RAMALLAH: Pegawai Palestin mengecam keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menarik balik sekatan ke atas peneroka Israel yang ganas di Tebing Barat yang diduduki, berikutan beberapa serangan baru-baru ini.
Arahan eksekutif yang ditandatangani oleh Encik Trump pada hari pertama memegang jawatan adalah satu tindakan menarik balik sekatan yang dikenakan oleh pendahulunya Encik Joe Biden ke atas peneroka yang dituduh melakukan keganasan di wilayah Palestin yang diduduki Israel.
“Menarik balik sekatan ke atas peneroka ekstremis mendorong mereka melakukan lebih banyak jenayah terhadap rakyat kita,” kata Kementerian Luar Palestin dalam satu kenyataan pada 21 Januari.
Malah, sebelum keputusan itu diumumkan, peneroka Israel telah menyerang perkampungan Palestin Al-Funduk dan Jinsafut di utara Tebing Barat pada malam 20 Januari.
Kementerian itu berkata bahawa “sekitar 50 peneroka pengganas bertopeng” membakar rumah dan kedai, memusnahkan kenderaan dan “mengganas terhadap orang awam yang tidak bersenjata”.
Sekurang-kurangnya 21 orang cedera dalam serangan yang berlaku “di bawah pengawasan dan perlindungan tentera Israel dan kepimpinan politik,” kata kementerian itu.
Mengesahkan insiden itu, tentera Israel menyatakan rusuhan merebak di sekitar Al-Funduk dan orang awam Israel telah “melempar batu dan menyerang pasukan keselamatan”.
“Tentera Israel tidak akan membenarkan ini berlaku,” kata Mejar Jeneral Avi Bluth, pegawai pemerintah wilayah tentera tengah yang bertanggungjawab ke atas kawasan itu.
Amaran keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 20 Januari menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 11 insiden melibatkan peneroka Israel berlaku di seluruh Tebing Barat sejak gencatan senjata bermula di Gaza pada 19 Januari.
Semasa kejadian ini, peneroka membaling batu ke arah kenderaan Palestin, mengganggu pengembala di kawasan luar bandar, dan memukul atau menembak ke arah rakyat Palestin.
Kira-kira tiga juta rakyat Palestin tinggal di Tebing Barat dan sekitar 490,000 penduduk Israel menetap di penempatan yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa.
Tentera atau peneroka Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 847 rakyat Palestin di Tebing Barat sejak permulaan perang Gaza 15 bulan lalu, menurut Kementerian Kesihatan Palestin. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg