Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pakistan tahan 11 suspek kes bunuh pasangan ‘demi maruah’ tular di media sosial

Jul 21, 2025 | 5:30 PM
FOTO FAIL: Aktivis NGO Pakistan mengadakan protes terhadap kes pembunuhan demi maruah yang berlaku baru-baru ini di kampung Babakot, Quetta pada 5 September 2008. Sepanduk yang dibawa berbunyi: “Perbuatan kejam dan pembunuhan demi maruah adalah tanda kekuasaan golongan penindas.”
FOTO FAIL: Aktivis NGO Pakistan mengadakan protes terhadap kes pembunuhan demi maruah yang berlaku baru-baru ini di kampung Babakot, Quetta pada 5 September 2008. Sepanduk yang dibawa berbunyi: “Perbuatan kejam dan pembunuhan demi maruah adalah tanda kekuasaan golongan penindas.” - Foto REUTERS

QUETTA, Pakistan: Pihak berkuasa Pakistan telah menahan 11 suspek selepas satu video tular di media sosial menunjukkan seorang wanita dan lelaki ditembak mati kerana berkahwin tanpa restu keluarga, dalam satu kes yang digelar sebagai pembunuhan demi maruah, menurut pihak berkuasa.

Pasangan itu, yang tidak didedahkan identitinya, telah ditembak mati atas arahan majlis puak tempatan bulan Jun lalu di wilayah Balochistan, barat daya Pakistan, menurut pihak berkuasa wilayah yang menjalankan siasatan selepas video tersebut menjadi tular.

Sebelas suspek telah ditahan, kata Ketua Menteri Wilayah, Encik Sarfraz Bugti, dalam satu kenyataan pada Isnin, 21 Julai, hanya beberapa jam selepas beliau mengumumkan bahawa lokasi dan individu dalam video tersebut telah dikenal pasti.

Encik Bugti berkata satu kes telah didaftarkan terhadap semua yang terlibat dan mereka akan didakwa di mahkamah.

Video berkenaan menunjukkan sekumpulan orang di kawasan padang pasir, bersama beberapa trak pikap dan SUV yang dipercayai digunakan untuk membawa mereka ke lokasi tersebut. Wanita itu diberikan senaskhah al-Quran, dan kemudian berkata kepada seorang lelaki: “Mari berjalan tujuh langkah bersama saya, selepas itu awak boleh tembak saya.” Lelaki itu kemudian mengikutinya beberapa langkah.

Menurut seorang pegawai polis tempatan, wanita itu tidak menangis atau merayu untuk belas kasihan. “Anda hanya dibenarkan menembak saya. Tidak lebih daripada itu,” kata wanita itu dalam bahasa tempatan Brahavi, menurut terjemahan oleh pegawai berkenaan.

Tidak jelas maksud sebenar wanita itu apabila berkata “tidak lebih daripada itu.” Lelaki tersebut kemudiannya mengacukan pistol ke arah wanita itu sebaik beliau memalingkan badan.
Wanita itu, yang berselubung dengan selendang, berdiri tanpa bergerak ketika tembakan dilepaskan. Selepas dua das tembakan dari jarak dekat, beliau masih berdiri, namun rebah ke tanah selepas das ketiga.

Tembakan berikutnya menyusul. Rakaman video kemudian menunjukkan seorang lelaki yang berlumuran darah terbaring berhampiran mayat wanita itu. Selepas itu, beberapa lelaki kelihatan terus menembak ke arah kedua-dua mayat. Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas kesahihan video berkenaan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan menyatakan bahawa pada tahun 2024, sekurang-kurangnya 405 kes “pembunuhan demi maruah” telah direkodkan, dan mengkritik pihak berkuasa kerana gagal membanteras jenayah ini.

Menurut kumpulan hak asasi manusia, kebanyakan mangsa adalah wanita, dan pembunuhan biasanya dilakukan oleh ahli keluarga sendiri dengan alasan mempertahankan maruah keluarga.

Dalam masyarakat konservatif di banyak kawasan di Pakistan dan India, keluarga tidak membenarkan pasangan berkahwin tanpa restu mereka. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg