan mendalam, peningkatan kawalan ketenteraan dan naratif keamanan yang sangat rapuh.
Menurut pemerintah pusat, Kashmir adalah kisah kejayaan pembangunan, keamanan, dan kebangkitan ekonomi – kononnya menjadi bukti keberkesanan dasar nasionalis Hindu yang dibawa Parti Bharatiya Janata (BJP).
Namun, bagi penduduk tempatan, khususnya anggota masyarakat majoriti Muslim, naratif itu dianggap sebaliknya.
“Ketenteraman awam di Kashmir itu hanya di permukaan.
“Ia dibina di atas kawalan ketenteraan, bukan penyelesaian politik,’’ kata Profesor Sumantra Bose, pakar politik yang telah mengkaji isu Kashmir selama bertahun-tahun.
Serangan pengganas yang berlaku pada 22 April di Lembah Baisaran, berhampiran Pahalgam, meragut nyawa 26 orang pelancong semuanya beragama Hindu, kecuali seorang lelaki Kashmir.
Selain mencederakan 17 lagi orang awam, kejadian itu memecahkan ilusi kestabilan yang sering dijaja oleh pemerintah India sejak lima tahun lalu.
Serangan itu, yang dipercayai disasarkan berdasarkan agama, mengundang reaksi marah dari India.
Pemerintah India dengan pantas menyalahkan unsur luaran dan mendakwa terdapat “hubungan rentas sempadan” dengan Pakistan, meskipun belum mengemukakan bukti kukuh atau menamakan mana-mana kumpulan secara rasmi.
Sebuah kumpulan kecil yang menggelar diri mereka sebagai, Resistance Front, mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu.
Tetapi penganalisis keselamatan percaya ia hanyalah proksi kepada Lashkar-e-Taiba, kumpulan militan yang berpusat di Pakistan.
Dalam masa beberapa hari, pasukan keselamatan India melancarkan tindakan keras.
Beratus-ratus penduduk ditahan, termasuk pelajar, aktivis dan golongan karyawan.
Rumah 10 suspek dirobohkan, satu taktik yang kerap digunakan dalam konflik dalaman India.
“Kami seolah-olah dipersalahkan secara kolektif. Apabila berlaku serangan, keseluruhan masyarakat kami dihukum,” kata seorang peguam dari Kashmir utara, Sheikh Aamir.
Encik Modi berikrar “menghapuskan hab pengganas” dan tidak menolak kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Pakistan, walaupun negara jiran itu menafikan sebarang pembabitan.
Dua minggu selepas kejadian, India melancarkan peluru berpandu ke wilayah Pakistan pada 7 Mei dan Islamabad pula bertindak balas.
Ia merupakan satu perkembangan yang memburukkan lagi ketegangan antara dua negara kuasa nuklear itu.
Menurut penganalisis, tindak balas tentera seperti itu menambah rasa keterasingan dalam kalangan rakyat Kashmir.
Ia bukan sahaja meminggirkan mereka secara fizikal, malah menjauhkan mereka dari negara yang seharusnya melindungi hak dan maruah mereka sebagai warganegara India.
Pemerintah India sering menonjolkan Kashmir sebagai destinasi pelancongan yang sedang meningkat naik.
Perangkaan menunjukkan jutaan pelawat dari seluruh dunia dan dari India membanjiri Srinagar, Gulmarg dan Pahalgam setiap tahun.
Namun di sebalik imej tasik Dal dan rumah bot yang indah, kehidupan harian rakyat Kashmir lebih 90 peratus daripadanya beragama Islam adalah satu pengalaman penuh pengawasan dari Delhi.
Selepas pemansuhan Artikel 370 Perlembagaan India yang memberi status khas kepada Jammu dan Kashmir, undang-undang baru telah diperkenalkan.
Antaranya, membenarkan warga bukan Kashmir memiliki tanah di wilayah tersebut buat kali pertama dalam beberapa dekad.
Langkah itu dilihat oleh ramai sebagai cubaan untuk mengubah demografi Muslim-majoriti wilayah itu, sekali gus mengancam identiti dan kuasa politik tempatan.
“Kami hanya jadi latar belakang dalam promosi pelancongan. Kami bukan pelakon utama dalam cerita tentang tanah kami sendiri,” kata Encik Ashiq Husain, dari Pahalgam.
Selepas serangan April, pelajar dan pekerja Kashmir di negeri lain di India turut menjadi sasaran serangan Islamofobia.
Ramai melaporkan mereka diugut, dibaling batu, dan dikurung di dalam asrama.
“Serangan itu telah dimanipulasi menjadi kempen kebencian terhadap seluruh masyarakat Muslim. Yang dihukum bukan sekadar pelaku, malah seluruh masyarakat,” kata pakar pengganasan antarabangsa, Profesor Rohan Gunaratna.
Dasar itu, yang dilihat cuba menukar wajah Kashmir, ditambah pula dengan peningkatan penapisan dan penggunaan undang-undang keselamatan secara sewenang-wenangnya, menyemarakkan lagi kebencian terhadap pentadbiran pusat.
Walaupun kadar keganasan dan serangan militan berkurang sejak 25 tahun lalu, bibit-bibit ketegangan baru semakin jelas.
Sejak serangan April, terdapat tanda Kashmir mungkin sedang menuju ke era baru gerakan bersenjata – bukan seperti sebelumnya yang penuh dengan gerakan pemisah yang terbuka, tetapi lebih bersifat pasif, tersembunyi, dan berbahaya.
“Kemarahan yang tidak disalurkan boleh menjadi senjata dalam diam.
“Hari ini, militan tidak perlukan senjata untuk berperang. Cukup jika masyarakat memilih untuk tutup mata dan enggan melaporkan.
“Seluruh struktur kawalan di Kashmir hari ini bersifat autoritarian. Sesiapa yang bersuara akan dibungkam, dan rakyat telah belajar untuk diam,” kata Profesor Siddiq Wahid dari Universiti Shiv Nadar.
India dan Pakistan masing-masing mendakwa keseluruhan wilayah Kashmir sebagai milik mutlak mereka.
Sejak pemisahan India-British pada 1947, kedua-dua negara telah berperang sebanyak tiga kali kerana wilayah itu.
Serangan terkini menghidupkan semula bayangan kengerian pada 2019, apabila serangan bunuh diri di Pulwama menyebabkan India melancarkan serangan udara ke atas wilayah Pakistan.
Kali ini, India memerintahkan hampir semua warga Pakistan keluar dari negara itu, manakala Pakistan membalas dengan membatalkan visa rakyat India.
India turut berikrar menyekat aliran air sungai utama yang mengalir ke Pakistan – sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
Islamabad menyifatkan tindakan itu sebagai “isytihar perang”.
Langkah Encik Modi menghapuskan autonomi Kashmir pada asalnya bertujuan menunjukkan ketegasan politik dan menarik sokongan pengundi nasionalis Hindu.
Namun begitu, kesan jangka panjangnya amat membimbangkan.
Ketika negara kuasa besar lain seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan China sibuk dengan krisis sejagat masing-masing, India kini bebas untuk bertindak lebih agresif tanpa banyak halangan diplomatik.
Walaupun kuasa besar dunia seperti Iran dan Arab Saudi cuba menenangkan keadaan, reaksi antarabangsa secara keseluruhannya lemah.
Amerika dan Kesatuan Eropah menggesa ketenangan. Namun, tidak memberi tekanan konkrit ke atas India.
Pakistan pula menafikan sebarang penglibatan dalam serangan itu, tetapi hubungan antara kedua-dua negara kini kembali tegang.
“Kita sedang menyaksikan kemungkinan pertembungan dua negara bersenjata nuklear, dan tiada satu pun kuasa dunia yang benar-benar berusaha menenangkannya,” kata seorang diplomat Asia Selatan yang enggan dikenali.
Penganalisis percaya Encik Modi mungkin memilih tindakan ketenteraan berskala kecil – seperti serangan udara terhad atau operasi khas – sebagai cara menunjukkan kekuatan tanpa mencetuskan perang penuh.
Namun sejarah menunjukkan konflik seperti itu mudah melarat.
Namun begitu, risiko adalah nyata. Kedua-dua negara memiliki senjata nuklear.
Sekecil mana pun serangan balas, jika tidak dikawal, boleh mencetuskan pertempuran berskala penuh yang mustahil untuk dikawal.
India mendakwa sejak 2019, Kashmir semakin stabil.
Perangkaan pelancongan melonjak, komunikasi dipulihkan, dan pilihan raya tempatan diadakan semula pada 2024.
Namun, di sebalik angka dan peristiwa rasmi, sejak 2019, ribuan orang ditahan di Kashmir – termasuk ahli politik, aktivis hak asasi, dan wartawan.
Demokrasi ditangguhkan selama bertahun-tahun.
Kini, walaupun pilihan raya tempatan disambung semula, keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran India kekal rendah.
“Kejadian baru-baru ini menunjukkan siapakah yang sebenarnya menjaga Kashmir,” kata Sheikh Aamir.
“Ketika tentera belum tiba, kami – penduduk tempatan – yang membantu pelancong yang cedera. Kami yang hantar mereka ke hospital. Tapi sampai hari ini, kami masih dianggap musuh.”
“Selagi suara rakyat tempatan tidak didengari dan selagi pendekatan keselamatan lebih diutamakan berbanding dialog – Kashmir akan terus kekal sebagai luka terbuka dalam sejarah Asia Selatan”, kata Profesor Wahid.
“Kashmir bukan sekadar wilayah yang dipertikaikan. Ia adalah medan ujian bagi prinsip kemanusiaan, keadilan, dan hak untuk didengari. Dan setakat ini, dunia masih gagal lulus ujian itu,” kata Profesor Wahid. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg