ISLAMABAD: Pakistan akan menubuhkan satu pasukan baru dalam angkatan tentera untuk menyelia keupayaan pertempuran peluru berpandu dalam konflik konvensional, yang dilihat sebagai langkah untuk menyaingi India, jiran dan seteru tradisi negara itu.
Perdana Menteri Shehbaz Sharif mengumumkan penubuhan Angkatan Roket Tentera Darat pada malam 13 Ogos dalam satu majlis di Islamabad bagi memperingati konflik terburuk dalam tempoh beberapa dekad dengan India pada bulan Mei. Majlis tersebut diadakan sehari sebelum ulang tahun kemerdekaan Pakistan yang ke-78.
“Ia akan dilengkapi dengan teknologi moden,” kata Encik Sharif dalam kenyataan dari pejabatnya, sambil menambah bahawa pasukan ini akan menjadi satu pencapaian penting dalam memperkukuh keupayaan tempur tentera darat Pakistan. Beliau tidak memberikan butiran lanjut.
Seorang pegawai keselamatan kanan bagaimanapun berkata, pasukan ini akan mempunyai komando sendiri dalam angkatan tentera yang akan ditugaskan khusus untuk mengendalikan dan menempatkan peluru berpandu sekiranya berlaku peperangan konvensional.
“Jelas sekali ia ditujukan untuk India,” katanya. Kedua-dua negara bersenjata nuklear itu sentiasa meningkatkan keupayaan ketenteraan masing-masing sejak persaingan lama mereka bermula selepas kemerdekaan daripada pemerintahan British pada tahun 1947.
Ketegangan terbaru antara kedua-dua negara memuncak pada April berikutan pembunuhan 26 orang awam di Kashmir yang ditadbir India, satu serangan yang New Delhi tuduh didalangi Islamabad. Pakistan menafikan penglibatan.
Konflik kemudian tercetus pada bulan Mei, menjadi pertempuran paling serius antara kedua-dua negara dalam tempoh beberapa dekad, yang menyaksikan kedua-dua pihak menggunakan peluru berpandu, dron dan jet pejuang sebelum ia berakhir dengan pengumuman gencatan senjata oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Islamabad mengakui peranan Amerika, namun India menafikannya dengan mengatakan bahawa persetujuan itu dicapai secara langsung antara kedua-dua angkatan tentera. - REUTERS
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg