Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemangku Presiden Korea S berdepan undian pemecatan

Dec 27, 2024 | 2:43 PM
Ahli Parlimen pembangkang menuduh, Pemangku Presiden Korea Selatan, Encik Han Duck-soo (gambar), menghalang proses siasatan ke atas mantan Presiden Yoon Suk Yeol.
Ahli Parlimen pembangkang menuduh, Pemangku Presiden Korea Selatan, Encik Han Duck-soo (gambar), menghalang proses siasatan ke atas mantan Presiden Yoon Suk Yeol. - Foto EPA-EFE

SEOUL: Pemangku Presiden Korea Selatan, Encik Han Duck-soo, kini berdepan usul pemecatan oleh Parlimen, hanya beberapa minggu selepas pendahulunya Presiden Yoon Suk Yeol, digantung daripada jawatan akibat perintah undang-undang tentera yang mengejutkan dunia.

Encik Han, yang juga Perdana Menteri, mengambil alih tugas selepas Encik Yoon yang khidmatnya digantung pada 3 Disember.

Namun, beliau kini berdepan tekanan hebat daripada Ahli Parlimen pembangkang yang menuduhnya menghalang proses siasatan ke atas Encik Yoon dan enggan melantik tiga hakim baru Mahkamah Perlembagaan, yang akan menentukan nasib Encik Yoon.

Ketua Parti Demokratik, Encik Lee Jae-myung, dalam satu kenyataan tegas berkata: “Hari ini (27 Disember) Parti Demokratik melaksanakan pemecatan Han Duck-soo sesuai dengan mandat rakyat. Kuasa pemangku kini telah berubah menjadi kuasa pemberontak.”

Dalam usul yang dikemukakan kepada Parlimen, pembangkang mendakwa Encik Han sengaja mengelak siasatan khas terhadap mereka yang terlibat dalam pemberontakan dan melanggar tanggungjawab rasmi sebagai kakitangan awam.

Ahli Parlimen, Encik Jo Seoung-lae, turut menyelar Encik Han dengan berkata:

“Keengganan beliau untuk melantik hakim Mahkamah Perlembagaan adalah satu cabaran langsung terhadap Perlembagaan dan undang-undang negara.”

Jika usul pemecatan ini berjaya, Korea Selatan akan mencatat sejarah sebagai negara yang memecat dua pemimpin tertinggi dalam tempoh kurang dua minggu, sekali gus memperdalam ketidakstabilan politik negara itu.

Menteri Kewangan, Encik Choi Sang-mok, yang bakal menggantikan Encik Han sebagai Pemangku Presiden jika usul itu diterima, turut menyuarakan kebimbangannya.

Dalam satu sidang media tergempar, beliau berkata: “Usul pemecatan terhadap pemangku kuasa adalah seperti pemecatan terhadap seluruh Kabinet. Ini akan menambah ketidaktentuan politik yang tidak mampu ditanggung oleh ekonomi dan rakyat kita.”

Pasaran kewangan turut tergugat, dengan nilai mata wang won Korea Selatan jatuh ke paras terendah dalam hampir 16 tahun iaitu KRW1480.2 ($1.39) berbanding dolar Amerika Syarikat.

Pengisytiharan undang-undang tentera sebelum ini juga telah menakutkan pelabur, menyebabkan mata wang won berada di paras terendah bagi dua tahun.

Teras krisis itu adalah Mahkamah Perlembagaan, yang kini kekurangan tiga hakim daripada sembilan anggota panel.

Walaupun perbicaraan boleh diteruskan dengan enam hakim, satu undian tidak bersetuju akan mencukupi untuk mengembalikan Encik Yoon menyandang jawatan presiden semula.

Encik Han menyatakan beliau hanya akan melantik hakim baru jika kesepakatan dicapai antara Parti Kuasa Rakyat (PPP) dengan pembangkang.

“Prinsip utama dalam Perlembagaan dan undang-undang kita adalah mengelakkan penggunaan kuasa eksekutif secara eksklusif.

“Kesepakatan antara pihak pemerintah dengan pembangkang mesti dicapai terlebih dahulu,” tegas Encik Han.

Sementara itu, polis telah memulakan siasatan ke atas pengisytiharan undang-undang tentera oleh Encik Yoon, termasuk menyerbu rumah simpanan keselamatan presiden dan mengumpul rakaman kamera keselamatan.

Dalam perkembangan lain, Mahkamah Perlembagaan memulakan sesi perbicaraan awal mengenai kesahihan pemecatan Encik Yoon pada 27 Disember.

Pasukan peguam Encik Yoon mengesahkan bahawa mereka telah menghantar dokumen perwakilan kepada mahkamah dan akan menghadiri sesi tersebut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg