ISLAMABAD: Panglima angkatan tentera Pakistan, Marshal Asim Munir, mengunjungi Teheran pada 24 Ogos bagi mengadakan rundingan dengan pegawai kanan Iran, ketika Islamabad meningkatkan usaha menghidupkan semula proses diplomatik antara Iran dengan Amerika Syarikat yang hampir terhenti.

Lawatan itu merupakan kunjungan ketiga Marshal Munir ke Iran tahun 2026 ini dan berlangsung ketika Washington bersiap mengumumkan sekatan ekonomi baru yang disifatkan sebagai paling keras pernah dikenakan terhadap Teheran.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baghaei, berkata lawatan Marshal Munir, yang juga Ketua Angkatan Pertahanan Pakistan, bertujuan meneruskan usaha Islamabad untuk “membantu memperkukuh keamanan dan keselamatan di rantau ini”.

Menurut beliau, Marshal Munir dijadual mengadakan pertemuan dengan beberapa pegawai kanan Iran.

Lawatan itu menyusuli dua perbualan telefon antara Marshal Munir dengan Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, dalam tempoh empat hari, masing-masing pada 19 dan 22 Ogos.

Kedua-duanya membincangkan perkembangan serantau serta usaha memperkukuh keamanan, kestabilan dan keselamatan di Asia Barat, menurut media pemerintah Iran.

Menariknya, lawatan Marshal Munir diumumkan oleh Teheran dan bukannya Islamabad.

Beberapa pegawai Pakistan mengesahkan lawatan itu kepada Al Jazeera tetapi tidak memberikan butiran mengenai agenda rundingan.

Marshal Munir pertama kali mengunjungi Teheran tahun 2026 ini pada April, beberapa hari selepas rundingan langsung Amerika-Iran di Islamabad – yang pertama dalam lebih empat dekad – berakhir tanpa mencapai kejayaan besar.

Beliau kembali ke Iran pada Mei, beberapa jam selepas Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, berkata terdapat “sedikit kemajuan” dalam rundingan Washington-Teheran.

Lawatan terbarunya berlangsung dalam keadaan yang lebih mencabar selepas tempoh 60 hari yang ditetapkan dalam Memorandum Persefahaman (MOU) Islamabad tamat pada pertengahan Ogos tanpa Amerika dan Iran bersetuju melanjutkannya.

MOU yang ditandatangani Pakistan, Iran dan Amerika pada 17 Jun itu menjadi asas kepada usaha menghentikan konflik yang tercetus enam bulan lalu dan membuka jalan kepada rundingan bagi mencapai perjanjian muktamad.

Rundingan itu kini menemui jalan buntu, khususnya berhubung Selat Hormuz.

Iran masih menutup laluan itu dan menuntut Washington terlebih dahulu menamatkan sekatan laut, menarik balik sekatan minyak, membebaskan aset Iran yang dibekukan di luar negara serta menghentikan ancaman ketenteraan.

Teheran mendakwa Amerika belum memenuhi tuntutan tersebut.

Pada masa sama, Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, dijangka mengumumkan pakej sekatan baru terhadap Iran pada 24 Ogos.

Washington menyifatkannya sebagai sekatan paling keras pernah dikenakan terhadap Teheran, manakala Kementerian Luar Iran menyifatkan langkah itu sebagai “perang ekonomi”.

Rundingan Fil Marsyal Munir juga dijangka menyentuh Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah yang ditandatangani Pakistan, Arab Saudi dan Turkey pada 7 Ogos.

Di bawah perjanjian pertahanan bersama itu, serangan terhadap salah sebuah daripada tiga negara berkenaan akan dianggap sebagai serangan terhadap kesemuanya.

Isu kumpulan Houthi di Yemen juga dijangka dibincangkan.

Perkara itu mempunyai kepentingan khusus kepada Pakistan selepas tiga kelasi negara itu terbunuh dan beberapa lagi cedera apabila Houthi menyerang sebuah kapal dagang berbendera Tanzania di Selat Bab al-Mandeb pada 11 Ogos.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Encik Ishaq Dar, ketika itu mengecam serangan tersebut sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Marshal Munir juga dijangka bertemu kepimpinan keselamatan baru Iran, termasuk Ketua Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Mejar Jeneral Ahmad Vahidi; Ketua Turus Angkatan Bersenjata Iran, Mejar Jeneral Ali Abdollahi; dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi, Encik Mohsen Rezaei.

Ketiga-tiganya dilantik pada awal Ogos.

Lawatan Marshal Munir turut disusuli kunjungan Menteri Luar Oman, Encik Badr bin Hamad Albusaidi, ke Teheran pada 25 Ogos.

Oman merupakan antara negara yang aktif dalam usaha diplomatik berhubung Selat Hormuz.

Penganalisis berkata kunjungan berturut-turut itu menunjukkan negara serantau masih berusaha mencari jalan membawa Washington dan Teheran kembali ke meja rundingan meskipun ruang diplomasi semakin sempit.

Ketua Institut Sanober di Islamabad, Encik Qamar Cheema, berkata Pakistan mempunyai kelebihan kerana kedua-dua pihak melihatnya sebagai negara yang membantu memudahkan dialog tanpa mempunyai kepentingan langsung terhadap hasil rundingan.

“Ini memberikannya kejelasan tertentu dan keupayaan menawarkan jalan keluar kepada semua pihak yang terbabit,” katanya.

Pengarah Kumpulan Kajian Teluk Parsi di Teheran, Encik Javad Heiran-Nia, berkata Pakistan juga mempunyai kepentingan untuk menghalang tercetusnya perang baru.

Konflik lebih besar, katanya, boleh menjejaskan import tenaga Pakistan dari negara Teluk selain mengganggu kiriman wang daripada rakyat Pakistan yang bekerja di rantau tersebut.

Penganalisis pertahanan di King’s College London, Dr Andreas Krieg, bagaimanapun berkata Qatar masih menjadi saluran politik utama antara Washington dengan Teheran.

Menurut beliau, peranan Fil Marsyal Munir lebih tertumpu kepada membuka saluran komunikasi antara pihak tentera, terutama dengan kepimpinan keselamatan Iran yang semakin berpengaruh dalam menentukan keputusan mengenai perang dan keamanan.

Kejayaan lawatan itu kini dilihat bergantung kepada sama ada Pakistan dapat membantu mencari titik persamaan mengenai Selat Hormuz dan membawa Iran kembali ke meja rundingan.

Jika gagal, kata Dr Krieg, saluran komunikasi mungkin kekal terbuka, tetapi kedua-dua pihak berisiko kembali memasuki satu lagi kitaran tekanan dan tindak balas ketenteraan. - Agensi berita