Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemilihan anak Mahmoud Abbas timbulkan persoalan warisan kuasa politik
Pemilihan anak Mahmoud Abbas timbulkan persoalan warisan kuasa politik
Pemilihan anak Mahmoud Abbas timbulkan persoalan warisan kuasa politik
RAMALLAH: Pemilihan Encik Yasser Abbas, ke dalam Jawatankuasa Pusat Fatah, bukan sekadar keputusan politik dalaman biasa.
Sebaliknya, ia dilihat sebagai petanda awal perebutan kuasa yang semakin jelas dalam era selepas kepimpinan Encik Mahmoud Abbas.
Anak kepada Presiden Palestin berusia 90 tahun itu kini berada dalam badan pembuat keputusan tertinggi Fatah ketika gerakan tersebut berdepan tekanan besar akibat perang Gaza.
Ia melibatkan krisis keyakinan rakyat, kelemahan institusi politik Palestin dan ketidaktentuan mengenai siapakah yang bakal menggantikan Encik Abbas.
Bagi ramai pemerhati, kemunculan Encik Yasser, dalam kepimpinan tertinggi Fatah membuka persoalan besar sama ada Palestin sedang menuju ke arah “politik warisan keluarga” atau benar-benar bersedia untuk pembaharuan politik yang dijanjikan sejak sekian lama.
Pemilihan itu berlaku dalam Kongres Agung Kelapan Fatah di Ramallah pada 14 Mei hingga 17 Mei lalu, persidangan pertama gerakan tersebut dalam tempoh hampir sedekad.
Seramai 59 calon bertanding bagi merebut 18 kerusi Jawatankuasa Pusat, manakala lebih 450 calon bersaing untuk 80 kerusi Majlis Revolusi Fatah.
Encik Abbas yang mengetuai Fatah sejak kematian Encik Yasser Arafat, pada 2004 turut dikekalkan sebagai ketua gerakan itu.
Dalam ucapan pembukaannya, beliau menegaskan bahawa Fatah sedang memasuki “tahun demokrasi”.
“Tahun ini (2026) ialah tahun demokrasi. Kami akan mengadakan Pilihan Raya Majlis Kebangsaan, Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Presiden,” katanya.
Namun, di sebalik janji reformasi itu, ramai rakyat Palestin masih sangsi kerana pilihan raya nasional Palestin tidak pernah diadakan sejak 2006.
Encik Abbas pula terus mentadbir melalui dekri sejak penggal pemerintahannya tamat pada 2009.
Dalam keadaan itu, kemunculan Encik Yasser segera mencetuskan spekulasi beliau sedang dipersiapkan sebagai tokoh penting masa depan Fatah.
Encik Yasser, 64 tahun, ialah usahawan yang mengendalikan syarikat pembinaan dan tembakau di Tebing Barat serta banyak menghabiskan masanya di Canada.
Walaupun tidak pernah memegang jawatan rasmi dalam Penguasa Palestin (PA) atau Fatah sebelum ini, pengaruh politiknya semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau pernah mengiringi bapanya dalam beberapa pertemuan antarabangsa termasuk lawatan ke Moscow bersama Presiden Russia, Encik Vladimir Putin; dan Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah Al Sisi.
Encik Abbas juga sebelum ini melantik Encik Yasser sebagai “wakil khas Presiden” dan memberinya tanggungjawab mengurus hal ehwal Palestin di Lebanon.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Encik Yasser turut mengadakan pertemuan dengan tokoh keselamatan Palestin serta kumpulan mewakili tahanan Palestin di penjara Israel, satu kelompok yang mempunyai pengaruh besar dalam politik Palestin.
Penganalisis politik Palestin, Encik Reham Owda, berkata kemunculan Encik Yasser mungkin membantu mengukuhkan pengaruhnya dalam Fatah, tetapi ia tidak semestinya menjamin penerimaan rakyat.
“Ini tidak menyelesaikan kekecewaan rakyat Palestin kerana tiada pilihan raya demokratik sejak 2006,” katanya.
“Malah ia boleh meningkatkan lagi rasa kecewa kerana rakyat sebenarnya mahukan Pilihan Raya Presiden dan Parlimen yang bebas,” tambah beliau.
Kritikan paling besar terhadap Encik Yasser ialah persepsi bahawa beliau mendapat laluan politik melalui pengaruh bapanya dan bukannya melalui perjuangan akar umbi seperti generasi lama Fatah.
Aktivis Palestin, Encik Samer Sinijlawi, menyifatkan usaha membawa Encik Yasser ke dalam kepimpinan tertinggi Fatah sebagai sesuatu yang bercanggah dengan kehendak rakyat Palestin.
“Percubaan menjadikan politik Palestin sebagai warisan keluarga sangat terpisah daripada suara rakyat Palestin,” katanya.
“Selepas 20 tahun tanpa pilihan raya nasional, rakyat Palestin mahukan kebertanggungjawaban, pembaharuan dan kepimpinan baharu, bukannya pewarisan kuasa melalui hubungan darah,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa langkah sedemikian boleh lebih menjejas keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap sistem politik Palestin.
“Kepimpinan Palestin masa depan tidak boleh ditentukan dalam lingkungan keluarga. Ia mesti ditentukan oleh rakyat Palestin menerusi pilihan raya bebas,” katanya.
Namun, ada juga dalam Fatah yang melihat kemasukan Encik Yasser sebagai usaha memastikan kesinambungan kestabilan parti ketika Palestin berdepan cabaran terbesar dalam sejarah moden mereka.
Fatah kini berada dalam kedudukan sukar.
Pengaruh gerakan itu semakin merosot sejak Hamas memenangi Pilihan Raya Palestin pada 2006 sebelum mengambil alih Gaza pada 2007 selepas konflik berdarah dengan Fatah.
Sejak itu, Palestin terbahagi kepada dua pusat kuasa utama, iaitu Penguasa Palestin yang menguasai Tebing Barat dan Hamas yang mentadbir Gaza.
Perang Gaza yang berterusan pula menjadikan masa depan politik Palestin semakin kabur.
Dalam masa sama, Penguasa Palestin terus berdepan tuduhan rasuah, kelemahan pentadbiran dan kegagalan mencapai kemerdekaan Palestin seperti dijanjikan dalam Perjanjian Oslo pada 1990-an.
Proses damai Palestin-Israel pula runtuh sepenuhnya sejak 2014.
Peluasan penempatan haram Israel di Tebing Barat turut menghakis harapan penubuhan negara Palestin merdeka.
Keadaan ekonomi Penguasa Palestin juga semakin tertekan akibat pengurangan bantuan antarabangsa serta tindakan Israel menahan dana cukai Palestin.
Dalam suasana itulah perebutan pengaruh dalam Fatah kini semakin penting kerana sesiapa yang menguasai gerakan itu berpotensi menguasai Penguasa Palestin dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).
Selain Encik Yasser beberapa nama lain turut disebut sebagai calon pengganti Encik Abbas termasuk Encik Hussein Al Sheikh, Encik Majed Faraj, dan Encik Marwan Barghouti, yang masih dipenjara Israel tetapi kekal popular dalam kalangan rakyat Palestin.
Menariknya, Encik Barghouti, memperoleh undi tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa Pusat Fatah kali ini walaupun beliau dipenjara sejak 2002.
Perkara itu menunjukkan sokongan rakyat Palestin masih banyak berpihak kepada tokoh perjuangan lama berbanding elit politik semasa.
Bagi ramai rakyat Palestin, persoalan sebenar bukan sekadar siapakah bakal menggantikan Encik Abbas, tetapi sama ada sistem politik Palestin sendiri mampu dipulihkan selepas bertahun-tahun dilihat gagal memenuhi harapan rakyat.
Dan dengan kemunculan Encik Yasser di pusat kuasa Fatah, persoalan mengenai masa depan Palestin kini menjadi semakin sensitif, rumit dan penuh ketidakpastian. – Agensi berita.
