PORT MORESBY: Kabinet Papua New Guinea (PNG) meluluskan Perjanjian Pertahanan Pukpuk dengan Australia, langkah strategik yang dilihat memperkukuh keselamatan serantau sambil mengekang pengaruh China di Pasifik.
Perdana Menteri James Marape mengumumkan kelulusan itu pada 2 Oktober, menyifatkannya sebagai lonjakan terbesar hubungan keselamatan dua hala dalam sejarah negara itu.
“Perjanjian ini mencerminkan tahap kepercayaan, sejarah, dan masa depan yang kita kongsi bersama Australia,” kata Encik Marape dalam kenyataan rasmi. “Melalui pakatan ini, Papua New Guinea akan menjadi negara yang selamat, terjamin dan bersedia melindungi rakyat serta sempadannya.”
Perjanjian Pukpuk mewajibkan kedua-dua negara membantu satu sama lain jika diserang, menjadikan ia hanya perjanjian pertahanan timbal balik kedua yang dimiliki Australia. Pakatan baru ini turut membuka peluang sehingga 10,000 rakyat PNG berkhidmat bersama Angkatan Pertahanan Australia (ADF) menerusi pengaturan dwi-kerjaya.
Emcik Marape menegaskan bahawa walaupun PNG menandatangani perjanjian ini, negara itu masih boleh mengekalkan hubungan pertahanan dengan negara lain. “Peruntukan sedia ada memastikan kedaulatan kita dihormati dan tidak menjejaskan hubungan dengan pihak ketiga,” katanya.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menyambut baik kelulusan rasmi PNG. “Australia dan Papua New Guinea adalah jiran paling dekat dan sahabat paling rapat. Perjanjian ini mengangkat hubungan kita ke tahap pakatan rasmi,” katanya. Beliau menambah bahawa penandatanganan rasmi dijangka dilakukan tidak lama lagi.
Encik Albanese sebelum ini dikritik kerana gagal memeterai perjanjian itu ketika berkunjung ke Port Moresby sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan PNG ke-50 pada September lalu. Pada masa itu, mesyuarat kabinet PNG tidak mencapai kuorum bagi mengesahkan perjanjian tersebut.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian usaha Australia meningkatkan pengaruhnya di rantau Pasifik selepas China menandatangani perjanjian keselamatan dengan Kepulauan Solomon pada 2022. Amerika Syarikat juga memeterai perjanjian pertahanan dengan PNG pada 2023 bagi mengekang cita-cita keselamatan Beijing.
Walaupun disambut baik oleh Canberra, perjanjian ini mendapat kritikan di dalam negara. Bekas komander Angkatan Pertahanan PNG, Jerry Singirok, memberi amaran bahawa kesan jangka panjang perjanjian tersebut boleh “mendatangkan kos yang tinggi” kepada PNG dari segi kedaulatan dan dasar keselamatan.
Pemerhati juga mengingatkan bahawa China sebelum ini memberi amaran kepada PNG agar “tidak mengorbankan kemerdekaan dan kepentingan jangka panjang” dalam hubungan diplomatiknya. “Kami sebuah negara demokrasi, bukan pemerintahan tentera. Semua keputusan besar perlu diluluskan secara telus,” tegas Encik Marape ketika menjawab kritikan bulan lalu.
Encik Marape menegaskan Perjanjian Pukpuk bukan sekadar mengenai kemudahan tentera atau kelengkapan senjata, tetapi pelaburan dalam membina keupayaan manusia dan teknologi. “Kami melabur bukan hanya pada kelengkapan, tetapi juga keupayaan operasi agar mampu menjaga sempadan dengan berkesan,” ujarnya.
Australia pula melihat pakatan ini sebagai isyarat jelas bahawa mereka terus menjadi rakan strategik utama PNG dalam menghadapi cabaran keselamatan baharu di Pasifik. Hubungan erat ini turut dijangka memperkukuh daya tahan rantau itu terhadap pengaruh luar, khususnya China yang kian aktif menawarkan bantuan keselamatan kepada negara-negara kecil Pasifik.
Pemerhati serantau menilai perjanjian ini sebagai mesej tegas bahawa Australia bersedia memperkukuh kehadirannya di Pasifik pada tahap tertinggi sejak Perang Dunia Kedua. “Ini bukan hanya tentang keselamatan tetapi juga geopolitik. Ia mesej bahawa Australia dan sekutunya tidak akan membiarkan China mengisi kekosongan di Pasifik,” kata seorang penganalisis yang dipetik media tempatan.
Walaupun masih menunggu pengesahan Parlimen kedua-dua negara sebelum berkuat kuasa, kelulusan kabinet PNG menandakan halangan terbesar telah diatasi. Encik Albanese menyatakan keyakinan bahawa proses seterusnya akan lancar.
“Kami menantikan penandatanganan rasmi tidak lama lagi,” katanya. “Ini bukan sekadar perjanjian keselamatan, tetapi komitmen jangka panjang antara dua negara jiran yang berkongsi masa depan bersama.” - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg