Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi peruntuk kuota hanya 2,000 petugas haji 2024 bagi Indonesia

Sep 19, 2023 | 1:49 PM
BIMBANG KHIDMAT TERJEJAS: Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Encik Yaqut Cholil Qoumas (tengah), bersama-sama Duta Besar Arab Saudi ke Indonesia, Encik Faisal Abdulah H. Amodi, dalam pertemuan pada Julai 2023. Encik Yaqut berkata Indonesia hanya diberi 2,000 kuota petugas haji bagi 2024 dan ia dijangka menimbulkan masalah dari segi pengurusan dan khidmat haji kepada lebih 221,000 jemaah setiap tahun.
BIMBANG KHIDMAT TERJEJAS: Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Encik Yaqut Cholil Qoumas (tengah), bersama-sama Duta Besar Arab Saudi ke Indonesia, Encik Faisal Abdulah H. Amodi, dalam pertemuan pada Julai 2023. Encik Yaqut berkata Indonesia hanya diberi 2,000 kuota petugas haji bagi 2024 dan ia dijangka menimbulkan masalah dari segi pengurusan dan khidmat haji kepada lebih 221,000 jemaah setiap tahun. - Foto FACEBOOK YAQUT CHOLIL QOUMAS

JAKARTA: Jemaah Indonesia yang mengerjakan ibadah haji setiap tahun berjumlah lebih 221,000 orang tetapi pihak berkuasa Arab Saudi akan hanya memberi kuota sebanyak 2,000 petugas hajinya bagu musim haji 2024.

Jumlah tersebut adalah kurang separuh daripada kuota 4,200 petugas haji yang diberikan pada musim haji 2023, ujar Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Encik Yaqut Cholil Qoumas.

“Saya tidak boleh bayangkan,” kata Encik Yaqut semasa mesyuarat kerja bersama dengan Suruhanjaya VIII Dewan Perwakilan Rakyat pada Isnin.

“Saya rasa kita perlu bercakap lebih serius dan lebih terperinci kerana kuota yang diberikan kerajaan Arab Saudi kepada pegawai kita hanya 2,000 untuk tahun depan,” tambahnya.

Pengurangan kuota pegawai haji akan menjadi masalah baru dan memberi kesan kepada perkhidmatan jemaah haji memandangkan bilangan jemaah warga emas masih tinggi pada tahun depan, katanya.

Selain itu, kuota haji yang diberikan oleh Arab Saudi untuk jemaah haji pada 2024 adalah sama dengan kuota sebanyak 221,000 pada 2023.

“Kuota 4,200 masih belum mencukupi apatah lagi hanya diberi 2,000 untuk tahun depan,’‘ tambah beliau.

Encik Yaqut memaklumkan bahawa pihaknya tidak mengetahui asas atau sebab pengurangan kuota haji untuk petugas haji negaranya itu.

Pihaknya merancang untuk mengadakan pertemuan dengan Kementerian Haji Arab Saudi dan bertanyakan perkara tersebut.

“Kita akan tanya sebab pemberian 2,000 kuota untuk petugas haji, sedangkan kuota jemaah haji masih 221,000,” tambah beliau.

Baru-baru ini, beliau menyatakan bahawa tahap kesihatan jemaah Indonesia akan diberi keutamaan apabila seseorang mahu mengerjakan haji pada masa akan datang.

Ini kerana kementeriannya sedang menimbangkan untuk memperkenalkan satu sistem baru bagi memastikan bakal anggota jemaah dalam keadaan sihat – dan tidak lagi berasaskan kepada keutamaan membuat bayaran seperti sekarang ini.

Awal daripada itu, beliau menyatakan pemerintah Indonesia masih mengkaji semula rancangannya untuk membenarkan umat Islam Indonesia menunaikan haji hanya sekali dalam seumur hidup mereka.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Menteri Hal Ehwal Kebudayaan, Encik Muhadjir Effendy, yang mencetuskan idea mengehadkan ibadah haji berkali-kali kerana ramai umat Islam Indonesia terpaksa berhadapan dengan tempoh giliran panjang yang boleh menjangkau puluhan tahun.

Dengan berbuat demikian, mereka yang kali pertama berhasrat mengerjakan haji mempunyai peluang untuk melakukan ibadah tersebut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg