NEW YORK: Delegasi Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang menggesa agar dijalankan undian pada April ini bagi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat dengan keanggotaan penuh dalam badan dunia itu.
Namun, langkah itu, yang dinyatakan Pemerhati Tetap Palestin ke PBB, Encik Riyad Mansour, pada 3 April dijangka ditentang oleh Amerika Syarikat.
“Kami sedang berusaha untuk diterima. Ini adalah hak semula jadi kami dan terkandung dalam undang-undang. Semua orang bercakap tentang penyelesaian dua negara, maka apakah logiknya untuk menafikan kami menjadi negara anggota?” katanya.
Beliau menggesa undian itu dijalankan pada 18 April di Majlis Keselamatan PBB.
Mengikut peraturan, sebarang permintaan untuk menjadi negara anggota PBB mesti terlebih dahulu diluluskan dalam undian oleh Majlis Keselamatan, di mana sekutu kuat Israel, iaitu Amerika, dan empat negara lain boleh menggunakan kuasa veto bagi menolaknya.
Jika permohonan itu diluluskan, ia perlu disahkan oleh majoriti dua pertiga anggota PBB dalam Perhimpunan Agung badan itu.
Presiden Penguasa Palestin, Encik Mahmoud Abbas, mengemukakan permohonan menjadi anggota penuh PBB pada 2011, tetapi ia tidak dipertimbangkan oleh Majlis Keselamatan.
Bagaimanapun, pada Perhimpunan Agung 2012, Palestin diberikan status pemerhati, yang lebih terhad, kepada “Negara Palestin”.
Pada 2 Mac 2024, Penguasa Palestin menyerahkan surat kepada Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, meminta Majlis Keselamatan menimbang semula permohonannya.
Kenyataan Encik Riyad itu dibuat sedang Amerika pada 3 April menyuarakan bantahannya terhadap keanggotaan penuh Palestin, tetapi berkata ia menyokong Palestin menjadi sebuah negara selepas rundingan dengan Israel.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Matthew Miller, berkata Washington menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Permohonan Palestin itu juga dibuat selepas Parlimen Israel, Knesset, mengundi 99-11 untuk menyokong keputusan pemerintah Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menolak sebarang pengiktirafan sepihak bagi sebuah negara Palestin.
Encik Riyad juga berkata Palestin akan mempercepat proses di Perhimpunan Agung PBB agar masyarakat antarabangsa mengambil langkah praktikal untuk memaksa Israel menarik balik kepungannya ke atas Gaza. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg