BANGKOK: Parti-parti pembangkang Thailand pada 3 Julai mengumumkan mereka akan menangguhkan sebarang langkah mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang digantung tugas, Cik Paetongtarn Shinawatra, sementara menunggu keputusan Mahkamah Perlembagaan.
Mereka turut menegaskan komitmen untuk bekerjasama mengelakkan kebuntuan politik.
Mahkamah Perlembagaan Thailand pada 1 Julai menerima petisyen daripada 36 senator yang mendakwa Cik Paetongtarn telah melanggar etika dan bersikap tidak jujur dalam isu diplomatik melibatkan bekas pemimpin berpengaruh Kemboja, Encik Hun Sen.
Kes itu mencetuskan ketegangan politik besar di Bangkok.
Ketua Pembangkang, Encik Natthaphong Ruengpanyawut, yang juga mengetuai Parti Rakyat yang memiliki kerusi terbanyak di Parlimen, berkata pihaknya akan menunggu hasil siasatan Mahkamah Perlembagaan sebelum menentukan masa yang sesuai untuk membawa usul.
“Kita perlu menunggu kejelasan kes yang sedang dipertimbangkan oleh Mahkamah Perlembagaan terhadap Paetongtarn sebelum membuat keputusan untuk membentangkan usul tidak percaya,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat lima parti pembangkang utama, termasuk Parti Bhumjaithai yang menarik diri daripada gabungan kerajaan pada Jun.
“Saya sahkan bahawa semua ketua parti pembangkang telah berbincang dan bersetuju untuk tidak membiarkan politik negara terjerumus ke jalan buntu,” tegas Encik Natthaphong.
Kerajaan semasa yang memegang majoriti tipis di Parlimen kini berada dalam kedudukan rapuh, berdepan tekanan dari dalam dan luar, termasuk bantahan di jalanan yang semakin meningkat.
Sebagai langkah pemulihan sokongan, kerajaan telah melaksanakan rombakan Kabinet besar-besaran.
Seramai 14 menteri baru mengangkat sumpah pada 3 Julai di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn, termasuk Cik Paetongtarn, yang kembali ke Kabinet sebagai Menteri Kebudayaan walaupun digantung tugas sebagai Perdana Menteri.
Kabinet dijadual bermesyuarat pada hari yang sama untuk mengesahkan pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Encik Phumtham Wechayachai, sebagai pemangku Perdana Menteri yang baru.
Encik Phumtham, 71 tahun, merupakan tokoh politik veteran yang pernah memegang portfolio Menteri Pertahanan dan Perdagangan.
Beliau pernah memangku jawatan Perdana Menteri ketika krisis politik melanda Thailand pada 2024.
Dalam rombakan terkini, beliau dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dan akan memangku jawatan Perdana Menteri buat kali kedua.
“Pelantikan beliau memberi kestabilan sementara kepada kerajaan dan membolehkan urusan pentadbiran terus berjalan,” kata seorang pegawai kanan kerajaan yang enggan dikenali.
Encik Phumtham dikenali sebagai ‘Big Comrade’ kerana penglibatannya dalam gerakan pelajar berhaluan kiri pada 1970-an yang menentang rampasan kuasa tentera.
Selepas gerakan itu dihancurkan, beliau melarikan diri ke hutan dan menyertai kumpulan gerila komunis sebelum kembali ke arena politik melalui perniagaan dalam empayar Thaksin Shinawatra – bapa Cik Paetongtarn.
Walaupun pernah dikritik kerana latar belakang radikalnya, Encik Phumtham, berjaya membina semula imej sebagai tokoh arus perdana dalam politik Thailand yang kompleks dan sentiasa berubah.
Kini, semua mata tertumpu kepada Mahkamah Perlembagaan dan hala tuju gabungan politik negara itu, ketika rakyat menanti sama ada Thailand mampu mengelak satu lagi episod kebuntuan politik yang pernah melumpuhkannya sebelum ini. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg