Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parti baru Elon Musk dijangka jadi ‘ancaman senyap’ di pilihan raya 2028

Jul 8, 2025 | 3:56 PM
Miniatur bercetak 3D yang menggambarkan Elon Musk bersama tulisan “The America Party” kelihatan dalam ilustrasi yang diambil pada 7 Julai 2025.
Miniatur bercetak 3D yang menggambarkan Elon Musk bersama tulisan “The America Party” kelihatan dalam ilustrasi yang diambil pada 7 Julai 2025. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Rancangan Elon Musk untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu yang dinamakan America Party telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penganalisis politik Amerika Syarikat.

Walaupun bekas Presiden Donald Trump menyifatkan rancangan itu sebagai “mengarut”, pemerhati politik berpendapat parti baru ini berpotensi menjadi ancaman sebenar, khususnya terhadap Parti Republikan yang kini mempertahankan majoriti tipis di Kongres.

Pelancaran rasmi America Party oleh Encik Musk pada 6 Julai berlaku selepas beliau secara terbuka mengkritik rang undang-undang domestik berskala besar yang ditandatangani Encik Trump, dengan menyatakan ia akan meningkatkan defisit negara secara mendadak.

“Elon Musk adalah faktor luar jangka yang mampu menggugat keseimbangan pilihan raya pertengahan 2026, terutamanya kepada Parti Republikan,” kata Encik Matt Shoemaker, penganalisis politik dan bekas calon Republikan. “Dengan hanya majoriti tipis di Kongres, Republikan patut berasa bimbang,” ujarnya.

Walaupun idea menubuhkan parti politik ketiga bukan sesuatu yang baru dalam landskap politik Amerika, kejayaannya sangat jarang. Penganalisis dari Universiti Buffalo, Encik Collin Anderson, berkata, “Orang ramai harus ambil serius selagi belum terbukti sebaliknya. Terdapat banyak halangan institusi yang besar, tetapi ia tidak mustahil.”

Encik Musk, yang merupakan individu terkaya dunia dengan kekayaan mencecah AS$405 bilion ($516 bilion), dilihat memiliki kelebihan utama berbanding cubaan parti ketiga yang lalu: sumber kewangan yang hampir tidak terhad, serta pengaruh jenama peribadi yang kuat.

Menurut Encik Shoemaker: “Jenama Musk menarik golongan pengundi muda, celik teknologi, dan pengundi bebas yang kecewa dengan kedua-dua parti utama. Dalam pilihan raya kawasan sengit, ini mampu memberikan kesan besar.”

Encik Trump bagaimanapun tidak mengambil ringan terhadap idea ini. Beliau menggelar Encik Musk sebagai “kemalangan kereta api” dan mempertikaikan kesetiaan syarikat-syarikat milik Encik Musk terhadap gagasan politik barunya.

Setiausaha Perbendaharaan, Encik Scott Bessent, yang merupakan penentang lama Encik Musk, turut menyatakan bahawa syarikat-syarikat Musk mungkin tidak akan menyokong parti itu.

Di sebalik pengaruh dan kekayaan Encik Musk, tidak semua berpandangan positif. Menurut pensyarah Sains Politik Washington College, Encik Flavio Hickel, “Sukar untuk membayangkan penyokong setia Trump beralih arah kepada Musk, walaupun beliau mencuba pendekatan baharu. Populariti Musk juga semakin merosot.”

Penilaian populariti bersih (net favorability) terkini oleh penganalisis pilihan raya terkenal, Encik Nate Silver, menunjukkan Musk berada pada tahap -18.1, jauh lebih rendah berbanding Trump yang berada pada -6.6.

Walaupun beberapa individu politik telah berjaya bertanding sebagai calon bebas atau parti kecil, kemenangan jangka panjang sangat sukar dicapai. Dalam sejarah moden Amerika, hanya satu kerusi Dewan Perwakilan pernah dimenangi oleh parti kecil sejak tahun 1950-an.

Antara contoh parti ketiga yang pernah mencipta sejarah ialah Parti Konservatif New York pada 1970-an dan Parti Petani-Buruh pada 1930-an. Namun kebanyakannya gagal untuk mengekalkan momentum kerana kekurangan jentera, struktur akar umbi, dan dana yang konsisten.

“Masih ingat ‘parti No Labels’ pada awal 2024? Mereka mahu jadi pihak tengah pilihan raya, tapi akhirnya gagal teruk,” kata Encik Matt Klink, seorang strategis politik berpengalaman.

Menurut undang-undang di peringkat negeri, setiap parti baru perlu memenuhi syarat tertentu untuk muncul dalam kertas undi, termasuk kutipan tandatangan penyokong yang banyak.

Contohnya, di North Carolina, parti baru perlu mengumpulkan hampir 14,000 tandatangan daripada pengundi untuk layak didaftarkan.

Di peringkat persekutuan pula, parti seperti America Party perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan (FEC), termasuk pendaftaran rasmi, pelaporan kewangan, dan pematuhan terhadap undang-undang dana politik.

Namun, menurut peguam pilihan raya Encik Brett Kappel, Encik Musk boleh mengelak keperluan ini dengan mendaftarkan partinya sebagai organisasi politik Seksyen 527 yang dikawal oleh IRS, yang membolehkan parti tersebut beroperasi tanpa had dana atau sumber.

Walaupun peluang Musk untuk memenangi kerusi Kongres masih samar, penganalisis percaya beliau mampu menggugat kestabilan Republikan dalam kawasan pilihan raya sengit.

“Parti Elon mungkin tidak menang kerusi, tetapi ia boleh menyebabkan kerugian besar kepada Republikan. Di kawasan pilihan raya yang kompetitif, hanya beberapa peratus undi yang hilang dari pihak kanan sudah cukup untuk menukar kawalan kerusi,” kata Encik Evan Nierman, Ketua Pegawai Eksekutif Red Banyan, firma komunikasi krisis global.

Encik Anderson pula mengingatkan bahawa untuk berjaya, Encik Musk perlu membina gerakan akar umbi yang berterusan dan bukan sekadar muncul ketika pilihan raya presiden. “Salah satu kesilapan parti ketiga sebelum ini ialah mereka muncul sekali, hilang selama empat tahun, dan gagal membina kepercayaan jangka panjang.”

Walaupun America Party masih di peringkat awal dan menghadapi pelbagai halangan, kemunculan parti baharu oleh tokoh berpengaruh Elon Musk menandakan perubahan dinamik dalam politik Amerika. Dengan modal, pengaruh media dan strategi berfokus kepada kawasan sengit, Encik Musk tidak boleh dipandang ringan – terutamanya oleh Parti Republikan yang kini berada dalam kedudukan rapuh.

Namun, kejayaan sebenar masih bergantung kepada satu perkara asas: sejauh mana rakyat Amerika benar-benar mahukan alternatif politik yang baru. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg