Pakistan isytihar ‘perang terbuka’ terhadap Taliban Afghanistan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pakistan isytihar ‘perang terbuka’ terhadap Taliban Afghanistan

Pakistan mengebom beberapa bandar utama Afghanistan termasuk ibu negara Kabul pada 27 Februari
Feb 27, 2026 | 11:11 AM

Pakistan isytihar ‘perang terbuka’ terhadap Taliban Afghanistan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
 Seorang anggota keselamatan Taliban memeriksa kenderaan di sekatan jalan raya di Kabul, Afghanistan, 26 Februari 2026. Pertempuran tercetus di sepanjang sempadan apabila pihak berkuasa Taliban mendakwa tentera Afghanistan menyerang pos tentera Pakistan susulan serangan udara Pakistan di Nangarhar dan Paktia. Kedua-dua pihak melaporkan pertempuran sengit dan korban jiwa, sekali gus meningkatkan ketegangan antara Afghanistan dan Pakistan di tengah hubungan diplomatik yang semakin meruncing.
Seorang anggota keselamatan Taliban memeriksa kenderaan di sekatan jalan raya di Kabul, Afghanistan, 26 Februari 2026. Pertempuran tercetus di sepanjang sempadan apabila pihak berkuasa Taliban mendakwa tentera Afghanistan menyerang pos tentera Pakistan susulan serangan udara Pakistan di Nangarhar dan Paktia. Kedua-dua pihak melaporkan pertempuran sengit dan korban jiwa, sekali gus meningkatkan ketegangan antara Afghanistan dan Pakistan di tengah hubungan diplomatik yang semakin meruncing. - Foto EPA

ISLAMABAD: Pakistan melancarkan serangan udara ke atas beberapa bandar utama di Afghanistan, termasuk ibu negara Kabul, dengan menteri pertahanannya mengisytiharkan kedua-dua negara kini berada dalam keadaan “perang terbuka” selepas berbulan-bulan pertempuran balas-membalas di sempadan.

Menteri Pertahanan Pakistan, Encik Khawaja Asif, mengumumkan perubahan pendirian itu selepas tentera Pakistan melancarkan serangan udara menyasarkan beberapa bandar Afghanistan termasuk Kabul, Kandahar dan Paktia. “Kesabaran kami sudah sampai ke hadnya. Kini ia perang terbuka antara kami dan kamu,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Ketegangan terbaru menjadikan hubungan Islamabad dan Kabul berada pada tahap paling buruk sejak Taliban kembali memerintah Afghanistan. Wartawan melaporkan jet pejuang kedengaran di ruang udara Kabul dan Kandahar diikuti beberapa letupan kuat serta tembakan berlarutan lebih dua jam. Jurucakap Taliban, Encik Zabihullah Mujahid, mengesahkan serangan Pakistan tetapi berkata tiada kematian dilaporkan.

Islamabad menuduh Afghanistan gagal bertindak terhadap kumpulan militan yang melancarkan serangan di Pakistan, dakwaan yang dinafikan Taliban.

Menteri Dalam Negeri Pakistan Encik Mohsin Naqvi pula menyifatkan operasi ketenteraan itu sebagai tindak balas sewajarnya. “Tentera kami bertindak selepas pasukan Afghanistan menyerang tentera pengawal sempadan Pakistan,” katanya.

Presiden Pakistan Encik Asif Ali Zardari menegaskan negaranya tidak akan berkompromi mengenai keselamatan. “Pakistan tidak akan berkompromi terhadap keamanan dan kedaulatan wilayah. Sesiapa yang menyangka kesabaran kami sebagai kelemahan akan menerima tindak balas tegas,” katanya.

Serangan Pakistan berlaku beberapa jam selepas tentera Afghanistan melepaskan tembakan ke arah pos Pakistan, yang menurut Taliban merupakan tindak balas terhadap serangan udara lebih awal. Kedua-dua pihak mendakwa puluhan anggota tentera terbunuh dalam pertempuran sepanjang sempadan bergunung.

Kementerian Pertahanan Afghanistan pula memaklumkan lapan anggotanya terbunuh dalam serangan darat Pakistan. Seorang pegawai Afghanistan berkata peluru mortar turut mengenai kem pelarian berhampiran lintasan Torkham. “Tujuh pelarian cedera dan keadaan seorang wanita kritikal,” kata pegawai wilayah Nangarhar, Encik Qureshi Badlun.

Pihak berkuasa Afghanistan menyatakan mereka melancarkan serangan balas merentasi sempadan selepas serangan udara Pakistan, menyasarkan kemudahan tentera di sepanjang Garisan Durand.Pakistan menolak dakwaan tersebut dan menyatakan serangan Afghanistan berlaku tanpa sebarang provokasi.

Kementerian Penerangan Pakistan menyatakan pasukannya memberi “tindak balas segera dan berkesan” terhadap tembakan Afghanistan dan akan mengambil semua langkah perlu bagi melindungi rakyatnya.
Pentadbiran Taliban pula berkata operasi mereka dilakukan sebagai “tindak balas terhadap provokasi berulang”.

Jumlah korban masih tidak jelas apabila kedua-dua pihak mendakwa menyebabkan kehilangan besar kepada lawan, namun mengecilkan kematian di pihak sendiri. Pertempuran turut menjejaskan penduduk awam di kawasan sempadan apabila letupan berhampiran lintasan Torkham mencederakan pelarian dan memaksa pemindahan orang ramai di kedua-dua belah sempadan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Afghanistan melaporkan, sekurang-kurangnya 13 orang awam terbunuh dalam serangan Pakistan ke atas Wilayah Nangarhar dan Paktika. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu António Guterres menyeru kedua-dua negara menahan diri dan menyelesaikan pertikaian melalui diplomasi.

Hubungan kedua-dua negara merosot sejak beberapa bulan lalu walaupun usaha gencatan senjata dilakukan oleh beberapa negara serantau. Lebih 70 orang terbunuh dalam pertempuran Oktober lalu yang menyebabkan lintasan darat utama ditutup hampir sepenuhnya.

Pemerintah Taliban pula mendakwa, sekurang-kurangnya 18 orang maut dan menafikan dakwaan Pakistan bahawa lebih 80 militan terbunuh.

Ketegangan berterusan walaupun terdapat usaha beberapa pusingan rundingan di bawah pengantara Qatar dan Turkey gagal mencapai persetujuan kekal sebelum ini. Arab Saudi turut campur tangan pada Februari dengan menjadi perantara membebaskan tiga tentera Pakistan yang ditahan Afghanistan sejak Oktober. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg