RAMALLAH: Palestin membuka pendaftaran calon bagi pilihan raya Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada 28 November, tetapi kemungkinan pengundian itu ditangguhkan mula diperkatakan menjelang dialog nasional yang bakal menghimpunkan pelbagai kumpulan politik Palestin di Kaherah, Mesir.

Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, pada 27 September melanjutkan tempoh pendaftaran calon daripada 12 kepada 18 hari selepas tujuh kumpulan politik mengemukakan permohonan untuk bertanding.

Menurut agensi berita rasmi Palestin, Wafa, keputusan itu dibuat menerusi pindaan kepada Undang-Undang Pilihan Raya Umum 2007 bagi memberikan lebih banyak masa kepada calon melengkapkan permohonan mereka.

Langkah tersebut mengambil kira sekatan pergerakan oleh tentera dan pihak berkuasa Israel serta keadaan keselamatan dan politik yang sukar di Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat dan Gaza.

Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin membuka pendaftaran pada 26 September, dengan proses pencalonan dijalankan secara serentak di Tebing Barat dan Gaza bagi memastikan keseragaman pentadbiran pilihan raya.

Setakat ini, tujuh kumpulan telah mengemukakan permohonan, termasuk Gabungan Masa Depan Palestin, Keadilan dan Pembinaan, Perpaduan dan Perubahan Demokratik serta Inisiatif Nasional Palestin yang diterajui Encik Mustafa Barghouti bersama calon bebas.

Tiga kumpulan lain ialah Laluan Baharu, Buruh dan Phoenix, yang menjadi kumpulan ketujuh mengemukakan permohonan.

Suruhanjaya itu menjelaskan bahawa penyerahan permohonan tidak bermakna sesebuah kumpulan diluluskan secara automatik.

Setiap permohonan akan diperiksa bagi memastikan semua syarat undang-undang dipenuhi, sebelum keputusan dimaklumkan dalam tempoh tiga hari.

Bagaimanapun, persiapan pilihan raya itu berlangsung ketika timbul persoalan mengenai kemungkinan pengundian ditangguhkan sekali lagi.

Beberapa pemimpin kanan Fatah memberitahu portal berita The New Arab bahawa dialog nasional yang dicadangkan Encik Abbas berkemungkinan membuka ruang untuk menangguhkan pilihan raya dengan persetujuan kumpulan politik lain.

Menurut mereka, perpecahan dalaman Fatah dan kemungkinan kemunculan senarai calon yang menentang kepimpinan Encik Abbas merupakan antara faktor yang boleh mempengaruhi keputusan tersebut.

Dialog yang dijangka berlangsung di bawah naungan Mesir itu akan menghimpunkan pelbagai kumpulan Palestin, termasuk Hamas, Jihad Islam Palestin dan Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin (PFLP).

Bagaimanapun, seorang pegawai Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) menolak dakwaan bahawa dialog tersebut bertujuan menangguhkan pilihan raya.

“Dialog nasional bukan pengganti pilihan raya, sebaliknya sebahagian daripada persiapan untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pertemuan itu bertujuan mencapai persefahaman nasional bagi menangani pelbagai cabaran, khususnya perpecahan antara Gaza dengan Tebing Barat.

Jawatankuasa Eksekutif PLO turut menyokong gesaan Encik Abbas supaya dialog menyeluruh diadakan segera bagi memperkukuh perpaduan Palestin.

Jawatankuasa itu menegaskan bahawa pengundian mesti berlangsung serentak di Baitulmakdis Timur, Tebing Barat dan Gaza bagi memastikan proses pilihan raya kekal sebagai satu proses nasional yang menyeluruh.

Cabaran terbesar ialah memastikan pilihan raya dapat diadakan di seluruh wilayah Palestin, khususnya di Baitulmakdis Timur dan Gaza.

Kedudukan Israel mengenai pengundian di Baitulmakdis Timur masih belum jelas, manakala kemusnahan besar akibat peperangan di Gaza menimbulkan kesukaran menyediakan pusat mengundi, mendaftarkan pengundi dan memastikan penduduk dapat keluar mengundi.

Hamas dan beberapa kumpulan lain turut membantah pindaan undang-undang pilihan raya yang diperkenalkan Encik Abbas, termasuk syarat supaya calon menerima program politik PLO.

Pilihan raya kali ini juga mempunyai kepentingan besar kerana rakyat Palestin kali terakhir memilih anggota Parlimen pada 2006.

Badan perundangan Palestin tidak lagi berfungsi sejak perpecahan politik pada 2007 dan kemudiannya dibubarkan melalui keputusan Mahkamah Perlembagaan pada 2018.

Pilihan raya yang dirancang pada 2021 pula ditangguhkan oleh Encik Abbas kerana Israel tidak memberikan jaminan bahawa penduduk Palestin di Baitulmakdis Timur dibenarkan mengundi.

Menurut jadual asal, kempen pilihan raya dijadualkan bermula pada 6 November, diikuti pengundian awal anggota keselamatan pada 26 November dan pengundian umum dua hari kemudian.

Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat mengesahkan bahawa lanjutan tempoh pencalonan sehingga 13 Oktober tidak akan mengubah tarikh pengundian pada 28 November.

Jadual terperinci yang dipinda akan diumumkan selepas urusan perundangan dan teknikal diselesaikan.

Persoalan utama kini ialah sama ada dialog nasional mampu merapatkan perbezaan antara kumpulan Palestin dan mengatasi halangan keselamatan serta pentadbiran supaya pilihan raya pertama dalam tempoh 20 tahun dapat dilaksanakan seperti dirancang. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti