Topik diikuti
Pergi ke BHkuPakistan perhebat diplomasi serentak, usaha bawa AS-Iran ke meja rundingan kedua
Pakistan perhebat diplomasi serentak, usaha bawa AS-Iran ke meja rundingan kedua
Pakistan perhebat diplomasi serentak, usaha bawa AS-Iran ke meja rundingan kedua
ISLAMABAD: Pakistan menggerakkan strategi diplomasi serentak melibatkan kepimpinan tentera dan awam bagi membuka laluan kepada pusingan kedua rundingan damai antara Amerika Syarikat dengan Iran yang dijangka berlangsung di Islamabad minggu ini.
Langkah tersebut menyaksikan Panglima Tentera Pakistan, Marsyal Syed Asim Munir, melakukan lawatan tiga hari ke Teheran bermula 15 April, manakala Perdana Menteri, Encik Shehbaz Sharif, dan menteri luarnya mengadakan siri lawatan ke Arab Saudi, Qatar dan Turkey.
Perkembangan itu mencerminkan penyelarasan terperinci antara institusi tentera dengan pemerintah dalam sistem yang sering disifatkan sebagai “rejim hibrid” di Pakistan.
“Sinergi yang berlaku sekarang membuahkan hasil, dan untuk meneruskan rentak ini, kerjasama seperti ini amat diperlukan,” kata Pengarah Eksekutif, Forum Dialog Nasional, Encik Sheharyar Khan.
Encik Shehbaz menegaskan, Pakistan akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam usaha menamatkan konflik di Asia Barat, tatkala ketegangan antara Amerika dengan Iran masih memuncak.
Dalam perbualan telefon selama 45 minit dengan Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, beliau menekankan komitmen Islamabad ke arah keamanan serantau.
“Dengan sokongan rakan dan negara sahabat, Pakistan kekal komited sepenuhnya sebagai pemudah cara yang jujur demi keamanan berkekalan,” katanya dalam hantaran di wadah X.
Beliau turut memaklumkan telah berkongsi hasil pertemuannya dengan pemimpin Arab Saudi, Qatar dan Turkey, dalam usaha memperkukuh sokongan serantau terhadap rundingan damai.
Marsyal Munir, dilihat memainkan peranan utama dalam proses rundingan, termasuk sebagai salah seorang pengantara dalam pertemuan bersemuka antara Amerika dengan Iran di Islamabad, pada 11 April lalu.
Beliau pula berada di Iran selama tiga hari bagi mengadakan rundingan dengan pemimpin tertinggi negara itu, ketika timbul jangkaan Iran dan Amerika akan mengadakan pusingan baru rundingan di Islamabad bagi mencapai persetujuan.
“Saya hargai penglibatan Iran, termasuk penghantaran delegasi peringkat tinggi ke Islamabad bagi rundingan bersejarah itu, serta perbincangan baru-baru ini dengan Marsyal Munir, di Teheran.
“Saya juga berkongsi pandangan hasil pertemuan saya dengan pemimpin Arab Saudi, Qatar dan Turkey baru-baru ini.
“Saya turut memberi jaminan kepadanya bahawa, dengan sokongan rakan dan negara sahabat, Pakistan kekal komited sepenuhnya terhadap peranan sebagai pemudah cara yang jujur dan ikhlas demi keamanan berkekalan serta kestabilan serantau,” kata Encik Shehbaz, menerusi hantaran di wadah X selepas perbualan itu.
Seorang pegawai Pakistan yang enggan dikenali berkata, kepimpinan tentera memainkan peranan lebih dominan kini.
“Dalam keadaan seperti ini, keputusan tidak hanya dibuat oleh pemimpin politik, tetapi oleh kepimpinan tentera,” katanya.
Beliau menyifatkan lawatan Marsyal Munir ke Iran sebagai “kritikal” dalam usaha membawa kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan.
“Perjanjian hampir dimuktamadkan. Beliau satu-satunya individu yang mampu meyakinkan Iran kerana tahap kepercayaan yang tinggi,” tambahnya.
Walaupun rundingan pertama membuka saluran komunikasi antara Amerika dengan Iran, ia gagal menghasilkan persetujuan membina.
Iran terus mengecam tindakan Amerika yang melaksanakan apa yang disifatkan sebagai “sekatan laut”, termasuk rampasan kapal kargo Iran berhampiran Selat Hormuz.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baqaei, menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran gencatan senjata.
“Ini bukan sahaja melanggar gencatan senjata yang diusahakan Pakistan, malah menyalahi undang-undang dan bersifat jenayah,” katanya.
Tentera Iran turut memberi amaran akan bertindak balas terhadap tindakan tersebut.
“Iran akan bertindak balas tidak lama lagi,” ujar kenyataan rasmi tentera.
Walaupun Amerika mengumumkan akan menghantar delegasi ke Islamabad, Iran belum mengesahkan penyertaan dalam rundingan tersebut.
Agensi berita Iran, Irna, melaporkan cadangan rundingan pusingan kedua tidak tepat, dengan menyalahkan tuntutan Amerika yang dianggap melampau.
“Tuntutan tidak munasabah, pendirian yang sering berubah dan sekatan laut yang melanggar persefahaman telah menghalang kemajuan rundingan,” jelas Irna.
Di Islamabad, langkah keselamatan dipertingkat sebagai persediaan menghadapi kemungkinan rundingan, termasuk penutupan jalan utama dan sekatan lalu lintas.
Hotel yang menjadi lokasi rundingan sebelum ini turut dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Peranan aktif Marsyal Munir dalam diplomasi antarabangsa turut mencerminkan peningkatan pengaruh tentera dalam pentadbiran Pakistan.
Penganalisis menyatakan beliau kini menjadi tokoh utama dalam menentukan hala tuju rundingan.
“Siapa yang mampu memberikan hasil? Siapa yang mengawal keadaan? Jelas sekali Marsyal Munir memainkan peranan utama,” kata Encik Sheharyar Khan.
Hubungan rapat Marsyal Munir dengan Presiden Donald Trump juga dilihat sebagai faktor penting dalam memudahkan komunikasi antara kedua-dua pihak.
Timbalan Pengarah Program Asia Barat di Institut Quincy, Encik Adam Weinstein, berkata hubungan tersebut memberi kelebihan kepada Pakistan dalam usaha perantara.
“Munir memberi tumpuan kepada Iran kerana beliau mempunyai hubungan paling rapat dengan Trump,” katanya. – Agensi berita.
