Parlimen Filipina dijangka undi aduan pemecatan Presiden Marcos

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parlimen Filipina dijangka undi aduan pemecatan Presiden Marcos

Feb 3, 2026 | 4:11 PM

Parlimen Filipina dijangka undi aduan pemecatan Presiden Marcos

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Penunjuk perasaan memegang sepanduk menuntut pemecatan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. dan Naib Presiden Sara Duterte semasa satu perhimpunan di luar Dewan Perwakilan (HOR) di Quezon City, Metro Manila, Filipina, pada 2 Februari 2026. Pada hari yang sama, dua aduan pemecatan terhadap Sara Duterte difailkan di Dewan Perwakilan, ketika Jawatankuasa Kehakiman HOR membincangkan aduan pemecatan yang dikemukakan terhadap Presiden Ferdinand Marcos Jr.
Penunjuk perasaan memegang sepanduk menuntut pemecatan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. dan Naib Presiden Sara Duterte semasa satu perhimpunan di luar Dewan Perwakilan (HOR) di Quezon City, Metro Manila, Filipina, pada 2 Februari 2026. Pada hari yang sama, dua aduan pemecatan terhadap Sara Duterte difailkan di Dewan Perwakilan, ketika Jawatankuasa Kehakiman HOR membincangkan aduan pemecatan yang dikemukakan terhadap Presiden Ferdinand Marcos Jr. - Foto EPA

MANILA: Anggota Parlimen Filipina bermesyuarat pada 3 Februari bagi menentukan sama ada dua aduan pemecatan terhadap Presiden Ferdinand Marcos Jr. akan diteruskan ke peringkat seterusnya, ketika beliau berdepan tuduhan mengkhianati kepercayaan awam, rasuah dan melanggar Perlembagaan.

Encik Marcos, yang kini berada di pertengahan penggal enam tahunnya dan menafikan semua dakwaan salah laku, berdepan dua aduan berasingan yang difailkan oleh seorang peguam serta sekumpulan aktivis.

Pada 2 Februari, Jawatankuasa Kehakiman Dewan Perwakilan memutuskan kedua-dua aduan itu “mencukupi dari segi bentuk”, sekali gus melepasi tapisan awal.

Jawatankuasa itu bersidang semula pada 3 Februari untuk menilai sama ada aduan berkenaan “mencukupi dari segi merit” bagi membolehkan ia diteruskan. Apa jua keputusan jawatankuasa, isu tersebut akan dibawa untuk pengundian di Dewan Perwakilan, yang ketika ini dikuasai oleh sekutu presiden.

Sekiranya Dewan meluluskan pemecatan, Encik Marcos akan menjadi presiden kedua Filipina yang dihadapkan kepada proses tersebut selepas Encik Joseph Estrada, yang perbicaraannya pada 2001 tergendala selepas sebahagian pendakwa meninggalkan prosiding.

Antara tuduhan utama ialah keputusan Encik Marcos membenarkan bekas presiden Encik Rodrigo Duterte ditahan dan dibawa ke The Hague untuk dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung ribuan kematian dalam kempen “perang terhadap dadah”. Pengadu mendakwa tindakan itu merupakan pengkhianatan terhadap kepercayaan awam dan melanggar Perlembagaan.

Selain itu, Encik Marcos turut dituduh menyalahgunakan kuasa dalam perbelanjaan dana awam yang dikaitkan dengan skandal projek kawalan banjir, serta dakwaan penggunaan dadah yang menurut pengadu menjadikannya tidak layak mentadbir negara.

Encik Marcos telah menafikan semua dakwaan tersebut.

Pejabat Presiden menyatakan beliau menghormati proses perundangan. “Sejak awal lagi, Presiden telah menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, tidak melanggar undang-undang dan tidak melakukan kesalahan yang boleh membawa kepada pemecatan,” kata pegawai akhbar presiden, Cik Claire Castro, dalam satu sidang media.

Jika Dewan Perwakilan meluluskan pemecatan, kes itu akan dibawa ke Senat untuk perbicaraan, dengan 24 senator bertindak sebagai juri. Setakat ini, lima pegawai kanan Filipina pernah dihadapkan kepada proses pemecatan, namun hanya seorang, bekas Ketua Hakim Negara, disabitkan dan disingkirkan daripada jawatan.

Dalam masa yang sama, Naib Presiden Cik Sara Duterte, yang hubungannya dengan Marcos dilihat semakin renggang, turut berdepan ancaman aduan pemecatan baharu. Aduan terdahulu terhadap beliau dibatalkan oleh Mahkamah Agung Filipina pada 2025 atas alasan teknikal, namun beliau terus menafikan sebarang salah laku.

Pengerusi Jawatankuasa Kehakiman, Cik Gerville Luistro, berkata panel itu perlu menentukan sama ada kesalahan yang didakwa benar-benar memenuhi kriteria pemecatan. “Tidak memadai sekadar seseorang pegawai melakukan kesalahan. Kesalahan itu mesti tergolong sebagai kesalahan yang boleh membawa kepada pemecatan,” katanya kepada penyiar Teleradyo.

Cik Luistro menambah, jika jawatankuasa memutuskan untuk meneruskan aduan, Encik Marcos akan diberi peluang untuk menjawab semua tuduhan. Sokongan sekurang-kurangnya satu pertiga ahli Dewan diperlukan untuk meluluskan pemecatan.

Pasukan guaman Encik Marcos setakat ini belum memulakan persiapan rasmi. Menurut Cik Castro, pihak istana masih menunggu proses formal dimuktamadkan. “Belum lagi. Kita tunggu bagaimana proses ini berjalan. Apabila proses itu bermula secara rasmi, Presiden akan memberi respons,” katanya.

Ahli Parlimen dari parti Bicol Saro, Encik Terry Ridon, berkata keputusan akhir bergantung kepada bukti dan “suara hati” ahli Dewan. “Prosiding pemecatan sentiasa berpaksikan fakta dan bukti. Keputusan akan dibuat berdasarkan hati nurani setiap ahli Parlimen,” katanya.

Encik Ridon menegaskan bahawa tekanan atau pandangan dari luar tidak akan mempengaruhi keputusan kerana pemecatan adalah hak eksklusif badan perundangan. Namun, beliau turut menyatakan sebahagian dakwaan mungkin tidak memenuhi ambang perlembagaan.

Mengenai penyerahan Encik Duterte ke ICC, Encik Ridon berkata tindakan eksekutif itu adalah pelaksanaan perjanjian antarabangsa. “Saya tidak melihat ia sebagai kesalahan yang boleh membawa kepada pemecatan atau pengkhianatan kepercayaan awam,” katanya.

Beliau juga mempertahankan amalan peruntukan belanjawan tertentu yang dipersoalkan pengadu, dengan menyatakan ia telah diamalkan sejak 1989 tanpa pernah diputuskan tidak berperlembagaan oleh Mahkamah Agung.

Sebelum perbahasan bermula, dua aduan itu perlu disatukan kerana jawatankuasa tidak boleh mendengar dua kes berasingan serentak. Aduan oleh peguam Encik Andre de Jesus dan gabungan Makabayan mengemukakan pelbagai dakwaan, termasuk dasar infrastruktur yang didakwa membuka ruang kepada sogokan.

Dalam perkembangan berkait, aduan pemecatan baharu terhadap Cik Sara Duterte dijangka difailkan selepas larangan setahun tamat pada 6 Februari. Encik Ridon berkata aduan lama boleh difailkan semula kerana Mahkamah Agung tidak menilai substansnya.

Senator JV Ejercito memberi amaran bahawa prosiding pemecatan serentak terhadap Presiden dan Naib Presiden boleh memberi isyarat ketidakstabilan politik kepada masyarakat antarabangsa. “Ia boleh mewujudkan kekosongan kuasa dan mencetuskan ketidaktentuan politik,” katanya dalam satu wawancara radio.

Ketika proses ini berjalan, tumpuan kini terarah kepada sama ada majoriti Dewan, yang dikuasai sekutu presiden, bersedia membenarkan aduan tersebut mara, atau memilih untuk menghentikannya di peringkat awal. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg