Topic followed successfully
Go to BHkuPakistan tuduh India ‘mereka cerita’ serangan dron dan peluru berpandu
Pakistan tuduh India ‘mereka cerita’ serangan dron dan peluru berpandu
Pakistan tuduh India ‘mereka cerita’ serangan dron dan peluru berpandu
ISLAMABAD: Tentera Pakistan pada 8 Mei menuduh India “mereka-reka cerita” selepas mendakwa Islamabad telah melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas beberapa stesen tentera di wilayah Kashmir yang ditadbir India.
Pakistan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan menegaskan bahawa tiada serangan dilancarkan pada hari berkenaan. Jurucakap tentera Pakistan, Encik Ahmed Sharif Chaudhry, menyifatkan dakwaan itu sebagai “pertahanan bayangan” oleh India.
“India telah mencetuskan kekecohan sejak semalam (7 Mei) kononnya Pakistan menyerang 15 lokasi. Ia adalah satu cerita rekaan yang sangat luar biasa. Anda hanya mampu ketawa melihatnya,” katanya dalam sidang media.
“Soalan saya, adakah pemerintah India dan angkatan tenteranya masih hidup dalam abad ke-18 atau sudah memasuki abad ke-21? Kerana dalam abad ke-21, setiap peluru atau projektil pasti akan meninggalkan jejak dan tanda digital.”
Menurut laporan akhbar Dawn, Encik Chaudhry turut menunjukkan beberapa gambar serpihan dron sebagai bukti, dan memaklumkan bahawa serpihan itu sedang dikumpul dari pelbagai lokasi.
Krisis ini tercetus susulan serangan udara oleh India pada 7 Mei yang didakwa menyasarkan “kem pengganas”, mencetuskan keganasan paling buruk dalam dekad terakhir antara kedua-dua negara Asia Selatan itu.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh di kedua-dua belah sempadan. Majoriti kematian dilaporkan berlaku di Pakistan, dengan pihak berkuasa mengesahkan 32 mangsa terkorban, termasuk 12 kanak-kanak.
Tentera Pakistan juga mendakwa telah menembak jatuh 28 daripada 29 dron Harop buatan Israel yang didakwa menceroboh ruang udara negara itu pada 8 Mei. Dalam perkembangan berasingan, New Delhi mendakwa berjaya memusnahkan sistem pertahanan udara di Lahore.
Menteri Luar Pakistan, Encik Ishaq Dar, menyatakan bahawa dron-dron tersebut cuba menyerang kemudahan ketenteraan dan juga menyasarkan orang awam. “Seorang awam maut, empat cedera termasuk empat anggota tentera yang turut tercedera,” katanya.
Antara bandar yang disasarkan termasuk Rawalpindi, lokasi markas utama tentera Pakistan. Stadium kriket bandar itu, yang menjadi salah satu venue bagi Liga Super Pakistan, telah dipindahkan ke Emiriah Arab Bersatu bagi baki lapan perlawanan.
Penduduk di Lahore pula melaporkan mendengar bunyi letupan, sementara pihak berkuasa penerbangan menutup sementara operasi lapangan terbang utama di Lahore dan ibu negara Islamabad.
Ketegangan ini telah mendorong pelbagai pemimpin antarabangsa dan diplomat menyeru agar kedua-dua negara menahan diri.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, telah menghubungi pemimpin kedua-dua negara dan menggesa agar berlaku “penurunan ketegangan serta-merta,” menurut kenyataan jurucakapnya.
Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, turut mengulangi seruan tersebut dalam satu wawancara televisyen, namun menegaskan bahawa “Amerika Syarikat tidak akan campur tangan dalam peperangan yang pada asasnya bukan urusan kami.”
Beberapa negara telah menyatakan kesediaan untuk menjadi orang tengah dalam rundingan damai. Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, telah bertemu rakan sejawatnya dari India, Encik Subrahmanyam Jaishankar, di New Delhi pada 8 Mei, beberapa hari selepas mengadakan lawatan ke Pakistan.
Sementara itu, pihak berkuasa Pakistan menegaskan bahawa mereka berhak untuk bertindak balas terhadap serangan awal yang dilancarkan oleh India. - Agensi berita

