BARIKOT, Afghanistan: Kampung sempadan Barikot di timur laut Afghanistan kini sunyi tanpa kanak-kanak, selepas sekolah dimusnahkan dan ribuan penduduk melarikan diri akibat konflik bersenjata dengan Pakistan sejak akhir Februari lalu.

Hampir semua daripada kira-kira 8,000 penduduk kampung itu meninggalkan kediaman mereka, meninggalkan bangunan rosak dan jalan yang lengang. W

artawan AFP yang tiba di kawasan pergunungan Hindu Kush minggu ini mendapati sekolah di Barikot mengalami kerosakan teruk, dipercayai akibat serangan meriam.

Di dalam makmal sains yang dipenuhi serpihan kaca, seorang peniaga, Encik Ruhollah Khpalwak, berdiri termenung melihat kesan kemusnahan. “Ini sekolah tempat saya belajar dahulu. Saya rasa sangat sedih,” kata penduduk asal berusia 23 tahun itu.

Sekolah berkenaan sebelum ini menempatkan pelajar dari peringkat rendah hingga menengah, namun kini dipenuhi buku berdebu dan jadual lama yang masih tergantung di dinding.

Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), sekurang-kurangnya 22 sekolah di wilayah Kunar memerlukan pembinaan semula segera, dengan kira-kira 12,000 pelajar terjejas dan memerlukan ruang pembelajaran yang selamat.

Sepanjang jalan utama Barikot, kebanyakan kedai ditutup dan sebahagiannya telah musnah. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan ratusan orang awam terbunuh di kawasan sempadan sebelum rundingan yang dimediasi China berjaya meredakan pertempuran.

Pihak tentera Pakistan tidak memberikan maklum balas terhadap dakwaan serangan ke atas kampung itu, termasuk kemudahan sekolah dan pusat perubatan.

Islamabad sebelum ini menuduh Afghanistan melindungi militan berkait Taliban Pakistan, namun dakwaan itu dinafikan oleh pihak berkuasa Afghanistan. Penduduk tempatan pula menyatakan mereka tidak mengetahui kewujudan kumpulan tersebut di Barikot.

Seorang ahli farmasi, Encik Faridoon Habibi, berkata keadaan menjadi semakin sukar sehingga kakitangan hospital terpaksa dipindahkan ke lokasi lebih selamat. “Hospital ini seperti rumah saya,” kata lelaki berusia 32 tahun itu, merujuk kepada kemudahan yang kini ditutup selepas rosak akibat serangan.

Walaupun konflik berlaku di sempadan, penduduk tempatan menyatakan mereka tidak menyalahkan rakyat Pakistan, sebaliknya menuding kepada tindakan kerajaan Islamabad.

Menurut OCHA, lebih 94,000 rakyat Afghanistan telah dipindahkan akibat konflik, dengan lebih satu perempat daripada mereka berada di wilayah Kunar.

Ramai kini tinggal di kawasan tebing Sungai Kunar dalam khemah sementara yang diperbuat daripada kanvas bantuan, guni atau plastik yang diikat pada pokok.

Bekalan air bersih menjadi cabaran utama, dengan penduduk terpaksa berjalan lebih sejam untuk mendapatkan air dari telaga kerana air sungai tidak sesuai diminum.

Seorang juruteknik komputer, Encik Asmatullah Malangzay, berkata kehidupan di kem pelarian amat mencabar.

“Wanita di sini menghadapi banyak kesukaran,” kata lelaki berusia 26 tahun itu yang tinggal bersama isteri dan tiga anak dalam khemah. “Sangat sukar kerana kami tiada sistem tandas yang baik. Air juga tidak mencukupi dan tiada tempat mandi,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Encik Mohammad Nabi Gujar, yang mempunyai sembilan anak, meluahkan kebimbangan terhadap masa depan pendidikan anak-anaknya. “Saya sedih kerana anak-anak kami terputus daripada sekolah,” katanya.

Menurut pihak berkuasa tempatan, sekolah di kawasan berhampiran sudah penuh dan tidak mampu menampung pelajar yang dipindahkan.

Ketua maklumat wilayah Kunar, Encik Najibullah Hanif, berkata pihaknya sedang mencari penyelesaian termasuk memindahkan keluarga ke kem yang lebih teratur yang sebelum ini digunakan untuk mangsa gempa bumi 2025.

Sementara itu, seorang bekas pengetua sekolah rendah, Encik Mohammad Amin Shakir, berkata beliau amat terkesan melihat nasib pelajar yang sebelum ini berada di bawah jagaannya. “Saya sedih melihat pelajar yang dahulu tekun belajar,” katanya. “Kini mereka berkeliaran di atas tanah dan pasir. Mereka benar-benar kehilangan peluang pendidikan,” tambahnya. - Agensi berita