Topik diikuti
Pergi ke BHkuPangkalan tentera AS di Jordan gugat kedudukan geopolitik Amman
Pangkalan tentera AS di Jordan gugat kedudukan geopolitik Amman
Kehadiran pasukan asing dikhuatiri heret Jordan lebih jauh dalam konflik serantau yang kian memuncak
Pangkalan tentera AS di Jordan gugat kedudukan geopolitik Amman
AMMAN: Ratusan tokoh politik, peguam, ahli akademik dan pemimpin masyarakat Jordan menandatangani sepucuk surat terbuka menggesa pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu.
Ia sekali gus mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat bahawa kehadiran pasukan asing berisiko mengheret Jordan lebih jauh ke dalam perang antara Amerika dengan Iran.
Surat yang ditandatangani ratusan individu berpengaruh itu merupakan antara kritikan terbuka paling ketara terhadap dasar keselamatan kerajaan Jordan sejak konflik serantau tercetus pada penghujung Februari lalu.
Penandatangan menyatakan kehadiran kira-kira 4,000 anggota tentera Amerika di beberapa pangkalan di Jordan telah mendedahkan negara itu kepada ancaman keselamatan, politik dan ekonomi yang semakin serius.
“Kami percaya kehadiran mereka mendedahkan Jordan kepada risiko keselamatan, politik dan ekonomi yang tidak memberi manfaat kepada kepentingan negara, selain meningkatkan kemungkinan negara kami terheret ke dalam konflik serantau yang bukan berpunca daripada kami,” bunyi kandungan surat itu.
Kerajaan Jordan bagaimanapun belum memberikan reaksi rasmi terhadap surat berkenaan mahupun dakwaan bahawa ruang kebebasan bersuara semakin sempit.
Sejak perang antara Amerika dengan Iran meletus, Jordan menjadi antara negara yang paling terkesan walaupun tidak menyertai konflik itu secara langsung.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Iran meningkatkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera Amerika di Jordan sebagai tindak balas terhadap serangan Washington ke atas Iran.
Serangan itu menyebabkan siren amaran berbunyi berulang kali di seluruh Jordan, namun sasaran utama kekal tertumpu kepada kemudahan tentera Amerika dan bukannya kawasan awam Jordan.
Seorang diplomat Barat berkata setakat ini tiada orang awam Jordan menjadi mangsa serangan kerana Iran masih memberi tumpuan kepada aset ketenteraan Amerika yang ditempatkan di bawah perjanjian pertahanan dua hala.
“Mereka menyasarkan anggota tentera dan aset Amerika Syarikat, bukannya rakyat Jordan,” katanya.
Namun, beliau memberi amaran bahawa serangan Iran kini menjadi semakin pantas dan lebih canggih, sekali gus meningkatkan risiko peluru berpandu atau dron melepasi sistem pertahanan udara.
Pemerhati percaya Teheran mahu melemahkan keupayaan pertahanan Amerika di Jordan bagi mengurangkan pemintasan peluru berpandu Iran yang menuju ke Israel.
Mereka turut memberi amaran bahawa jika Iran mula menyasarkan prasarana penting atau orang awam Jordan, keadaan politik dalam negara itu boleh berubah dengan pantas.
Buat masa ini, kehidupan harian di Amman masih berjalan seperti biasa walaupun siren kecemasan sering kedengaran.
Seorang diplomat Eropah berkata rakyat Jordan menunjukkan daya ketahanan luar biasa dan belum menunjukkan tanda panik.
Bagaimanapun, pegawai Jordan menjangkakan konflik akan menjadi lebih buruk selepas rundingan antara Washington dengan Teheran gagal mencapai persetujuan mengenai program nuklear Iran.
Dua pegawai Jordan yang enggan dikenali berkata Iran enggan menghentikan program nuklearnya, manakala Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bersama Israel terus menuntut supaya program itu dibubarkan sepenuhnya.
Menurut mereka, pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, turut mengukuhkan pengaruh kumpulan tegar dalam Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), sekali gus mengecilkan peluang penyelesaian diplomatik.
“Semakin sengit serangan antara Iran dengan Israel, semakin tinggi risiko yang dihadapi Jordan kerana kedudukan geografinya,” kata seorang pegawai.
Seorang lagi pegawai kanan bagaimanapun berpendapat Iran tidak mungkin sengaja menyerang orang awam Jordan kerana negara itu masih dianggap sebagai kawasan paling stabil yang bersempadan dengan Israel.
Menurutnya, Iran juga tidak mahu kehilangan sokongan sebahagian masyarakat Arab yang bersimpati terhadap pendiriannya dalam isu Palestin.
Dalam perkembangan lain, kebimbangan terhadap keselamatan meningkat selepas dua anggota tentera Amerika terbunuh dalam serangan Iran ke atas Pangkalan Udara Muwaffaq Salti, manakala seorang lagi masih dilaporkan hilang.
Seorang anggota tentera Amerika turut terbunuh di Iraq ketika operasi memusnahkan sebuah dron Iran.
Empat serangan terhadap pangkalan tentera Amerika di Jordan dalam tempoh lima hari turut mencederakan puluhan anggota tentera serta mencetuskan persoalan mengenai keberkesanan sistem pertahanan peluru berpandu.
Tentera Jordan memaklumkan tiga daripada empat peluru berpandu Iran yang dilancarkan 26 Julai lalu berjaya dipintas, manakala satu lagi jatuh di kawasan terpencil di selatan negara itu tanpa mengorbankan nyawa.
Pada malam berikutnya pula, lima dron Iran berjaya dimusnahkan sebelum mencapai sasaran.
Seorang pegawai Arab berkata Washington dijangka memperkukuh sistem pertahanan Jordan selepas memindahkan lebih banyak aset ketenteraan dari Bahrain, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) ke negara itu.
Aset tersebut merangkumi pesawat pejuang, pesawat pengisian minyak di udara, sistem radar dan bateri pertahanan peluru berpandu.
Jordan kini menjadi hab ketenteraan yang semakin penting bagi Amerika kerana kedudukannya yang lebih jauh daripada medan perang utama berbanding pangkalan di negara Teluk lain.
Bagaimanapun, konflik itu turut memberi kesan besar kepada ekonomi Jordan.
Sektor pelancongan yang menyumbang sehingga 18 peratus hasil negara terjejas apabila pelancong asing mula membatalkan perjalanan susulan peningkatan ancaman keselamatan.
Pada masa sama, Jordan masih bergantung kepada bantuan tahunan Amerika bernilai kira-kira AS$1.65 bilion ($2.13 bilion) bagi menyokong ekonomi dan pertahanannya.
Kebergantungan itu menyebabkan Amman mempunyai ruang yang terhad untuk menolak permintaan ketenteraan Washington walaupun berdepan tekanan daripada rakyat sendiri.
Aktivis veteran berusia 90 tahun, Encik Sufyan al-Tell, berkata beliau menandatangani surat terbuka itu bagi menunjukkan bahawa pendirian rakyat Jordan berbeza daripada dasar kerajaan.
“Kami sebagai rakyat Jordan tidak menerima dasar kerajaan yang membolehkan negara dan keupayaannya digunakan bagi mempertahankan Israel,” katanya.
Beliau turut mendakwa ramai penandatangan sedar mereka mungkin berdepan tindakan undang-undang, namun tetap menyokong surat tersebut atas dasar tanggungjawab kepada negara.
Perbahasan mengenai kehadiran tentera Amerika turut mencetuskan ketegangan di Parlimen Jordan apabila cadangan mengucapkan takziah kepada Washington atas kematian tenteranya ditentang beberapa ahli Parlimen yang mengaitkan tentera Amerika dengan kematian orang awam di Gaza.
Penganalisis politik berkata sukar menentukan sejauh manakah surat terbuka itu mewakili sentimen keseluruhan rakyat kerana kebebasan bersuara di Jordan semakin terhad.
Media tempatan juga dilaporkan tidak menyiarkan kandungan penuh surat itu, sebaliknya hanya menyiarkan kritikan terhadapnya, manakala penyebarannya lebih banyak berlaku menerusi media sosial.
Pemerhati melihat Jordan kini berada dalam kedudukan yang amat rumit, apabila negara itu perlu mengekalkan kerjasama strategik dengan Amerika demi keselamatan dan bantuan ekonomi, tetapi pada masa sama berdepan tekanan domestik yang semakin meningkat supaya tidak terus menjadi pangkalan hadapan dalam konflik Amerika-Iran. – Agensi berita.
“
“Kami percaya kehadiran mereka mendedahkan Jordan kepada risiko keselamatan, politik dan ekonomi yang tidak memberi manfaat kepada kepentingan negara, selain meningkatkan kemungkinan negara kami terheret ke dalam konflik serantau yang bukan berpunca daripada kami.”