RAMALLAH: Penguasa Palestin (PA) mesti menjadi kuasa pemerintah tunggal di Gaza selepas perang, kata Perdana Menteri Palestin Mohammad Mustafa pada 15 Januari, ketika jangkaan perjanjian untuk menghentikan pertempuran dan membebaskan tebusan Israel hampir menjadi kenyataan.
Siapa yang akan mengendalikan Gaza selepas perang kekal sebagai salah satu persoalan besar yang belum terjawab dalam rundingan gencatan senjata, yang lebih memberi tumpuan kepada gencatan senjata serta-merta dan pertukaran tebusan yang masih ditahan di Gaza dengan tahanan Palestin di penjara Israel.
Bercakap dalam persidangan di Norway, Encik Mustafa berkata Israel dan Hamas mesti bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza dan membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan disalurkan kepada 2.3 juta penduduk Gaza yang menghadapi krisis kemanusiaan selepas perang 15 bulan berakhir.
Beliau menegaskan bahawa hanya PA yang sah mengambil alih tadbir urus di Jaluran Gaza selepas pertempuran berakhir dan tidak sepatutnya ada percubaan untuk memisahkan Gaza daripada Tebing Barat yang diduduki Israel sebagai sebahagian daripada negara Palestin.
“Adalah penting untuk menekankan bahawa ia tidak akan diterima untuk mana-mana entiti lain mentadbir Jaluran Gaza kecuali kepimpinan Palestin yang sah dan pemerintah negara Palestin,” tegasnya.
Encik Mustafa berkata pengiktirafan Norway pada 2024 terhadap negara Palestin di bawah PA merupakan langkah penting ke arah penyelesaian dua negara yang disokong kebanyakan masyarakat antarabangsa.
Israel telah menolak sebarang penglibatan Hamas, yang mengendalikan Gaza sebelum perang, tetapi hampir sama-sama menentang pemerintahan oleh PA, badan yang ditubuhkan di bawah perjanjian damai sementara Oslo tiga dekad lalu yang mempunyai kuasa pemerintahan yang terhad di Tebing Barat.
Pegawai Israel menuduh PA menyokong serangan terhadap Israel dan menyatakan bahawa sokongan luas terhadap Hamas dalam kalangan rakyat Palestin di luar Gaza bermakna negara Palestin pasti akan diambil alih oleh pergerakan itu.
PA, yang didominasi oleh puak Fatah yang dicipta oleh mantan pemimpin Palestin Yasser Arafat, juga menghadapi tentangan daripada puak saingan Hamas, yang menghalau PA keluar dari Gaza pada 2007 selepas perang saudara yang singkat. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg