WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah melancarkan semakan rasmi terhadap perjanjian kerjasama pertahanan antara tiga negara iaitu United Kingdom (UK), Amerika dan Australia (AUKUS) yang dimeterai oleh bekas Presiden Joe Biden bersama Australia dan UK, yang membenarkan Australia memperoleh kapal selam berkuasa nuklear bersenjata konvensional, menurut seorang pegawai pertahanan Amerika.
Australia, yang melihat projek kapal selam itu sebagai penting untuk pertahanannya di tengah-tengah ketegangan berikutan peningkatan kuasa ketenteraan China, menyatakan bahawa mereka kekal komited terhadap projek tersebut dan berharap untuk terus bekerjasama rapat dengan Amerika dalam proses semakan itu.
Selain membimbangkan Australia, semakan ini juga boleh menjejaskan perancangan pertahanan UK. Perjanjian AUKUS, yang bernilai ratusan bilion dolar, merupakan teras kepada rancangan peluasan armada kapal selam UK.
“Kami sedang menyemak AUKUS sebagai sebahagian daripada usaha memastikan inisiatif pentadbiran terdahulu ini selaras dengan agenda Utamakan Amerika,” kata pegawai tersebut berhubung semakan itu, yang pertama kali dilaporkan oleh Financial Times. “Sebarang perubahan terhadap pendekatan pentadbiran mengenai AUKUS akan dimaklumkan melalui saluran rasmi, apabila sesuai.”
AUKUS ditubuhkan pada tahun 2021 bagi menangani kebimbangan bersama terhadap pengaruh China yang semakin meningkat. Perjanjian itu menjangkakan Australia akan memperoleh sehingga lima kapal selam kelas Virginia dari AS bermula 2032.
Selepas itu, Britain dan Australia akan mereka bentuk dan membina kelas kapal selam baru dengan bantuan Amerika. UK dijadualkan menerima penghantaran pertama pada akhir 2030-an, manakala Australia pada awal 2040-an.
Sebelum itu, Amerika dan UK dijangka memulakan penggiliran ke hadapan kapal selam mereka bermula 2027 dari pangkalan tentera laut Australia di Australia Barat.
Antara pengkritik lantang dalam kalangan pegawai kanan dasar Trump ialah Encik Elbridge Colby, penasihat dasar utama Pentagon, yang pada 2024 memberi amaran bahawa kapal selam adalah aset kritikal yang sukar diperoleh, dan industri Amerika tidak mampu menghasilkan secukupnya bagi menampung permintaan dalam negara.
Kapal selam juga dilihat penting dalam strategi ketenteraan AS sekiranya berlaku konflik dengan China di rantau “rantai kepulauan pertama” atau first island chain — merangkumi Jepun, Taiwan, Filipina hingga ke Borneo — yang mengelilingi laut pesisir China.
“Kebimbangan saya ialah, mengapa kita memberi aset terpenting ini ketika kita sangat memerlukannya?” kata Encik Colby pada 2024. Hanya enam negara memiliki kapal selam nuklear: Amerika, UK, Russia, China, Perancis dan India.
Jurucakap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles, berkata Amerika telah memaklumkan Australia dan UK mengenai semakan itu. “AUKUS akan memperkukuh industri pertahanan AS dan Australia serta mewujudkan ribuan pekerjaan pembuatan baharu,” kata jurucakap itu.
Jurucakap kerajaan UK pula menyifatkan AUKUS sebagai “salah satu kerjasama strategik paling penting dalam dekad ini” yang turut memberi manfaat dari segi peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi di ketiga-tiga negara.
“Adalah difahami bahawa sesebuah pentadbiran baharu ingin menyemak semula pendekatannya terhadap kerjasama sebesar ini, sama seperti yang dilakukan UK tahun lalu (2024),” kata jurucakap itu, sambil menambah bahawa UK akan “terus bekerjasama rapat dengan AS dan Australia... untuk memaksimumkan manfaat dan peluang” menerusi AUKUS.
Rumah Putih tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk komen, namun seorang pegawai memberitahu Reuters bahawa pentadbiran Trump “secara berkala menyemak semula perjanjian luar negara bagi memastikan ia selari dengan kepentingan rakyat Amerika – terutamanya perjanjian yang dimulakan di bawah dasar luar Biden yang gagal.”
Senator Amerika Tim Kaine, dari Parti Demokrat yang menganggotai Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat, berkata AUKUS adalah “penting untuk memastikan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka,” dan pentadbiran seharusnya memperkukuhnya bersama asas industri kapal selam AS. “Jika tidak, ia akan memberi kelebihan langsung kepada China,” kata Kaine, yang mewakili Virginia, tempat pembinaan kapal selam Amerika.
AUKUS merupakan projek pertahanan terbesar dalam sejarah Australia, dengan kerajaan Canberra komited untuk membelanjakan A$368 bilion (S$305.9 bilion) dalam tempoh tiga dekad, termasuk pelaburan bernilai berbilion dolar dalam kemudahan pengeluaran AS.
Pada 10 Jun, Britain mengumumkan pelan pelaburan bernilai berbilion pound untuk menaik taraf industrinya, termasuk di BAE Systems di Barrow dan Rolls-Royce Submarines di Derby, bagi meningkatkan pengeluaran kapal selam seperti yang diumumkan dalam semakan pertahanan strategik negara itu.
Melalui pelan ini, UK akan membina sehingga 12 kapal selam serangan generasi baharu mengikut model yang dirancang untuk dibangunkan bersama Amerika dan Australia di bawah AUKUS.
Dalam sidang Kongres Amerika pada 10 Jun, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth berkata “kami sedang mengadakan perbincangan jujur dengan sekutu kami” dan merujuk kepada Australia dengan berkata: “Kami mahu memastikan keupayaan mereka seiring dengan penggunaan kapal selam mereka, dan juga integrasi dengan kita sebagai sekutu.”
Bekas Perdana Menteri Australia Encik Malcolm Turnbull, yang sebelum ini menandatangani perjanjian pemerolehan kapal selam Perancis sebelum digantikan oleh AUKUS, memberitahu CNBC minggu lalu bahawa “kemungkinan besar Australia akhirnya tidak akan menerima sebarang kapal selam, sebaliknya hanya menyediakan pangkalan besar di Australia Barat untuk tentera laut AS dan kemudahan penyelenggaraan di sana.”
Pakar AUKUS John Lee dari kumpulan pemikir konservatif Hudson Institute di Washington berkata semakan Pentagon bertujuan menilai sama ada Amerika mampu menjual sehingga lima kapal selam memandangkan sasaran pengeluaran domestik sendiri tidak tercapai.
Kathryn Paik, bekas pegawai Rumah Putih di bawah Biden yang kini di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa Washington, berkata penyediaan kapal selam kepada Australia tidak akan menjejaskan kesiapsiagaan Amerika, malah meningkatkan keupayaan cegah bersama.
“Semakan ini pasti menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sekutu di Canberra dan London, serta boleh menggugat keyakinan mereka terhadap kebolehpercayaan Amerika sebagai rakan dan sekutu,” katanya. - REUTERS
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg