Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polarisasi politik: Faktor utama di sebalik darurat tentera Korea Selatan

Dec 4, 2024 | 11:30 AM
Seorang lelaki membaca akhbar yang melaporkan pengumuman Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, untuk menarik balik undang-undang tentera di negara itu pada 4 Disember. Keputusan itu dibuat hanya beberapa jam selepas Dewan Perhimpunan Kebangsaan sebulat suara meluluskan resolusi mendesak presiden berbuat demikian susulan sesi pleno darurat.
Seorang lelaki membaca akhbar yang melaporkan pengumuman Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, untuk menarik balik undang-undang tentera di negara itu pada 4 Disember. Keputusan itu dibuat hanya beberapa jam selepas Dewan Perhimpunan Kebangsaan sebulat suara meluluskan resolusi mendesak presiden berbuat demikian susulan sesi pleno darurat. - Foto EPA-EFE

SEOUL: Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, yang memenangi pilihan raya presiden 2022 dengan margin tipis 0.8 peratus, mencetuskan kontroversi besar pada 3 Disember apabila beliau mengisytiharkan undang-undang tentera.

Langkah itu mengejutkan rakyat yang menyangka era campur tangan tentera dalam politik telah berakhir sejak negara itu meninggalkan pemerintahan tentera pada 1980-an.

Beribu-ribu penunjuk perasaan memenuhi jalanan di Seoul, menyeru agar Encik Yoon ditahan.

Negara yang sebelum ini dianggap sebagai contoh kekuatan demokrasi Asia kini berdepan peralihan ke arah yang mengejutkan.

Namun, peristiwa yang membawa kepada deklarasi tersebut – dan keputusannya untuk menarik balik langkah itu enam jam kemudian selepas Parlimen menolaknya – telah lama dibentuk oleh polarisasi politik yang melampau dan kekecewaan sosial yang mendalam di Korea Selatan.

Sebagai pemimpin konservatif, Encik Yoon tidak pernah popular di negara itu.

Kemenangannya dalam pilihan raya dianggap lebih kepada referendum terhadap kegagalan presiden liberal sebelumnya, Encik Moon Jae-in, berbanding sokongan terhadap Encik Yoon.

Ketegangan kempen tersebut tergambar dalam kenyataan Encik Lee Jae-myung, calon lawan utama Encik Yoon yang kini mengetuai pembangkang di Parlimen.

“Saya meminta Presiden terpilih supaya mengetuai negara ini ke arah perpaduan dan keharmonian,” kata Encik Lee selepas kekalahan tipisnya.

Namun, pada usia 63 tahun, Encik Yoon bukanlah tokoh yang dianggap mampu menyatukan negara.

Sebagai mantan pendakwa raya, beliau terkenal kerana mendakwa bekas presiden, termasuk Park Geun-hye yang akhirnya disabitkan kesalahan lalu dipenjarakan.

Encik Yoon juga pernah mengecam mantan majikannya, Presiden Moon, kerana gagal menemui Encik Kim Jong-un untuk menghentikan program nuklear Korea Utara.

Dalam kempen presidennya, Encik Yoon menyeru pengukuhan latihan ketenteraan dan penguatkuasaan ketat sekatan terhadap Korea Utara.

“Keamanan tidak bermakna jika tidak disokong oleh kekuatan,” tegasnya.

Pendekatan tegas itu mendapat sokongan Washington yang melihat Korea Selatan sebagai sekutu penting dalam menentang China.

Namun, di dalam negara, populariti Encik Yoon terus merudum akibat hubungan toksiknya dengan pembangkang yang menghalang agenda properniagaannya.

Walaupun Korea Selatan menikmati pengaruh di peringkat sejagat melalui budaya, perniagaan dan hiburan, ketidaksamaan ekonomi yang kian meningkat mencetuskan ketidakpuasan meluas.

Harga rumah yang melambung tinggi dan kesukaran siswazah baru mendapatkan pekerjaan telah menambah tekanan kepada golongan muda, yang semakin enggan berkahwin atau mempunyai anak.

Encik Yoon turut menimbulkan kontroversi apabila berjanji untuk membubarkan Kementerian Kesaksamaan Jantina, langkah yang dikritik sebagai langkah terhadap sentimen antifeminisme.

Namun, cabaran terbesar Encik Yoon adalah majoriti pembangkang dalam Parlimen yang diperluaskan lagi dalam pilihan raya 2024.

Dengan tahap sokongan rakyat yang rendah, hubungan buruknya dengan pembangkang melumpuhkan dasar seperti reformasi sistem pencen dan usaha menangani harga rumah.

Krisis memuncak pada 3 Disember apabila Encik Yoon mengisytiharkan darurat tentera, mendakwa langkah itu perlu demi “melindungi Korea Selatan daripada kuasa komunis Korea Utara dan unsur antinegara”.

Langkah itu mencetuskan kemarahan pembangkang yang menuduh Encik Yoon cuba merampas kuasa.

Yoon membawa Korea Selatan ke arah kuku besi,” kata seorang pemimpin pembangkang.

Keputusan Parlimen untuk membatalkan pengisytiharan itu memaksa Encik Yoon menarik balik langkah tersebut beberapa jam kemudian, tetapi kerosakan terhadap kredibiliti politiknya tidak dapat dielak.

Pilihan raya Parlimen 2024, yang dianggap peluang parti Encik Yoon untuk memenangi kembali majoriti, sebaliknya memberikan pembangkang kemenangan besar.

Kekalahan itu, yang disifatkan ramai rakyat Korea sebagai ‘Hari Penghakiman’, memperkukuhkan kebuntuan politik negara.

Berikutan kekalahan itu, Perdana Menteri dan ramai pegawai kanan pentadbiran Encik Yoon meletak jawatan.

Encik Yoon sendiri mengecam Parlimen, menyatakan bahawa badan itu telah menjadi “raksasa yang memusnahkan demokrasi”.

Namun, tekanan rakyat yang tidak berpuas hati dan Parlimen yang kukuh menunjukkan cabaran besar Encik Yoon dalam memulihkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinannya.

Masa depan politik Korea Selatan kini bergantung kepada sejauh mana pemimpin negara itu mampu mengutamakan rakyat di sebalik konflik politik yang terus meruncing. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg