Parlimen Indonesia sedia beri kelulusan awal calon Timbalan Gabenor Bank Indonesia
Parlimen Indonesia sedia beri kelulusan awal calon Timbalan Gabenor Bank Indonesia
JAKARTA: Parlimen Indonesia dijangka memberi kelulusan awal terhadap seorang anggota baru Lembaga Gabenor Bank Indonesia (BI) pada lewat 26 Januari, selepas selesai menjalankan proses uji kelayakan dan kepatutan terhadap tiga calon, termasuk Timbalan Menteri Kewangan Encik Thomas Djiwandono, yang juga merupakan anak saudara kepada Presiden Prabowo Subianto.
Pengerusi Suruhanjaya XI Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Encik Mukhamad Misbakhun, berkata suruhanjaya itu dijadualkan menjalankan sesi uji kelayakan pada petang 26 Januari terhadap Encik Thomas serta seorang lagi calon, Encik Dicky Kartikoyono, yang merupakan pegawai kanan Bank Indonesia.
“Uji kelayakan akan dijalankan secara berperingkat mengikut jadual yang telah dipersetujui pimpinan DPR,” kata Encik Misbakhun dalam satu kenyataan.
Sesi uji kelayakan terhadap Encik Kartikoyono dijadualkan berlangsung dari jam 2.00 petang hingga 3.00 petang waktu tempatan, manakala Encik Djiwandono akan menjalani proses sama dari jam 4.00 petang hingga 5.00 petang.
Encik Dicky ketika ini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Dasar Sistem Pembayaran Bank Indonesia dan telah melalui satu pusingan uji kelayakan sebelum ini. Proses kali ini merupakan kali kedua beliau menjalani penilaian sebagai calon Timbalan Gabenor BI. Sebaliknya, Encik Djiwandono akan menjalani uji kelayakan buat kali pertama bagi jawatan tersebut.
Sebelum ini, Suruhanjaya XI telah menemu bual seorang lagi calon, Encik Solikin M. Juhro, yang merupakan pembantu kepada Gabenor BI, pada 23 Januari lalu. Dalam proses uji kelayakan, semua calon dikehendaki membentangkan visi masing-masing serta menjawab soalan daripada anggota Parlimen.
Kelulusan Suruhanjaya XI terhadap seorang calon Timbalan Gabenor BI kemudiannya akan dibawa ke peringkat sidang pleno Parlimen untuk pengesahan, yang dijangka berlangsung pada 27 zJanuari, menurut Encik Misbakhun. Parlimen lazimnya mengesahkan keputusan yang dibuat oleh suruhanjaya berkenaan.
Pelantikan Encik Djiwandono sebagai calon Timbalan Gabenor BI sebelum ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur mengenai kebebasan Bank Indonesia. Kebimbangan itu menyumbang kepada kejatuhan nilai rupiah ke paras terendah dalam sejarah, iaitu 16,985 rupiah bagi satu dolar Amerika Syarikat, pada minggu lalu.
Nilai mata wang Indonesia itu bagaimanapun pulih pada lewat minggu selepas Bank Indonesia mengekalkan kadar faedahnya, langkah yang dilihat sebagai usaha menstabilkan pasaran dan menyokong nilai rupiah.
Encik Djiwandono dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan pada 18 Julai 2024, menjadikan tempoh perkhidmatannya dalam pemerintah masih relatif singkat sebelum dicalonkan bagi jawatan kanan di bank pusat negara itu.
Suruhanjaya XI DPR RI dijadualkan mengumumkan keputusan dan hasil uji kelayakan calon Timbalan Gabenor BI pada hari yang sama, selepas semua sesi penilaian selesai dijalankan.
Encik Misbakhun sebelum ini menegaskan bahawa proses pengisian jawatan Timbalan Gabenor BI yang kosong selepas pemergian Encik Juda Agung telah dijalankan mengikut mekanisme perlembagaan dan peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau menjelaskan bahawa tiga nama calon, iaitu Thomas Djiwandono, Dicky Kartikoyono dan Solikin M. Juhro, dikemukakan secara rasmi oleh Gabenor Bank Indonesia, Encik Perry Warjiyo. Senarai calon itu kemudian diserahkan kepada Presiden Prabowo Subianto sebelum dihantar ke DPR RI, seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.
“Proses ini berjalan sepenuhnya mengikut mekanisme yang ditetapkan dalam peraturan dan undang-undang,” kata Encik Misbakhun.
Menurut beliau, jadual uji kelayakan dibahagikan kepada dua hari, iaitu Jumaat dan Isnin, berikutan jumlah calon seramai tiga orang serta kekangan masa pada hari Jumaat.
“Oleh kerana masa pada hari Jumaat agak terhad, sebahagian proses dilaksanakan pada hari tersebut dan baki sesi diteruskan pada Isnin,” katanya.
Encik Misbakhun berkata selepas semua sesi uji kelayakan selesai, Suruhanjaya XI akan mengadakan mesyuarat dalaman dan undian bagi menentukan calon yang dipilih.
“Keputusan hasil uji kelayakan calon Timbalan Gabenor BI akan diputuskan dalam mesyuarat dalaman Suruhanjaya XI pada Isnin, 26 Januari 2026, jam 6.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan bertarikh 21 Januari.
Beliau menambah, sekiranya semua proses berjalan mengikut agenda, keputusan tersebut akan segera dibawa ke Sidang Pleno DPR RI yang dijadualkan berlangsung pada Selasa, 27 Januari 2026, atau sehari selepas penentuan dibuat oleh suruhanjaya.
Pelantikan Timbalan Gabenor Bank Indonesia dilihat penting dalam memastikan kesinambungan dasar monetari dan kestabilan kewangan negara, khususnya ketika pasaran sedang memberi perhatian rapi terhadap kebebasan dan kredibiliti bank pusat Indonesia. - Agensi berita

