Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Puluhan ribu penunjuk perasaan anti-rasuah kembali banjiri jalanan Manila untuk hari kedua

Nov 17, 2025 | 3:52 PM
Anggota kumpulan agama Iglesia ni Cristo (Gereja Kristus) menghadiri hari pertama tunjuk perasaan tiga hari membantah rasuah di Quirino Grandstand, Manila, Filipina, 16 November 2025.
Anggota kumpulan agama Iglesia ni Cristo (Gereja Kristus) menghadiri hari pertama tunjuk perasaan tiga hari membantah rasuah di Quirino Grandstand, Manila, Filipina, 16 November 2025. - Foto REUTERS

MANILA: Puluhan ribu penunjuk perasaan kembali memenuhi jalan raya ibu kota Filipina untuk hari kedua berturut-turut pada 17 November, menuntut pertanggungjawaban terhadap dakwaan rasuah dalam projek mitigasi banjir.

Protes besar-besaran yang bermula pada 16 November itu menarik lebih 600,000 peserta dan dijadual berlangsung hingga 18 November. Ia dianjurkan oleh Iglesia Ni Cristo (Gereja Kristus), sebuah “gereja mega” berpengaruh dengan dua juta pengikut yang terkenal dengan undi blok dan keupayaannya menggerakkan ahli di seluruh negara.

“Kami menuntut pemerintah menjalankan siasatan yang benar-benar telus dan ikhlas, bukan menutup mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan ini,” kata Encik Freddie Beley, 60 tahun.

Skandal tersebut semakin meluas sejak Presiden Ferdinand Marcos Jr pada Ogos mendedahkan hasil audit dalaman terhadap projek kawalan banjir yang menunjukkan banyak ketidakaturan serius.

Laporan itu mengaitkan pegawai kerja raya, eksekutif firma pembinaan utama serta beberapa ahli Parlimen yang didakwa mengaut keuntungan melalui projek tidak sempurna atau dalam beberapa kes, projek yang langsung tidak wujud.

Kontroversi ini turut menjejaskan keyakinan pelabur dan menurut penganalisis, menjadi antara faktor pertumbuhan ekonomi negara merosot ke paras terendah dalam empat tahun pada suku ketiga akibat perbelanjaan awam yang perlahan.

Ramai peserta perhimpunan pada 16 November menyuarakan rasa kecewa terhadap apa yang disifatkan sebagai siasatan tidak berkesan ke atas ketidakaturan dalam projek infrastruktur berskala besar. Encik Marcos telah menubuhkan sebuah suruhanjaya khas untuk menyiasat dakwaan rasuah tersebut, khususnya projek berkaitan kemudahan kawalan banjir.

Presiden Marcos, yang merupakan anak kepada bekas pemimpin yang pernah dituduh melakukan rasuah besar-besaran, menggambarkan tindakan tegasnya itu sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti pemerintah.

Penunjuk perasaan Encik Armelyn Bandril, 35, berkata rakyat sudah penat menunggu tindakan tegas. “Hampir seratus hari berlalu sejak proses ini bermula, tetapi belum ada seorang pun yang dipenjara. Bukti terlalu banyak,” katanya.

Pada 13 November, Encik Marcos berikrar bahawa semua pihak yang bertanggungjawab terhadap projek cacat itu akan didakwa dan dipenjara sebelum Hari Krismas. - REUTERS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg