Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parti Pheu Thai akan tentukan calon PM baru jelang undi Parlimen

Dua calon disebut layak, antaranya anak perempuan bekas PM Thaksin Shinawatra
Aug 15, 2024 | 3:48 PM
Perdana Menteri Thailand yang baru dipecat, Encik Srettha Thavisin, bercakap kepada media selepas Mahkamah Perlembagaan Thailand memutuskan kes pemecatannya pada 14 Ogos.
Perdana Menteri Thailand yang baru dipecat, Encik Srettha Thavisin, bercakap kepada media selepas Mahkamah Perlembagaan Thailand memutuskan kes pemecatannya pada 14 Ogos. - Foto REUTERS

BANGKOK: Parti terbesar dalam kerajaan sementara Thailand bermesyuarat pada 15 Ogos untuk memilih pengganti Perdana Menteri yang dipecat, Encik Srettha Thavisin, kerana mengejar masa untuk memperkukuh perikatannya sehari menjelang undian Parlimen bagi memilih Perdana Menteri baru.

Thailand sekali lagi dicengkam drama politik – kurang setahun selepas pengusaha hartanah yang kaya, Encik Srettha, naik ke tampuk kuasa.

Ini berikutan kebuntuan berminggu-minggu Parlimen, dengan Parti Pheu Thai pimpinannya berebut-rebut untuk mengekalkan kuasa dan melaksanakan agenda populisnya yang terhenti di tengah-tengah ekonomi yang terbantut.

Pemecatan Mahkamah Perlembagaan terhadap Encik Srettha pada 14 Ogos adalah tamparan terkini bagi parti Pheu Thai yang dikuasai keluarga bilionair Shinawatra.

Keluarga yang mempunyai pengaruh besar dalam pilihan raya Thailand itu bergelut selama dua dekad dengan penguasa tentera berpengaruh Thailand dan yang setia dengan raja negara itu.

Parti Pheu Thai mesti memilih salah seorang daripada dua calon yang layak – Encik Chaikasem Nitisiri, bekas Peguam Negara; dan Menteri Kehakiman, dan pemimpinnya yang tidak berpengalaman, Cik Paetongtarn Shinawatra, 37 tahun, yang merupakan anak perempuan Encik Thaksin Shinawatra yang penuh kontroversi.

Encik Srettha adalah Perdana Menteri keempat pergerakan itu yang disingkirkan oleh keputusan mahkamah.

Kejatuhannya boleh menunjukkan berakhirnya perselisihan antara Encik Thaksin dengan musuh-musuhnya dalam pengawal elit konservatif dan tentera lama yang membolehkan hartawan itu kembali pada 2023 setelah melarikan diri.

Mahkamah memutuskan Encik Srettha telah “melanggar piawaian etika yang serius” apabila beliau memberikan jawatan Kabinet kepada bekas peguam Encik Thaksin, Encik Pichit Chuenban, yang dipenjarakan seketika kerana menghina mahkamah pada 2008 atas dakwaan cubaan merasuah kakitangan mahkamah.

Dakwaan itu tidak pernah dibuktikan.

Persidangan Parlimen kurang dari 48 jam selepas pemecatan Encik Srettha sangat berbeza dengan apa yang berlaku pada 2023 apabila ia mengambil masa dua bulan untuk Dewan Rakyat mengundi Perdana Menteri baru selepas pilihan raya.

Penggubal undang-undang yang bersekutu dengan tentera kemudiannya menutup barisan untuk menyekat pemenang pilihan raya antipemerintah, parti Move Forward, daripada membentuk kerajaan, sebaliknya bersatu di belakang Encik Srettha dan parti Pheu Thai dalam undian kedua enam minggu kemudian.

Perikatan 11 parti itu menguasai 314 kerusi dewan dan sepatutnya tidak menghadapi kesukaran untuk memilih Perdana Menteri pada 15 Ogos, dengan syarat ia kekal utuh.

Untuk menjadi Perdana Menteri memerlukan kelulusan lebih separuh daripada 493 penggubal undang-undang.

Parti Pheu Thai mesti memutuskan sama ada mahu bersama orang kuat parti, Encik Chaikasem, atau memberikannya kepada Cik Paetongtarn yang tidak berpengalaman.

Jika ia memilih Cik Paetongtarn, ini bererti mengambil risiko tindak balas yang menyaksikan bapa dan ibu saudaranya Cik Yingluck Shinawatra – yang kedua-duanya digulingkan dalam rampasan kuasa sebelum melarikan diri untuk mengelak daripada dipenjarakan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg