Topik diikuti
Pergi ke BHkuThailand bina tembok sempadan dengan Kemboja selepas pertempuran 2025
Thailand bina tembok sempadan dengan Kemboja selepas pertempuran 2025
Thailand bina tembok sempadan dengan Kemboja selepas pertempuran 2025
PONG NAM RON, Thailand: Thailand menyiapkan seksyen pertama tembok sempadan kekal di sepanjang sebahagian kawasan sempadannya dengan Kemboja, ketika ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu masih berlarutan susulan dua pusingan pertempuran pada 2025.
Ketua Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Ukrit Boontanon, berkata tembok sepanjang 1.3 kilometer di daerah Pong Nam Ron, timur Thailand, dibina menggunakan panel konkrit bertetulang yang dipasang dengan pagar jejaring keluli serta kawat berduri bagi meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan.
Beliau menyifatkan struktur itu sebagai kukuh, stabil dan tahan lama, selain direka untuk kegunaan jangka panjang.
“Panel konkrit di sini telah diuji dengan tembakan. Kami mengesahkan ia mampu menahan tembakan senjata ringan,” katanya kepada wartawan semasa lawatan media ke lokasi itu pada 22 Julai.
Menurut beliau, tentera Thailand merancang membina lebih tujuh kilometer lagi tembok yang akan disambungkan dengan seksyen sedia ada.
Pada masa sama, pihak tentera sedang menilai kawasan lain di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja sejauh 817 kilometer bagi mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk pembinaan tembok serupa.
“Setiap kawasan mempunyai keadaan muka bumi yang berbeza. Kami hanya akan membina di lokasi yang memberi manfaat dan tidak menimbulkan masalah pada masa hadapan,” katanya.
Walaupun gencatan senjata telah dipersetujui, anggota tentera kedua-dua negara masih ditempatkan di sepanjang sempadan yang menjadi pertikaian sejak sekian lama.
Pertikaian itu bertukar menjadi konflik bersenjata pada Julai dan Disember 2025, apabila kedua-dua pihak menggunakan serangan udara dan bedilan artileri.
Hampir 150 orang terbunuh, manakala kira-kira 300,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing akibat pertempuran tersebut.
Pertempuran pada Julai 2025 berjaya dihentikan selepas lima hari susulan campur tangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Namun, pertempuran tercetus semula pada Disember dan berlanjutan selama 20 hari sebelum Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata secara dua hala. - Agensi berita