LAHORE: Sebuah mahkamah anti-keganasan Pakistan pada lewat 22 Julai menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas lapan anggota kanan parti bekas Perdana Menteri Imran Khan atas dakwaan terlibat dalam rusuhan yang menyasarkan tapak tentera susulan penahanan Encik Khan pada tahun 2023, menurut peguam mereka.
Encik Khan kini sedang dibicarakan atas pertuduhan serupa, namun kesnya dikendalikan secara berasingan.
Pemerintah menuduh beliau dan pemimpin parti lain menghasut protes pada 9 Mei 2023, yang menyaksikan penunjuk perasaan menyerang bangunan tentera dan pemerintah termasuk ibu pejabat tentera di Rawalpindi dan kediaman seorang komander kanan di Lahore.
Pihak pendakwaan masih mengemukakan saksi dalam perbicaraan Encik Khan, dan keputusan pada 22 Julai tidak memberi kesan langsung kepada kes beliau.
Hukuman dijatuhkan dalam perbicaraan yang dijalankan di dalam penjara di Lahore dan merupakan sebahagian daripada siri pendakwaan yang melibatkan parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinan Khan. Peguam pembela, Encik Burhan Moazzam, berkata mereka akan mengemukakan rayuan.
“Adalah mengejutkan apabila enam orang dibebaskan manakala lapan lagi disabitkan kesalahan, walaupun semua mereka didakwa atas tuduhan yang sama,” katanya.
Kes ini berkaitan salah satu daripada beberapa insiden yang berpunca daripada rusuhan 9 Mei, melibatkan dakwaan hasutan semasa serangan berhampiran persimpangan utama di Lahore. Encik Moazzam berkata, perbicaraan berasingan sedang berjalan berhubung insiden lain pada hari tersebut.
Mereka yang dijatuhkan hukuman termasuk tokoh kanan PTI yang pernah memegang jawatan dalam kerajaan wilayah Punjab pimpinan Khan: Yasmin Rashid, bekas menteri kesihatan wilayah; Ejaz Chaudhry, seorang senator; Mehmoodur Rashid, bekas menteri perumahan; dan Umar Sarfraz Cheema, bekas gabenor wilayah dan pembantu kepada Encik Khan.
Mahkamah turut membebaskan Naib Pengerusi PTI, Shah Mehmood Qureshi, yang kini ditahan dalam kes lain, dan masih belum jelas sama ada pembebasan ini akan membawa kepada pembebasannya daripada tahanan.
Mengulas mengenai keputusan tersebut, Timbalan Menteri Undang-Undang, Encik Aqeel Malik, memberitahu media tempatan bahawa keputusan itu adalah “selaras dengan undang-undang dan perlembagaan.”
Encik Khan, yang digulingkan melalui undi tidak percaya pada 2022, kini masih dipenjara dan berdepan pelbagai kes termasuk tuduhan rasuah, penghinaan mahkamah, dan pendedahan rahsia rasmi. Beliau menafikan sebarang salah laku dan mendakwa kes-kes tersebut bermotifkan politik.
Pihak tentera pula menafikan mereka menyasarkan PTI. Pihak berkuasa menyatakan bahawa keganasan pada 9 Mei telah menyebabkan kerugian berbilion dolar dan lebih 3,000 tangkapan dibuat di wilayah Punjab. - REUTERS
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg