BANGKOK: Kemboja dan Thailand akan membentangkan hujah masing-masing di hadapan panel pakar undang-undang antarabangsa di Singapura, dalam usaha menyelesaikan pertikaian selama berdekad mengenai kawasan maritim.

Kawasan tersebut dipercayai mempunyai sumber minyak dan gas bernilai besar.

Pertemuan pertama Suruhanjaya Pendamaian di bawah Konvensyen Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos) berlangsung dari 14 hingga 16 September.

Ia diadakan selepas Kemboja memulakan proses pendamaian, berikutan keputusan Thailand pada Mei lalu untuk menarik diri secara sepihak daripada rangka kerja yang digunakan kedua-dua negara selama lebih dua dekad, bagi merundingkan tuntutan bertindih di Teluk Thailand.

Pertikaian itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 27,000 kilometer persegi yang dituntut oleh kedua-dua negara dan dipercayai mempunyai simpanan minyak dan gas yang besar.

Kementerian Tenaga Thailand sebelum ini menganggarkan hasil masa depan daripada minyak dan gas asli di kawasan tuntutan bertindih itu boleh mencecah sekitar AS$300 bilion ($385 bilion).

Kedua-dua negara pada 2001 menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) yang dikenali sebagai MoU 44 untuk menyediakan rangka kerja bagi rundingan mengenai tuntutan maritim dan kemungkinan pembangunan bersama sumber tenaga.

Namun, Bangkok menarik diri daripada perjanjian itu pada Mei dengan alasan tiada kemajuan dicapai selepas lebih 20 tahun.

Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, menafikan keputusan tersebut mempunyai kaitan dengan pertikaian sempadan darat antara kedua-dua negara.

Pertikaian sempadan itu mencetuskan dua pusingan pertempuran pada 2025 yang mengorbankan puluhan nyawa dan menyebabkan lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal, sebelum satu gencatan senjata dicapai.

Kemboja kemudian membawa pertikaian maritim tersebut kepada proses pendamaian di bawah Unclos.

Phnom Penh berkata langkah itu diambil selepas Thailand “secara sepihak menamatkan rangka kerja dua hala yang dipersetujui” dan digunakan kedua-dua negara, untuk merundingkan tuntutan maritim bertindih selama lebih dua dekad.

Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, berkata langkah itu bertujuan “melindungi kedaulatan dan hak maritim Kemboja mengikut undang-undang antarabangsa”.

Wakil kedua-dua negara dijadual menyampaikan kenyataan pembukaan pada 15 September di hadapan panel pendamaian lima anggota yang terdiri daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Menteri Luar Kemboja, Encik Prak Sokhonn, dijangka menyampaikan kenyataan negaranya terlebih dahulu, diikuti Menteri Luar Thailand, Encik Sihasak Phuangketkeow.

Prosiding itu diadakan di pejabat Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA) di Singapura, pejabat pertama di Asia badan yang berpangkalan di The Hague itu.

PCA yang ditubuhkan pada 1899 merupakan badan antara pemerintah tertua di dunia bagi penyelesaian pertikaian antarabangsa.

Proses pendamaian itu bukan perbicaraan mahkamah, yang akan menghasilkan keputusan yang mengikat kedua-dua negara.

Sebaliknya, suruhanjaya akan cuba membantu Bangkok dan Phnom Penh mencapai penyelesaian secara aman sebelum mengemukakan syor yang tidak mengikat.

Proses itu dijangka mengambil masa kira-kira setahun.

Kemboja berharap proses berkenaan dapat menghasilkan “penyelesaian yang adil dan berkekalan”, serta membuka jalan kepada penerokaan sumber minyak dan gas di kawasan yang dipertikaikan.

Thailand pula berkata ia bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pendamaian tetapi akan terus melindungi kepentingan negaranya.

Encik Sihasak berkata Bangkok sudah melakukan persiapan menyeluruh, termasuk mengadakan beberapa pusingan perbincangan antara agensi pemerintah dengan mendapatkan khidmat penasihat undang-undang asing yang mempunyai kepakaran dalam undang-undang maritim antarabangsa.

Beliau berkata Thailand yakin mempunyai kedudukan undang-undang yang kukuh.

Menurutnya, Bangkok perlu menjelaskan bahawa MOU 44 dibatalkan kerana proses itu gagal menghasilkan kemajuan selepas lebih 20 tahun dan keputusan tersebut bertujuan membuka laluan baharu bagi rundingan dua hala.

“Segala-galanya perlu dibincangkan. Ini bukan sahaja soal undang-undang antarabangsa, malah soal kepercayaan bersama untuk mencapai persetujuan,” katanya.

Bagaimanapun, perbezaan sudah muncul mengenai perkara yang seharusnya dibincangkan oleh suruhanjaya itu.

Kemboja mahu perbincangan meliputi penetapan sempadan maritim dan, sekiranya persetujuan tidak dapat dicapai, kemungkinan kedua-dua negara berkongsi manfaat daripada sumber di kawasan tersebut.

Thailand pula berpendapat isu perkongsian sumber tidak seharusnya termasuk dalam skop proses pendamaian wajib.

Bangkok mahu usaha menentukan sempadan maritim dilakukan sepenuhnya terlebih dahulu sebelum kemungkinan aturan lain dipertimbangkan.

Penganalisis turut melihat pertikaian itu dalam konteks politik dalam negeri dan ketegangan lebih luas antara kedua-dua negara.

Pakar politik antarabangsa di Kolej Antarabangsa Universiti Mahidol, Encik William Jones, berkata keputusan Thailand membatalkan MOU 44, antara lain, bertujuan menunjukkan ketegasan dan menjarakkan pemerintah sekarang daripada legasi mantan Perdana Menteri, Encik Thaksin Shinawatra, yang pemerintahannya merangka perjanjian itu pada 2001.

Beliau pula menyifatkan keputusan Encik Hun Manet membawa isu tersebut melalui saluran undang-undang antarabangsa sebagai langkah politik yang bijak kerana menawarkan kos yang rendah tetapi berpotensi memberikan hasil besar.

Di sebalik pertikaian politik dan undang-undang itu, taruhannya besar bagi kedua-dua negara.

Penyelesaian tuntutan bertindih bukan sahaja boleh meredakan satu lagi punca ketegangan antara Kemboja dengan Thailand, malah berpotensi membuka jalan kepada pembangunan sumber minyak dan gas bernilai ratusan bilion dolar di Teluk Thailand. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti