LONDON: Perdana Menteri Britain, Encik Rishi Sunak, pada 22 Mei mengumumkan akan megadakan pilihan raya kebangsaan pada 4 Julai.
Beliau berkata rakyat Britain akan dapat membuat penentuan masa depan mereka, dalam pengundian di mana parti Konservatif pimpinannya secara meluas dijangka tewas kepada Parti Buruh pembangkang, selepas 14 tahun berkuasa.
Mengakhiri spekulasi berbulan-bulan tentang bila beliau akan mengadakan pilihan raya, Encik Sunak, 44 tahun, berdiri di luar pejabatnya, 10 Downing Street dalam hujan lebat, dan mengumumkan tarikh pilihan raya, beberapa bulan lebih awal daripada yang dijangkakan.
Langkah ini dilihat sebagai strategi berisiko, dengan partinya berada jauh di belakang Parti Buruh, dalam tinjauan pendapat.
Dengan suara hampir menjerit, supaya didengari, bagi mengatasi bunyi lagu kemenangan pilihan raya Parti Buruh pada1997 di bawah mantan Perdana Menteri Tony Blair, yang dimainkan oleh penunjuk perasaan di luar pintu Downing Street, Encik Sunak menyenaraikan apa yang dikatakannya sebagai pencapaiannya dalam pemerintah, bukan sahaja sebagai Perdana Menteri tetapi juga sebagai mantan Menteri Kewangan.
“Sekarang adalah masa untuk Britain memilih masa depannya dan memutuskan sama ada ia mahu membina kemajuan yang telah kita capai, atau berisiko untuk kembali ke titik awal dan tiada kepastian,” katanya.
“Dalam beberapa minggu akan datang, saya akan berjuang untuk setiap undian, saya akan mendapatkan kepercayaan anda dan saya akan membuktikan kepada anda bahawa hanya kerajaan Konservatif yang dipimpin oleh saya, yang tidak akan meletakkan kestabilan ekonomi kita dalam risiko.”
Beliau menuduh pemimpin Parti Buruh, Encik Keir Starmer, yang sentiasa mengambil “jalan keluar mudah” dan tidak mempunyai rancangan.
“Akibatnya, masa depan hanya boleh menjadi tidak menentu dengan mereka,” katanya.
Encik Starmer, membalas dakwaan itu hanya dengan mengatakan bahawa partinya akan membawa “perubahan”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg